MAT SABU TIADA PILIHAN, MELAINKAN MENGEMBALIKAN HAK MEJAR ZAIDI...




Sudah tentu ramai yang terperanjat dan turut berkongsi kecewa dengan nasib yang menimpa Mejar Zaidi Ahmad berhubung keputusan TUDM menolak rayuan berkaitan pemecatannya.

Pada 2013, Mejar Zaidi telah membuat laporan polis tentang penggunaan dakwat kekal yang tidak kekal dan beliau kemudian dipecat sebagai juruterbang kerana perbuatannya itu.

Pada ketika itu beliau dianggap sebagai hero kerana dilihat berani bertindak berasaskan kebenaran sehingga sanggup merisikokan jawatannya dalam kerajaan demi kebenaran dan rasa sayang kepada negara.

Tindakan kerajaan BN memecatnya ketika itu dianggap zalim dan semata-mata untuk menghalang rakyat atau penjawat awam daripada terus bangki bersuara menyatakan kebenaran.

Jika Mejar Zaidi seorang tidak sayang kepada negara dan lebih mementingkan jawatannya, beliau boleh saja berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa pada ketika mata dan tangannya sendiri melihat penggunaan dakwat yang meragukan ketika pilihanraya 2013 itu.

Tetapi, kenapakah beliau sanggup pergi ke balai polis sedangkan tahu tindakan itu berisiko kepada jawatan dan mengundang bahaya kepada masa depan keluarganya sendiri?

Bermakna, ada sesuatu dalam hati dan jiwa Mejar Zaidi yang harus kita hargai, khususnya oleh kerajaan Pakatan Harapan yang berslogankan Malaysia Baru ini.

Meskipun Mohamad Sabu selaku Menteri Pertahanan dilaporkan masih mempertimbangkan rayuan Mejar Zaidi, walaupun permohonannya untuk dikembalikan semula jawatannya atau diberikan pencen sudah ditolak oleh TUDM, hakikatnya  kerajaan Malaysia Baru ini tiada pilihan selain menunjukkan pembelaan terhadap bekas juruterbang itu.

Kenapa takut membela Mejar Zaidi? Apakah susah sangat membela rakyat yang teraniaya?

Bukankah tindakan beliau melapor polis itu atas kapasitinya sebagai pengundi dan warganegara?

Apakah ini bermakna kerajaan Pakatan Harapan bersetuju dengan tindakan BN memecat dan menganiaya Mejar Zaidi sebelum ini?

Jika pada 2013 beliau dianggap hero dan disanjung atas keberaniannya, mengapa setelah kuasa diperolehi, penganiayaan harus diteruskan dan semangat heronya dulu tidak mahu dihargai?

Tidak terlewat untuk mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan, harus diinsafi bahawa semangat yang ditunjukkan oleh Mejar Zaidi pada 2013 itulah sebahagiannya yang menyumbang kepada kebangkitan rakyat menolak UMNO dan BN pada 9 Mei lalu.

Kepada Mat Sabu yang disanjung ramai dan berani masuk penjara beberapa kali demi perjuangan serta pernah melempar mikrofon ketika belum berkuasa, inilah masanya untuk beliau  menunjukkan keprihatinan dan pembelaan kepada rakyat yang teraniaya.

Apakah membela dan mengembalikan hak Mejar Zaidi lebih besar bebannya daripada masuk penjara?

Oleh itu, jangan berlengah lagi untuk membela dan mengembalikan hak yang sewajarnya kepada Mejar Zaidi sebelum kuasa pinjaman sementara ini ditarik balik dalam pilihanraya seterusnya. (ShahbudinHusin 08/08/2018)
Anda mungkin juga meminati:

Kenapa Anwar perlu segera masuk kabinet?


Mohd Nasaie Ismail  |  Diterbitkan   |  Dikemaskini 
ULASAN | Hasrat menulis isu ini sudah beberapa minggu tertangguh dan kebetulan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diumumkan menang tanpa bertanding sebagai calon Presiden PKR.
Sama ada beliau presiden atau tidak, Anwar perlu berada di dalam kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad atas beberapa sebab.
Ketiadaan Anwar dalam kabinet dalam keadaan beliau bebas di luar memimpin PKR dan Pakatan Harapan (HARAPAN) membuka ruang kepada adu domba yang berterusan.
Suka atau tidak, beliau adalah tokoh utama HARAPAN sebaris dengan Mahathir selaku perdana menteri.
Malah namanya disebut sebagai calon perdana menteri selepas Mahathir.
Usaha ataupun sekadar rumus yang didendangkan bahawa Datuk Seri Azmin Ali yang akan menggantikan Mahathir merupakan satu isyarat yang tidak baik yang akan menggangu kestabilan kerajaan baru.
Tambahan, Azmin yang diberikan jawatan menteri kanan dengan pelbagai agensi penting diletakkan dibawah kementerian beliau yang sebelumnya di bawah Kementerian Kewangan ataupun Jabatan Perdana Menteri seolah-olah menghantar isyarat bahawa rumus itu adalah betul.
Walaupun hakikatnya tidak betul.
Dalam masa yang sama, Anwar juga dikatakan sedang mengusahakan pakatan baru dengan Umno dan PAS bagi membentuk kerajaan baru yang akan beliau ketuainya.
Penulis meyakini ia dongeng semata-mata, namun membiarkan Anwar di luar kabinet akan membentuk persepsi ia adalah betul.
Masuknya Anwar ke dalam kabinet akan memadam segala tohmahan yang berlaku.
Perbezaan yang boleh jadi wujud diantara Mahathir dengan Anwar akan selesai di meja mesyuarat mingguan kabinet.
Tidak wujud lagi perbezaan yang dihebahkan kepada media di luar sehingga menampakkan kerajaan baru ini tidak stabil.
Rakyat di luar yang mengundi menolak BN tidak mahu dengar politik dalaman sesama pemimpin negara, tetapi mereka dahagakan perubahan.
Jangan sangka BN yang tewas memberi makna bahawa HARAPAN tidak boleh dikalahkan.
Jika Umno tidak pernah sangka Mahathir boleh bekerjasama dengan Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya yang lalu sehingga buat kali pertamanya BN tumbang, HARAPAN juga tidak boleh menyangka langsung tidak ada gerakan yang sama atau gerakan yang lain yang boleh menumbangkan atau setidaknya menggugat kerajaan mereka.
Jangan pandang enteng kepada pengundi HARAPAN sendiri yang ramainya merupakan golongan yang kritikal dengan kerajaan HARAPAN.
Mereka bukan beku dengan pegangan politik, tetapi cair dan boleh berubah bila-bila masa sahaja. Oleh itu hiruk-pikuk dalaman HARAPAN bukanlah sesuatu yang mereka hendak dengar.
Anwar sebagai menteri pembangunan luar bandar
Maka Anwar perlu masuk ke dalam dan sama-sama memimpin dengan Mahathir.
Di antara kelompok yang tidak sabar-sabar menanti perubahan yang akan dilakukan oleh kerajaan baru ini ialah masyarakat desa.
Mereka terdiri daripada warga Felda, peserta Felcra, pekebun kecil Risda, Lembaga Kemajuan Tengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), masyarakat kampung di Sabah dan Sarawak yang kebanyakannya terkesan dengan kos hidup dan jatuhnya harga komuditi seperti sawit dan getah perlu diberi perhatian sewajarnya.
Pengundi Felda yang berjumlah 1.6 juta orang telah membuat anjakan perubahan dalam pilihan raya yang lalu sehingga BN kehilangan majoriti di 39 daripada 54 parlimen Felda, dengan HARAPAN sahaja menang di 19 parlimen, Parti Warisan Sabah (WARISAN) dua parlimen, PAS di empat parlimen dan BN menang minoriti di 13 parlimen yang bertembung tiga penjuru.
21 kerusi HARAPAN dan WARISAN yang dimenangi di kawasan Felda itu membentuk kemenangan HARAPAN di peringkat pusat.
Mereka tidak boleh diabaikan begitu sahaja kerana sifat pengundinya yang cair kepartian.
Begitu juga dengan masyarakat desa yang lain yang ramai di kalangan mereka hidup di bawah paras kemiskinan.
Maka, Anwar perlu memainkan peranan dalam kabinet bagi menumpukan kepada perubahan dan pembangunan masyarakat desa tersebut.
Ia akan melengkapi tugas perdana menteri yang bergelut untuk memulihkan ekonomi negara yang sangat mencabar ketika ini.
Maka, jika Anwar menyertai kabinet dan menjadi timbalan perdana menteri sewajarnya beliau memegang juga kementerian yang berkaitan sama ada Kementerian Pembangunan Luar Bandar atau mewujudkan kementerian lain yang akan meletakkan agensi seperti Felda, Felcra, Risda, KESEDAR, KETENGAH, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan agensi pembangunan rakyat desa di Sabah dan Sarawak di bawahnya.
Manakala Yang Berhormat (YB) Rina Harun boleh memegang jawatan di Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat bersesuaian dengan kedudukan beliau.
Begitu juga beliau boleh mengetuai Jawatankuasa Khas Kabinet berkaitan pembangunan masyarakat desa ini yang melibatkan beberapa kementerian seperti Kementerian Pertanian, Kementerian Luar Bandar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan lain-lain kementerian yang akan memberi fokus mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat bawahan dalam jangka masa pendek dan panjang.
Mungkin ini dilihat kerja yang tidak popular berbanding kementerian lain yang lebih kanan.
Namun kita boleh merujuk sejarah Tun Razak Hussein dan Tun Ghafar Baba yang memberi fokus khas kepada hal-hal tersebut sehingga ia memberi kesan.
Dalam tempoh hanya beberapa tahun menjadi perdana menteri, Tun Razak telah mengasaskan beberapa institusi penting membangunkan masyarakat desa seperti Felda dan Pertubuhan Peladang.
Anwar lama bermain dengan masyarakat desa semenjak di bangku Universiti Malaya (UM) lagi. Beliau lama dalam kerajaan dan lama juga menjadi pembangkang serta lama dalam penjara.
Moga ia satu ramuan yang baik untuk peka terhadap kehendak masyarakat desa.
Jadikan Morsi sebagai tauladan
Pembangkang ketika ini memainkan isu bangsa, raja dan agama yang tidak dapat tidak, sebilangannya berpunca daripada tindakan tidak cermat seorang dua dalam HARAPAN sendiri.
Kita memahami ia sekadar senjata yang lebih banyak persepsinya daripada kebenaran, namun dibiarkan terus tanpa satu kunci yang kuat akan menatijahkan suasana yang tidak harmoni.
Mungkin ada yang berbeza dengan mengatakan di bawah Malaysia Baru kita tidak boleh melayan lagi isu-isu sebegini.
Tetapi harus diingat perubahan besar yang hendak dilakukan akan tergendala apabila suasana tidak harmoni dibiarkan melanda negara.
Pedoman pemerintahan setahun Presiden Morsi di Mesir patut dijadikan tauladan.
Dikala beliau mengusahakan perubahan, di dalam jentera pentadbiran kerajaan masih dipenuhi penyokong-penyokong kerajaan lama yang melakukan sabotaj secara langsung atau tidak langsung.
Media yang dibiarkan bebas dalam keadaan minda rakyat belum terdidik juga menyumbang kepada suasana yang tidak stabil.
Kerajaan boleh menjawab kerosakan 61 tahun tidak boleh dibaiki dalam masa setahun, tetapi api kemarahan rakyat dibakar oleh media-media yang dibiarkan bebas itu atas nama demokrasi.
Maka di sinilah peranan boleh dimainkan Anwar setidaknya meletakkan seorang tokoh yang dilihat cakna kepada agama dan raja-raja disebelah perdana menteri bagi membuang ketakutan dan kegusaran golongan berkenaan.
Kesimpulannya, kehadiran Anwar dalam kabinet adalah perlu bagi mewujudkan kestabilan kerajaan baru agar perubahan dapat dilakukan tanpa gangguan yang banyak.
Ia tidak harus dilihat atau diusahakan agar kemasukan Anwar ini petanda beliau hendak menggantikan Mahathir dengan segera, tetapi pelengkap kepada kepimpinan sedia ada dan penutup kepada segala adu domba.

MOHD NASAIE ISMAIL merupakan Timbalan Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) serta aktivis Felda dan Felcra. 
Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

SST AKAN TURUNKAN HARGA BARANG, MUKTAMAD

NAJIB HADAPI 125 TAHUN PENJARA JIKA SABIT KESALAHAN

NAJIB DIJANGKA BERDEPAN TUDUHAN LAGI

SEMUA TAK TAHU, APA YANG NAJIB TAHU?



1. Tak tahu....

2. Tak tahu....

3. Tak tahu....

4. Tak tahu....

Habis...kalau semua tak tahu, apa yang Najib tahu ketika jadi Perdana Menteri dulu? (ShahbudinHusin 07/08/2018)