Poster 'Bakal KM' Baru Bian Diedar Di Kawasan Melanau



LAWAS 10 APRIL : Poster Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Baru Bian yang diketengahkan sebagai "bakal ketua menteri Sarawak" didakwa diedarkan di kawasan majoriti Melayu-Melanau selepas perkara itu diumumkan Pakatan Rakyat kelmarin.

Naib Ketua Pemuda PKR Azmizam Zaman Huri mendakwa, tindakan itu bertujuan menakut-nakutkan pengundi kelompok itu memandangkan ketua menterinya sekarang, Tan Sri Abdul Taib Mahmud adalah dari kalangan mereka.

"Poster ini tidak ditampal tetapi diedarkan terus ke tangan pengundi dari rumah ke rumah," jelas Azmizam sambil mendakwa ia diedar di hampir semua kawasan Melayu-Melanau.

Poster biru muda berukuran tabloid itu memaparkan Baru sedang tersenyum dengan tulisan "Baru Bian calon ketua menteri Pakatan Rakyat" tertera di atasnya.

Sementara itu, calon PKR di Satok Ahmad Nazib Johari mendakwa mengesan poster itu di sekitar perkampungan Melayu di Petrajaya dan Jalan Keretapi di Batu Kawa kira-kira seguni banyaknya.

Sambil mendakwanya sebagai taktik kotor BN, Ahmad Nazib yakin ia tidak akan memberi kesan kepada pengundi.

"Jika kita lihat, poster itu tidak serius. Kita faham sensitiviti Melayu, ia tidak berkesan. Itu kempen kotor. Gambarnya pun tidak cantik," katanya yang mengaku terpaksa menyentuh isu itu di ceramahnya.

Sementara akhbar tempatan Utusan Borneo hari ini melaporkan, poster yang sama sama ditemui di sekitar kawasan Gita, dalam DUN Tupong.

Poster yang sama setakat ini belum dikesan di lima kawasan Melayu di mana PAS bertanding, jelas setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali.

Kelmarin, pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dilaporkan bersetuju melantik Baru yang berbangsa Orang Ulu sebagai pengganti Taib sekiranya Pakatan Rakyat menumbangkan BN.

Tujuh kerusi, semuanya di kawasan tengah Sarawak, mempunyai majoriti masyarakat Melanau. Statistik rasmi bagaimanapun mencantumkan Melanau dengan masyarakat Melayu, menjadikannya sebanyak 27.5 peratus daripada keseluruahn pengundi, sekalig gus mendominasi 26 kerusi.

-M'siakini

Wartawan Akhbar Sarawak : Jangan Tanya Soalan Tak Masuk Akal


KUCHING 10 APRIL : Gelagat seorang pemberita wanita dari stesen penyiaran milik Media Prima Berhad, 8TV yang bertanya soalan berkaitan jam tangan Omega pada sidang media Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Continental di sini, petang ini, mengundang kemarahan wartawan akhbar Sarawak.

Seorang wartawan akhbar Sarawak itu memintas dan menegur pemberita penyiaran berkenaan kira-kira jam 2.30 petang dengan menyatakan sidang media itu berkaitan isu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

“Lebih baik tanya isu pilihan raya dan manifesto Pakatan Rakyat. Bukannya dengan bertanyakan soal-soal seks yang tidak masuk akal,” kata wartawan akhbar Sarawak itu sebelum disambut tepukan wartawan lain.

Sarawak memiliki banyak akhbar tempatan yang hanya berpangkalan di negeri itu, kebanyakannya dikawal regim Taib Mahmud tetapi mereka dipercayai mula berpaling tadah.

Pemberita penyiaran itu dilihat cuba mengheret isu video fitnah berbanding perkembangan PRN Sarawak hingga meresahkan puluhan wartawan lain.

Beliau dipercayai diarah pihak atasannya supaya bertanyakan soalan itu kepada Anwar bagi menggembar-gemburkan isu video fitnah yang tidak mendapat perhatian rakyat Sarawak.

Anwar pada sidang media itu menyifatkan soalan berkenaan jam tangan Omega itu membuktikan media arus perdana tidak putus-putus mencari jalan merosakkan reputasinya.

“Untuk apa saya menjawab soalan-soala ini (isu video fitnah)? Bukankah Azizah (isteri Anwar) sudah mengadakan sidang media berkenaan perkara ini?

