HADI AWANG, DUTA KHAS YANG TIDAK DIRAIKAN LANTIKANNYA



Melantik orang politik sebagai duta khas bertaraf menteri, disamping duta lantikan kerajaan sudah pun sedia ada, sebenarnya hanyalah bermula sejak era kepimpinan Najib Razak.

Sebelum itu, tidak pernah jawatan duta khas bertaraf menteri diwujudkan.
Dalam zaman Tun Mahathir Mohamad, walaupun beberapa orang politik pernah dilantik sebagai duta seperti bekas Menteri Besar Terenggganu, Wan Mokhtar Wan Ahmad; bekas Timbalan Menteri, Abu Bakar Daud; Mohamed Rahmat dan beberapa yang lain, tetapi mereka adalah duta kerajaan dan bukannya duta khas yang diberikan taraf menteri.

Dalam era Najib, bermula dengan Jamaluddin Jarjis yang dijadikan Duta Besar bertaraf menteri ke Amerika Syarikat, kemudian ia diikuti dengan bekas Presiden MIC, Samy Vellu sebagai Duta Khas ke India dan Asia Selatan; bekas Presiden MCA, Ong Ka Ting sebagai Duta Khas ke China dan Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing sebagai Duta Khas ke Asia Timur merangkumi Jepun, Korea Selatan serta Taiwan.

Sama seperti Jamaluddin, semua Duta Khas lantikan Najib itu diberikan taraf menteri.

Selain itu, Najib juga pernah melantik Zaharin Hashim, bekas pemimpin PKR yang melompat menyertai UMNO sebagai Duta Besar ke Indonesia.

Kemudian di era PH memerintah negara di mana Tun Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri, hanya seorang yang dilantik iaitu Pengerusi DAP, Tan Kok Wai sebagai Duta Khas ke China.

Bagaimanapun, beliau tidak diberikan taraf menteri.
Dalam era Muhyiddin Yassin, baru kira-kira sebulan menjadi Perdana Menteri, beliau telah pun melantik Presiden Pas, Hadi Awang sebagai Duta Khas bertaraf menteri ke Timur Tengah.

Walaupun Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man menolak perlantikan Hadi Awang sebagai lantikan politik, manakala Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan pula menafikan jawatan yang diberikan kepada Presiden Pas itu untuk tujuan mengambil hati ahli-ahli Pas lantaran beliau tidak diberikan jawatan dalam kabinet, hakikatnya tanggapan serta kepercayaan ramai adalah sebaliknya.

Hampir semua orang percaya lantikan itu adalah sebagai hadiah atau sebahagian daripada pengagihan harta hasil rampasan perang berikutan kesediaan Pas menjayakan misi menumbangkan PH dan seterusnya menubuhkan kerajaan tanpa melalui pilihanraya, sebaliknya dengan cara menebuk atap dan meletakkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Jika tanpa kerajaan tebuk atap ini ditubuhkan, pastilah tiada sebab untuk Hadi Awang merasa menjadi Duta Khas bertaraf menteri ke Timur Tengah.

Jadi, baiklah Tuan Ibrahim dan Takiyuddin simpan saja ulasan mereka berkaitan kewajaran perlantikan Hadi Awang kononnya atas kelayakan dan sebagainya untuk santapan halwa telinga penyokong-penyokong Pas yang wala’ saja untuk mendengarnya.

Untuk mereka yang terbuka dan waras, lantikan Hadi tetap dianggap lantikan politik dan hadiah atas sokongan Pas terhadap Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri menerusi tebukan atap. Titik.

Sebab itu, tidak sebagaimana Duta-Duta Khas lain yang pernah dilantik sebelum ini, perlantikan Hadi Awang ini paling dipertikaikan dan seolah-olah tidak diraikan sama sekali.

Di media sosial dan di perbualan awam di merata-rata tempat, jelas boleh dilihat rasa tidak senangnya hati rakyat terhadap perlantikan beliau itu.

Rata-rata melihat Hadi Awang sebagai sosok yang tidak sesuai, tidak wajar dan tidak cocok untuk dilantik ke jawatan tersebut, diikuti pula karektornya yang keras, kasar dan seperti tiada diplomasi.

Tambahan, Pas melalui Tuan Ibrahim turut pernah mempertikaikan perlantikan Tan Kok Wai sebelum ini dengan menganggapnya sebagai pembaziran dan meniru cara BN.

Jadi, dalam kes perlantikan Hadi Awang ini, apa sebenarnya pendirian Pas?

Lebih buruk lagi, sebelum dilantik sebagai duta, Hadi Awang juga didapati telah menulis surat kepada pemimpin-pemimpin gerakan Islam berkenaan pergolakan politik dalam negara, khususnya berkenaan penubuhan kerajaan tebuk atap yang disertai oleh Pas.

Apa yang menyedihkan, sebagai pemimpin Islam, kandungan surat tersebut banyak mengandungi fakta tidak benar, pembohongan serta fitnah yang disengajakan, terutama terhadap Anwar Ibrahim yang juga mempunyai rangkaian hubungan persahabatan yang baik dengan pemimpin serta gerakan Islam di banyak negara Timur Tengah.

Maka, dengan “surat kotor” yang ditulisnya itu, walaupun dimulai dan dan diakhiri dengan pujian kepada Allah, tidakkah ia sebenarnya hanya menyulitkan lagi tugas Hadi Awang sebagai Duta Khas nanti? 

(ShahbudinHusin 04/04/2020)


No comments: