Bukan untuk menakut-nakutkan tetapi negara harus buat persiapan rapi, kata Salahuddin

Bukan untuk menakut-nakutkan tetapi negara harus buat persiapan rapi, kata Salahuddin



Majlis Keselamatan Makanan Negara harus segera ditubuhkan oleh kerajaan bagi menangani isu makanan ketika penularan wabak Covid-19 ini.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, walaupun Malaysia mempunyai Majlis Keselamatan Negara (MKN), namun sebuah majlis khusus juga diperlukan.
“Kita memerlukan sebuah majlis yang khusus dalam menangani isu makanan kerana keadaan sekarang (pandemik Covid-19) sesungguhnya tidak pernah berlaku.
“Malaysia masih lagi mengimport 30 peratus bekalan beras dan mengimport 70 peratus bekalan daging, tetapi dengan lumpuhnya seluruh dunia, daripada mana kita akan mendapat bekalan makanan yang mencukupi?
“Vietnam, sebagai contoh, sudah menghentikan eksport beras ke Malaysia, jadi apa yang akan terjadi sekiranya wabak ini berterusan?,” soal beliau dalam kenyataan hari ini.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai, berkata bukan tujuan beliau untuk menakut-nakutkan, tetapi negara sememangnya harus bersedia dan membuat persiapan rapi.
Kerana isu ini bertaraf global, kerajaan harus mewujudkan Majlis Keselamatan Makanan Negara dan memanggil pakar-pakar yang berkaitan.
“Saya yakin kita mempunyai pakar-pakar yang hebat untuk menyusun strategi bagi mengatasi masalah ini. Masalah banjir atau bencana alam seperti gempa bumi mungkin memberi impak kepada sesebuah negara atau benua, tetapi wabak Covid-19 ini menyerang seluruh dunia.
“Justeru itu, semua negara akan berhadapan dengan krisis bekalan makanan dan setiap negara akan menjaga kepentingan masing-masing,” katanya lagi.


No comments: