Daftar pengundi baru naik mendadak, diipercayai pengaruh spekulasi PRU13


KUALA LUMPUR, 8 Feb – Pendaftaran pemilih baru pada suku terakhir 2010, melibatkan bulan Oktober hingga Disember, meningkat secara ketara sehingga mencecah 300,000 orang – dilihat dipengaruhi ‘demam’ spekulasi pilihan raya umum dan gerakan pendaftaran secara agresif oleh parti-parti politik.

Perangkaan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menunjukkan seramai 292,444 orang memohon mendaftar sebagai pengundi baru antara Oktober dan Disember lalu berbanding 246,962 orang antara Julai dan September lalu.

Jumlah permohonan baru bagi suku terakhir tahun lalu meningkat hampir sekali ganda berbanding suku pertama 2010.

Pada suku pertama Januari hingga Mac 2010, SPR menerima 134,298 permohonan baru dan ia meningkat kepada 191,970 sepanjang April dan Jun.

“Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih suku tahun keempat, Oktober hingga Disember, SPR telah menerima sebanyak 292,44 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan sebanyak 38,820 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi,” kata pegawai perhubungan awamnya Sabri Said dalam satu kenyataan.

Arah aliran peningkatan jumlah permohonan baru itu sama dengan situasi pada 2007 di mana ia mengalami peningkatan ketara menjelang pilihan raya umum ke-12, yang berlangsung pada suku pertama tahun 2008.

Sehingga 27 Disember lalu rekod SPR menunjukkan negara mempunyai 11,532,876 pengundi iaitu 5.956 juta pengundi kalangan orang Melayu, Cina (3.571 juta), India (839,700), Bumiputera Sabah (540,086), Bumiputera Sarawak (472,628), Orang Asli (57,453) dan lain-lain (94,555).

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider awal bulan lalu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata beliau tidak dapat memberikan jumlah permohonan baru kasar melibatkan suku terakhir meskipun beliau mengharapkan ia akan mencecah paras 250,000.

Dalam kenyataanya hari ini Sabri berkata, selaras dengan kehendak Peraturan 13(5A) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku tahun keempat 2010 akan dipamerkan mulai esok hingga 15 Februari ini di 1,006 tempat pameran di seluruh negara.

Sehubungan itu kata beliau, mana-mana warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi seorang pemilih atau mana-mana pemilih yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi harus menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010.

“Dalam hal ini mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 itu bolehlah membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B,” katanya.

Beliau berkata, bagi mana-mana pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 bagi satu-satu bahagian pilihan raya itu bolehlah membuat bantahan tersebut dengan mengisi Borang C.

Kata Sabri, selain mempamerkan nama-nama pemilih baru dan nama-nama pemilih berdaftar yang memohon untuk bertukar alamat pusat mengundi, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih.

“Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati telah meningal dunia, lucut hak warganegara dan telah bersara daripada Angkatan Tentera atau perkhidmatan polis yang bermakna mereka telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya,” katanya.

“Di sini juga SPR ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-10 dan pilihan raya umum ke-13 akan datang, SPR menasihatkan kepada pemilih-pemilih berdaftar supaya membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih mereka,” katanya.

Kata beliau, ia penting bagi memastikan pemilih-pemilih terbabit didaftarkan di lokaliti yang betul dan bagi mengelak tohmahan atau dakwaan bahawa SPR memindahkan pemilih atau pun menukar lokaliti seseorang tanpa dipohon.

“Jika keadaan ini berlaku menjadi sesuatu pilihan raya, SPR tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya.

“Sekiranya terdapat kesilapan penempatan lokaliti dan maklumat pendaftaran mereka, pemilih berdaftar perlu membuat aduan kepada SPR,” katanya.

Selain itu katanya, bagi pemilih-pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin, mereka digalakkan untuk membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di sesuatu pusat mengundi berdekatan dengan tempat kediaman masing-masing.

“Jika ada mana-mana pihak yang mempunyai sebarang pertanyaan, boleh menghubungi ibu pejabat SPR melalui nombor telefon 03-88856500 atau melalui faks 03-88889117 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

“Orang ramai juga boleh melayari laman web SPR di www.spr.gov.my untuk semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010,” katanya.

Merealisasikan Malaysia sebagai sebuah Negara Bangsa

Hafiz Zainuddin


Dari sebuah sudut, kita akui Malaysia merupakan sebuah negara yang bebas. Maksud saya bukan bebas berdemonstrasi. Sering, demonstrasi jalanan seboleh-bolehnya dikekang habis-habisan oleh kerajaan. Yang saya maksudkan bebas ini ialah setiap kaum di Malaysia bebas mengamalkan ajaran agama dan budaya masing-masing. Berhimpun di hari Thaipusam, berarak beramai-ramai semasa Maulidurrasul, bebas melaungkan Azan, perarakan pesta Tanglung, membaling limau ke dalam sungai, bermain alat musik di kuil-kuil, membakar colok di tempat terbuka dan sebagainya.