“Inilah cara Barisan Nasional (BN) memperkudakan media dengan soalan yang tidak berkenaan,” kata Anwar yang kelihatan sedikit berang dengan soalan itu.

-KeadilanDaily

Umno Anggap Video Lucah Lebih Penting Dari Membela Kematian Pegawai Kastam





SHAH ALAM 10 APRIL: Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie menyifatkan Umno-Barisan Nasional terlalu taksub menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi video seks fitnah untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga membelakangkan keperluan menubuh badan sama untuk membela kematian Penolong Pengarah Kastam Ahmad Sarbani Mohamed di perkarangan pejabat SPRM.

Malah, katanya, sifat lembab dan lepas tangan kerajaan persekutuan dalam menyelesaikan isu-isu melibatkan kepentingan awam semakin menyedarkan masyarakat Melayu umumnya dan khususnya di Selangor, bahawa Umno-BN lebih berminat mencari keuntungan politik dan bukannya menegakkan kebenaran.

Jelas Shuhaimi, PKR Selangor memandang serius ketidakseriusan kerajaan persekutuan dalam membela Allahyarham Sarbani selepas kecuaian SPRM dikatakan membawa kepada kematian pembantu politik exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Tambah Shuhaimi yang juga ADUN Seri Muda, perlaksanaan undang-undang tanpa kawalan dan nilai kemanusiaan tidak akan mendapat sokongan rakyat malah ia akan disalahgunakan sepertimana yang dilakukan oleh skuad polis rahsia Gestapo Nazi yang akhirnya menyaksikan rakyat dibelasah, diculik dan akhirnya dibunuh.

"UMNO-BN hanya penipu berskala global apabila kononya memperjuangkan nasib Islam dan Melayu dan tindakan menyisihkan kematian Sdr. Ahmad Sarbani memperkukuhkan dakwaan itu," kata Shuhaimi.

PKR Selangor mengajak rakyat agar bersatu hati dengan pimpinan PR yang konsisten memperjuangkan keadilan untuk rakyat daripada mereka yang rakus dan gila kuasa.

"Rakyat sedang melihat permainan pimpinan kerajaan UMNO-BN dalam isu kematian Allahyarham Sarbani. Harapan kita semoga ia membuka mata rakyat terhadap kezaliman sepanjang masa yang dilakukan oleh kerajaan UMNO dulu, kini selamanya penipu dan penipuan ini mesti dihentikan segera,' tegas beliau.

Pecat Calon Bebas, Bantu Parti Lawan Menang

PETALING JAYA 10 APRIL : Jawatankuasa Disiplin Parti Keadilan Rakyat mencadangkan Majlis Pimpinan Pusat PKR memecat 12 individu yang bertanding sebagai calon bebas kerana didakwa membantu parti lawan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Displin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong, keputusan ini penting bagi mempertahankan kepentingan dan imej parti itu.

"Keputusan ini selaras dengan Fasal 18 Perlembagaan parti.Keputusan ini penting untuk mempertahankan kepentingan dan imej parti kerana tindakan bertanding sebagai calon bebas dan membantu parti lawan adalah tindakan khianat kepada perjuangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat ," kata Tan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

"Keputusan ini berkuatkuasa serta merta," tambahnya lagi.

Mereka yang bertanding sebagai calon bebas ialah Soo Lina di Batu Lintang, Cobbold anak Lusai di Batu Ringin, Kiprawi bin Suhaili di Belawai, George anak Langgong di Pelagus, Michael Jok dan Kenneth Adan Silek di Belaga, Liam Anak Rengga di Kemena, Michael Ding Tuah di Marudi dan Jok Ding yang bertanding di Telang Usan.

Sementara itu, Jonson Chong dari cabang Kelana Jaya, Paul Kadang anak Dinggat dari cabang Saratok dan Hasrul Muhaimin Hasbi dari cabang Alor Setar didapati membantu parti lawan dalam kempen pilihan raya ini.

Rakyat Sarawak akan membuang undi untuk 71 Dewan Undangan Negeri pada 16 April ini dan ia sekali gus memusnahkan hasrat Barisan Nasional untuk mendapat kemenangan percuma pada PRN kali ini.

Najib Dokong, Bersekongkol Dengan Pimpinan Korup Taib

















KUCHING 10 APRIL : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil alih tugas Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk berkempen bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 sebagai tindakan mendokong dan bersekongkol dengan kepimpinan korup serta bergelumang dengan rasuah.

