MAT SABU TIADA PILIHAN, MELAINKAN MENGEMBALIKAN HAK MEJAR ZAIDI...




Sudah tentu ramai yang terperanjat dan turut berkongsi kecewa dengan nasib yang menimpa Mejar Zaidi Ahmad berhubung keputusan TUDM menolak rayuan berkaitan pemecatannya.

Pada 2013, Mejar Zaidi telah membuat laporan polis tentang penggunaan dakwat kekal yang tidak kekal dan beliau kemudian dipecat sebagai juruterbang kerana perbuatannya itu.

Pada ketika itu beliau dianggap sebagai hero kerana dilihat berani bertindak berasaskan kebenaran sehingga sanggup merisikokan jawatannya dalam kerajaan demi kebenaran dan rasa sayang kepada negara.

Tindakan kerajaan BN memecatnya ketika itu dianggap zalim dan semata-mata untuk menghalang rakyat atau penjawat awam daripada terus bangki bersuara menyatakan kebenaran.

Jika Mejar Zaidi seorang tidak sayang kepada negara dan lebih mementingkan jawatannya, beliau boleh saja berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa pada ketika mata dan tangannya sendiri melihat penggunaan dakwat yang meragukan ketika pilihanraya 2013 itu.

Tetapi, kenapakah beliau sanggup pergi ke balai polis sedangkan tahu tindakan itu berisiko kepada jawatan dan mengundang bahaya kepada masa depan keluarganya sendiri?

Bermakna, ada sesuatu dalam hati dan jiwa Mejar Zaidi yang harus kita hargai, khususnya oleh kerajaan Pakatan Harapan yang berslogankan Malaysia Baru ini.

Meskipun Mohamad Sabu selaku Menteri Pertahanan dilaporkan masih mempertimbangkan rayuan Mejar Zaidi, walaupun permohonannya untuk dikembalikan semula jawatannya atau diberikan pencen sudah ditolak oleh TUDM, hakikatnya  kerajaan Malaysia Baru ini tiada pilihan selain menunjukkan pembelaan terhadap bekas juruterbang itu.

Kenapa takut membela Mejar Zaidi? Apakah susah sangat membela rakyat yang teraniaya?

Bukankah tindakan beliau melapor polis itu atas kapasitinya sebagai pengundi dan warganegara?

Apakah ini bermakna kerajaan Pakatan Harapan bersetuju dengan tindakan BN memecat dan menganiaya Mejar Zaidi sebelum ini?

Jika pada 2013 beliau dianggap hero dan disanjung atas keberaniannya, mengapa setelah kuasa diperolehi, penganiayaan harus diteruskan dan semangat heronya dulu tidak mahu dihargai?

Tidak terlewat untuk mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan, harus diinsafi bahawa semangat yang ditunjukkan oleh Mejar Zaidi pada 2013 itulah sebahagiannya yang menyumbang kepada kebangkitan rakyat menolak UMNO dan BN pada 9 Mei lalu.

Kepada Mat Sabu yang disanjung ramai dan berani masuk penjara beberapa kali demi perjuangan serta pernah melempar mikrofon ketika belum berkuasa, inilah masanya untuk beliau  menunjukkan keprihatinan dan pembelaan kepada rakyat yang teraniaya.

Apakah membela dan mengembalikan hak Mejar Zaidi lebih besar bebannya daripada masuk penjara?

Oleh itu, jangan berlengah lagi untuk membela dan mengembalikan hak yang sewajarnya kepada Mejar Zaidi sebelum kuasa pinjaman sementara ini ditarik balik dalam pilihanraya seterusnya. (ShahbudinHusin 08/08/2018)
Anda mungkin juga meminati:

No comments: