Terus gilapkan idealisme reformasi, seru Anwar

Terus gilapkan idealisme reformasi, seru Anwar


Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli parti itu supaya terus menggilapkan idealisme reformasi.
“Jika kita tetap gilapkan idealisme reformasi, Insya Allah kita akan lebih tenang dan bergaya menuju kejayaan,” kata beliau dalam perutusannya sempena ulangtahun ke-21 PKR.
Kata beliau, buat para pendukung reformasi, derita dan sejarah hitam di tahun-tahun lampau yang dihadapi bersama itu mematang dan menguatkan semangat untuk terus menyalakan obor perjuangan.
“Perjuangan ini panjang dan jauh. Ramai yang telah pergi meninggalkan kita. Namun, ramai juga yang tewas dek kilauan harta dan pangkat.
“Gemerlapan kuasa itu ternyata suatu ujian yang maha besar buat kita. Kuasa itu seharusnya dipikul dengan amanah dan kejujuran, dan bukan wahana untuk memunggah kekayaan,” kata beliau menerusi Facebooknya hari ini.
Katanya, kerajaan pilihan rakyat yakni Pakatan Harapan (PH) tumbang kerana pengkhianatan dan persekongkolan beberapa watak Kitol.
“Pengalaman tambah mendewasakan kita. Kita bukan sahaja lalui zaman derita malah setelah hampir ke mercu, kita dikhianati dari dalam dan janji dimungkiri.
“Semoga Allah S.W.T beri kekuatan kepada kita untuk terus kekal di landasan perjuangan dan terus menjadi suara dan pembela rakyat semua kaum,” katanya lagi.