Menurut Anwar, ini juga jelas menunjukkan Umno-Barisan Nasional(BN) semakin terdesak untuk terus berkuasa di Bumi Kenyalang.

Katanya, tindakan panik Najib membawa keseluruhan Kabinet serta jentera kerajaan untuk membantu kempen pilihan raya negeri merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

"Najib datang ke Sarawak untuk mendokong satu kepimpinan yang korup dan semakin ditolak oleh rakyat. Amat jelas langkah Najib membawa seluruh Kabinet dan jentera kerajaan pusat menunjukkan kegagalan jentera pilihan raya Ketua Taib Menteri Taib Mahmud.

"Najib gagal untuk memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan rampasan tanah rakyat dan rompakan balak secara besar-besaran yang dilakukan oleh pimpinan Taib selama 30 tahun," kata Anwar pada sidang media di sebiah hotel di sini tengahari tadi.

Beliau juga membidas Suruhanjaya Pilihan Raya yang secara sedar menutup mata terhadap apa yang dilakukan oleh Najib sebagai Pengerusi BN yang menyalah gunakan jentera pentadbiran kerajaan.

"Saya diberitahu oleh calon kita (Parti Keadilan Rakyat) di Belaga bahawa keseluruhan jentera dan pentadbiran kementerian (Datuk Seri) Sharizat (Jalil) diturunkan di kawasan beliau untuk berkempen. Perkara ini jelas menunjukkan SPR bertoleransi terhadap salah guna secara terang-terangan ini.

Mengulas mengenai manifesto BN, Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN menegaskan apa yang ditawarkan oleh Taib pada pilihan raya kali ini hanyalah kitaran kepada apa yang dijanjikan selama 50 tahun tahun.

"BN mengitar isu pembangunan untuk rakyat yang mereka gagal tunaikan sejak 50 tahun dahulu. BN gagal menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat yang dipinggirkan dan bagaimana kekayaaan negeri di ambil untuk memperkayakan segelintir kecil pemimpin serta kroni mereka," ujar beliau.

Lagu Lama BN Di Sarawak Makin Sumbang Pada Telinga Pengundi































SHAH ALAM 10 APRIL : “Apa yang pembangkang boleh buat? Mereka hanya bercakap tetapi hanya kita boleh lakukan,” itulah lebih kurang tema yang dibawa oleh Ketua Menteri Taib Mahmud dan pemimpin BN yang lain ke seluruh pelosok Sarawak untuk pilihanraya negeri ke- 10.

Namun masa sudah berubah, slogan seumpama itu menjadi usang kali ini kerana BN Sarawak berdepan dengan Pakatan Rakyat yang mentadbir dua daripada negeri paling maju di Malaysia - Selangor dan Pulau Pinang.

Dan biar apapun yang cuba digambarkan oleh media arus perdana, hakikatnya ialah, pembangkang kali ini mempunyai rekod cemerlang mentadbir Selangor dan Pulau Pinang sebagai tonggak ekonomi negara di samping melaksanakan program-program membela golongan terpinggir.

Oleh kerana itu, mesej yang cuba dibawa sekali lagi oleh Taib dan BN bahawa pembangkang kononnya tidak layak menguruskan Sarawak agak hambar dan menerima sambutan dingin kali ini.

Kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Kuching, Sibu dan kawasan bandar lain serta di rumah-rumah panjang adalah untuk membawa mesej yang tegas dan lantang bahawa Pakatan Rakyat mempunyai kebolehan dan kewibawaan untuk mentadbir secara telus dan dinamis.

Sejak penamaan calon Rabu lalu, Taib dan menteri-menterinya cuba meyakinkan pengundi bahawa masa depan mereka terletak dengan BN dan Pakatan tidak lebih daripada sebuah entiti pembangkang yang hanya boleh “membuat bising.”

Namun Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS tidak datang ke Sarawak kali ini dengan tangan kosong tetapi berbekalkan segala data (termasuk video) untuk membuktikan mereka adalah gabungan yang boleh mengotakan janji atau “walk the talk.”

Walaupun menghadapi pelbagai kekangan dari Putrajaya, kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan masing-masing mempunyai rekod yang membanggakan sama ada dari segi menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan, mengekang rasuah mahupun melaksanakan program-program sosio-ekonomi.

Agak terlalu awal untuk merumuskan sama ada mesej dan bukti-bukti yang dibawa oleh Pakatan Rakyat bersabit Selangor dan Pulau Pinang khususnya, akan diterjemahkan dalam undi untuk gagasan itu seminggu dari sekarang.

Namun apa yang nyata, ialah rakyat Sarawak, baik di bandar dan pedalaman semakin terbuka untuk mendengar mesej yang dibawa oleh Pakatan kali ini.

Penghuni rumah panjang tidak lagi menutup pintu kepada pemimpin-pemimpin parti pembangkang.

Di Kuching dan Sibu, ribuan rakyat hadir pada ceramah-ceramah secara sukarela, tanpa disogok dengan wang atau pun makan percuma.

Keadaan sebegitu mewujudkan persekitaran yang memberi ruang kepada Pakatan Rakyat menyampaikan mesej bahawa gagasan itu menerusi pimpinan Baru Bian bersedia menawarkan masa depan yang baru kepada rakyat Sarawak.

Janji manifesto BN untuk menjadikan Sarawak negeri paling kaya di Malaysia mendapat sambutan suram di kalangan rakyat yang sudahpun mengecapi pemerintahan Abdul Taib Mahmud untuk 30 tahun.

Persoalan asas mereka ialah kenapa sampai sekarang Sarawak yang kaya dengan balak dan minyak serta hasil asli lain boleh tercorot menjadi negeri keempat termiskin di Malaysia.

Kenapa ratusan ribu rakyat Sarawak masih tidak ada akses kepada sekolah, jalanraya, elektrik dan air manakala pemimpin-pemimpin yang mereka dokong selama ini hidup di rumah bak mahligai bermandi kekayaan.

Sekali imbas, sentimen “anti establishment” di kalangan pengundi Sarawak mirip dengan “mood’ pengundi di Semenanjung pada pilihanraya umum 2008.

Namun Pakatan Rakyat tentunya akan membuat kesilapan besar jika beranggapan mereka akan mendapat laluan mudah untuk menduduki tampuk pemerintahan Sarawak.

Mereka berdepan dengan Taib Mahmud seorang seteru politik yang cukup berpengalaman dan terdsak atau “desperate” untuk mengekalkan kelangsungan politiknya.

Pakatan Rakyat bukan sahaja berdepan dengan kekuatan BN di peringkat negeri tetapi juga BN pusat yang memerlukan kemenangan mutlak di Sarawak untuk meyakinkan semua bahawa rakyat menerima pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Pada hari-hari mendatang, pengundi Sarawak boleh mengharapkan lebih banyak janji-janji wang untuk kawasan masing-masing. Masalah yang bertahun-tahun bertimbun seperti hakmilik tanah akan diselesaikan dalam sekelip mata.

Namun yang lebih penting ialah pengundi mendengar jelas mesej yang dibawa oleh BN dan Pakatan Rakyat.

Satu adalah mesej dari parti pemerintah yang sekali lagi menjanjikan masa depan begitu cerah di bawah langit biru Barisan Nasional.

Satu lagi, cabaran supaya rakyat Sarawak bangkit menuntut perubahan dan pembebasan dari pemerintahan rakus dan berasuah.

Khairy: Tawan Pulau Pinang mudahkan BN rampas negeri lain


BUTTERWORTH, 10 April — Pemuda Barisan Nasional (BN) harus memperhebatkan usaha menawan hati golongan muda Pulau Pinang yang menjadi kunci kepada usaha parti itu menawan kembali negeri tersebut, kata ketuanya Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy (gambar), ini kerana kejayaan menguasai semula Pulau Pinang akan memudahkan usaha BN merampas kembali negeri lain yang kini ditadbir Pakatan Rakyat.

Dipetik Bernama Online, Khairy berkata, Pulau Pinang dilihat sebagai kubu kuat pembangkang kerana beberapa pemimpin tertinggi mereka adalah anak jati negeri ini.

“Justeru kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang membawa makna yang besar,” kata beliau pada majlis perasmian program ‘Jom Jelajah One Malaysia’ peringkat Pulau Pinang malam tadi.

Ketua Pemuda Umno ini berkata, kunci kejayaan BN pada pilihan raya umum ke-13 terletak di tangan pengundi muda dan Pemuda BN harus memastikan parti itu menerima sokongan golongan tersebut.

Katanya, kaedah terbaik mendekati golongan itu ialah menerusi program turun padang yang melibatkan penyertaan pemimpin Pemuda secara langsung dalam menangani masalah rakyat.

