Adnan Mat
Adnan Mat.
KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja DI Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sekali lagi merayu kerajaan dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menangguhkan sementara pembayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam yang dibuat melalui lembaga itu.
CUEPACS berpandangan penangguhan berkenaan wajar dibuat agar selari dengan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium selama enam bulan yang dilakukan oleh institusi perbankan.
Menurut Presidennya, Adnan Mat, pihaknya mengambil maklum keluhan dan harapan ramai penjawat awam termasuk kesatuan pekerja perkhidmatan awam yang mahukan penangguhan bayaran pinjaman kepada LPPSA.
“Harus diingatkan, tidak semua penjawat awam di negara ini mempunyai pasangan yang sama-sama bekerja.
“Ada dalam kalangan mereka merupakan suri rumah, peniaga kecil atau bekerja di sektor swasta.
“Mereka yang take home pay pula adalah sekitar 20 peratus sekiranya mempunyai pinjaman perumahan atau ditolak dengan pinjaman perumahan dan lain-lain pinjaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, situasi semasa yang melanda negara ketika ini disebabkan penularan wabak Covid-19 telah mengganggu rutin kerja dan menjejaskan pendapatan isi rumah penjawat awam.
Katanya, dengan penangguhan bayaran balik pinjaman LPPSA yang merangkumi separuh daripada gaji, penjawat awam dan isi rumah mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan sewaktu kecemasan ketika ini.
“Kita berharap keluhan dan permintaan penjawat awam ini mendapat pertimbangan khas Perdana Menteri dan LPPSA sendiri memandangkan perkara ini telah dimohon oleh CUEPACS sebelum pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat pada 27 Mac lalu.
“Walaupun permohonan ini sedikit sebanyak memperlahankan sumber dana LPPSA, namun adalah diharapkan kerajaan melalui bank dan institusi kewangan dalam negara dapat membantu mengukuhkan aliran tunai LPPSA.
“Kita penangguhan ini akan memperkukuhkan semula pergerakan ekonomi dalam negara,” katanya.