“Kita juga tidak boleh menumpukan pada satu-satu kawasan saja dan bersandarkan pada kekuatan satu parti komponen saja, tetapi BN memerlukan semua parti komponen berganding bahu mendapatkan sokongan rakyat tanpa mengira kaum,” kata beliau.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau memberitahu, menerusi cara itu juga BN menunjukkan kesepakatan dalam memastikan kebajikan semua kaum terjamin.


Baru : Rakyat Sarawak Mampu Berubah Bersama PR







MIRI 9 APRIL : Kehidupan daif rakyat Sarawak boleh diubah melalui dasar baik Pakatan Rakyat yang jauh lebih komited dalam memperjuangkan hak asasi rakyat tanpa mengira kaum.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Sarawak, Baru Bian berkata, hal ini dibuktikan oleh rakyat di empat negeri di Semenanjung yang yakin akan kemampuan Pakatan dan hari ini sedang menikmati hasil dari keberanian mereka pada pilihanraya umum 2008.

"Sebelum 2008 saudara kita di sini ada persepsi yang kita tak boleh lawan BN kerana asasnya sudah kukuh. Ia membawa kepada persepsi BN ialah pemerintah dan
pemerintah ialah BN. Jadi apa yang berlaku di Semenanjung membuktikan bahawa ini hanya persepsi dan kita boleh melawan, menukar dan mengubah pemerintah. Kerana itu kita berjaya membawa mesej perubahan kepada rakyat," kata beliau ketika ditemuramah TV Selangor dalam rancangan Fokus Berita di sini.

Beliau yang dicanang PKR dan DAP sebagai Ketua Menteri Sarawak jika Pakatan Rakyat mampu merampas negeri ini telahpun memperjuangkan nasib hak asasi rakyat
Sarawak semenjak lewat 80-an lagi.

Menurut Baru, masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak dari kaum Iban misalnya juga sudah mula berubah.

Malah, mereka juga dilihat tertarik dengan apa yang dibawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menyebelahi kaum tertentu untuk berkuasa tetapi memberi peluang dan bantuan kepada semua.

Hal ini turut dibuktikan dengan pencapaian cemerlang Pakatan Rakyat di negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

"Tiap-tiap kali Ketua Umum datang Sarawak, dia mengatakan Keadilan mengutamakan hak sama rata. Dia kata anak Iban anak saya, Anak Bidayuh anak saya, Anak
Cina anak saya, Anak Ulu anak saya. Dengan kata-kata itu dan empasis terhadap isu hidup telah menarik perhatian rakyat Sarawak dengan apa yang telah dilaksanakan di empat-empat negeri. Terbukti telah dilaksanakan apa yang dijanjikan tanpa kekangan bangsa, adalah contoh yang baik," kata beliau.

Mengulas mengenai manifesto Pakatan Rakyat, Baru menerangkan ia jauh lebih realistik daripada slogan retorik Barisan Nasional iaitu 'Menjadikan Sarawak Negeri Terkaya di Malaysia.'

Baru menyatakan Sarawak memang negeri terkaya cuma kekayaannya tidak dapat diagihkan kepada rakyat yang memerlukan.

"Kita utamakan pembangunan luar bandar. Menghidup semula pembangunan selain isu tanah adat, isu yang dirisaukan rakyat Sarawak juga kemiskinan. Kerana terbukti dalam laporan rasmi yang mengatakan bahawa orang Sarawak ialah golongan paling miskin di Malaysia walaupun Sarawak negeri terkaya kalau dikira ikut sumber hasil bumi," tegas Baru.

Manifesto yang dilancarkan kelmarin oleh pemimpin Pakatan Rakyat itu setebal 8 halaman itu menawarkan 10 perubahan, antaranya menjamin kebebasan agama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.serta mengamalkan pentadbiran yang baik berdasarkan prinsip antarabangsa engan mengagih kekayaan hasil bumi terus kepada rakyat.

Baru percaya jika diberi mandat, Pakatan Rakyat Sarawak mampu merealisasikan janji itu kerana ia senada dan seiring perjuangan mereka.

"Kita ada visi untuk merubah nasib orang kita di sini. Dan Kita ada manifesto yang realistik dan praktikal sebab itu kita ada tanggungjawab dan janji. Sebab itu saya percaya dengan mandat yang diberikan kita boleh realisasikan janji yang ada dalam manifesto itu," katanya lagi.

Johari : Umno Remehkan Suruhanjaya DiRaja Demi Agenda Politik Diri






SHAH ALAM 9 APRIL : Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menyifatkan kerajaan cuba melarikan diri dari isu sebenar berhubung pendedahan dan penyebaran video seks oleh "Datuk T" bulan lalu apabila usaha mereka menjatuhkan karier politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, semakin gagal.

Justeru Umno kini cuba memanjangkan jangka video fitnah itu dengan mendesak penubuhan Suruhanjaya DiRaja jika siasatan polis tidak merumus apa yang dihajati oleh parti itu, kata Johari.

“ Nampaknya saya rasa apa yang berlaku sekarang ini kerajaan tahu bahawa yang terlibat dalam penyebaran video fitnah ini ialah Umno, kerajaan juga sedar bahawa mereka telah salah langkah, kerajaan cuba terus-menerus memutar-belitkan fakta dan melarikan diri dari hakikat sebenarnya bahawa kesalahan-kesalahan jenayah telah dilakukan,"kata Johari.

Johari satu-satunya ahli parlimen dari Pakatan Rakyat yang dipanggil untuk dipertontonkan video lucah yang didakwa pelakunya adalah Anwar oleh "Datuk T".

Namun Johari setelah melihat video berkenaan menolak orang dalam rakaman fitnah itu adalah Anwar kerana susuk tubuh dan perut pelaku jauh berbeza dengan Ketua Pembangkang itu.

Malah Johari turut membidas sikap tidak efisyen polis yang sepatutnya mengutamakan laporan yang dibuat oleh Anwar bahawa dirinya telah difitnah berbanding menubuhkan sebuah suruhanjaya siasat.

"Isunya sekarang ini adalah menyiasat apa juga dakwaan yang dibuat Anwar adalah penting. Sebab itu kita kata undang-undang yang ada itu adalah untuk menahan dan menyiasat ketiga-tiga orang-orang ini.

"Jelas mereka menyimpan bahan-bahan lucah, menayangkan bahan-bahan lucah, dan menggugut. Adakah ketiga-tiga perkara ini yang jelas undang-undangnya kita nak ketepikan kemudian kita sibuk untuk tubuhkan suruhanjaya yang akan mengambil masa berbulan-bulan," selar Johari lagi.

Jelas beliau, hakikat ialah beliau bukanlah menentang suruhanjaya siasatan ditubuhkan dalam kes ini tetapi penubuhannya mestilah dibuat setelah segala bentuk undang-undang digunakan untuk mengambil tindakan wajar terhadap trio Datuk T.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata kerajaan akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja bersabit isu video lucah itu jika “rakyat’ tidak puas hati dengan hasil siasatan polis.

Namun ironinya, dalam kes yang lebih penting, Nazri membayangkan kerajaan hanya berhajat untuk menubuhkan inkues dalam kes kematian kali kedua orang awam melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menimbulkan kebimbangan ramai.

Wartawan Ditahan Polis Selepas Sidang Media



KUALA LUMPUR 10 APRIL : Tiga wakil media ditahan polis sewaktu membuat liputan di KL Sentral hari ini termasuk Jurukamera TV Selangor.

Mereka menghadiri sidang media program Jelajah Mahasiswa Salamatkan Rakyat anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sebelum ditahan polis atas alasan menyertai perhimpunan haram.

Menurut sumber 11 orang ditahan kira-kira jam 10.30 pagi sejurus tamat sidang media program jelajah berkenaan yang disertai kira-kira 40 aktivis Mahasiswa.

Turut ditahan ialah wartawan dan jurukamera laman keadilandaily.com serta lapan aktivis SMM.

Jurukamera TV Selangor Naim Abu Bakar yang ditahan menyatakan dalam perbualan ringkas 'beliau ditahan oleh sekumpulan polis berpakaian preman dan dibantu polis bantuan KL Sentral.'

"Saya sedang duduk selepas habis (sidang media) tiba-tiba kena tangkap. Saya tunjuk Pas Media tapi tetap ditahan," kata beliau.

Mereka dibawa ke Balai Polis Jalan Travers Kuala Lumpur untuk direkodkan kenyataan kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Selepas memberi keterangan, mereka dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira sejam kemudian.

(function() { var d = document, w = window; w

Hannah Yeoh: Nak Melanjutkan Masa Mensyuarat Kerajaan Ini Pun Takut, Ker...