Ya. Kebebasan berbudaya dan beragama di Malaysia telah dikecapi sebelum merdeka lagi. Cuma masyarakat Melayu sahaja yang sedikit kurang kebebasan. Saya teringat sebuah pernyataan dari lecture yang dibuat oleh Hishamuddin Rais (gambar kanan) dalam stand up comedy beliau sempena pelancaran Bersih 2.0. Bunyinya begini ".......The Chinese can change religion every three days. The 'Melayu' cannot change religion at all...". Ia kemudian disambut dengan gelak ketawa dan tepukan audien. Dalam lecture tersebut, beliau cuba menggambarkan situasi semasa yang dihadapi oleh kaum Tionghua dan Melayu di Malaysia.

Baiklah, kita ke Singapura. Suatu ketika dahulu, selepas Singapura mencapai kemerdekaan (dari Malaya), urusan kebudayaan dan keagamaan disekat. Sekolah-sekolah beraliran Cina dan Tamil dibubar untuk mengurangkan semangat "kecinaan dan keindiaan". Atas iltizam dan visi Lee Kuan Yew, Singapura telah berjaya menjadi sebuah negara-bangsa. Walaupun pada awalnya wujud sedikit kekangan kebebasan berbudaya dan beragama, Singapura kini terus bergerak ke hadapan. Lee Kuan Yew telah berjaya menyatukan kebudayaan Singapura. Lee Kuan Yew dilihat berjaya mengasimilasikan masyarakat Singapura. Kita boleh meletakkan Singapura sebagai contoh negara-bangsa yang maju dan berjaya. Kita boleh berbangga kerana Singapura adalah jiran kita yang kuat memberi saingannya.

Kekangan pembentukan Negara Bangsa

Berbalik kepada Malaysia. Persoalan yang ingin saya lontarkan; apakah kebebasan berbudaya dan beragama di Malaysia lebih separuh abad ini menjadikan kita saling faham memahami antara satu sama lain? Apakah kebebasan berbudaya dan beragama di Malaysia sekarang ini mampu menjadi titik tolak kepada cita-cita pembinaan negara bangsa Malaysia?

Adakah kepelbagaian budaya ini sebagai kekangan pembentukan negara bangsa? Adakah kita sebagai rakyat Malaysia bersetuju memenuhi impian dan gagasan negara bangsa Malaysia? Paling penting, apakah makna negara bangsa ini buat kita? Semua persoalan yang di lontarkan ini bakal mengundang senyum sinis sesetengah pihak. Mungkin ada yang berpendapat penyatuan ini "Tidak mungkin berlaku sama-sekali".

Apakah maksud negara bangsa? Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka, negara bangsa didefinisikan sebagai negara yang berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Rata-rata kita mungkin bersetuju dengan saya. Pembinaan sebuah negara bangsa di Malaysia adalah sebuah jalan jauh berliku yang memerlukan keikhlasan semua pihak.

Mari kita lihat beberapa faktor cabaran di sebalik pembinaan negara bangsa di Malaysia. Pertamanya adalah disebabkan faktor kemajmukan kaum. Masing-masing mempunya identiti dan kebanyakannya menetap bersama komuniti masing-masing. Keduanya ialah agama, setiap kaum di Malaysia boleh dikatakan mewakili agama tertentu. Melayu dengan Islam, Cina dengan Buddha, India dengan Hindu, Iban - Kadazan dengan Kristian dan sebagainya.

Tidak seperti di Indonesia, warga berketurunan Jawa terasimilasikan dengan baik. Mereka boleh terdiri dari beberapa agama contohnya Jawa Hindu, Jawa Islam, Jawa Kristian dan Jawa Buddha. Ketiganya, disebabkan faktor ekonomi. Secara umumnya di Malaysia, kaum Tionghua dilihat mendominasi ekonomi manakala pada masa yang sama, Dasar Ekonomi Baru yang digunakan untuk membantu kaum Bumiputera dilihat gagal mencapai sasaran. Apabila wujud jurang ekonomi yang nyata, akan wujud tanggapan negatif yang bakal mengundang rasa tidak puas hati di kalangan kaum.

Selain itu kewujudan parti-parti politik berasas kaum dan suku yang menjadi duri dalam daging kepada pembentukan negara-bangsa. Parti-parti politik berasaskan kaum ini tidak lain tidak bukan sebagai penerus legasi penjajah British dengan konsep devide and rule (pecah dan perintah) mereka.

Sebelum kita melihat dengan lebih jauh. Saya ingin bertanya kepada anda. Sekiranya anda berketurunan Tionghua, apa pandangan anda terhadap orang Melayu, India dan masyarakat Dayak? Sekiranya anda berketurunan Melayu, apa pandangan anda terhadap orang Tionghua, India dan masyarakat Dayak? Dan begitulah soalan-soalan seterusnya. Apa pandangan anda? Pasti akan wujud pelbagai pandangan dan tanggapan yang berbeza berdasarkan pengalaman dan pergaulan masing-masing.

Saya mungkin boleh bersetuju dengan blogger A. Kadir Jasin (dan tolong jangan labelkan saya rasis) dalam tulisan beliau di Malaysia Today yang berkata "...Sebaliknya mempertahankan hak bangsa-bangsa lain di bumi yang sama adalah 'hak'. Natijahnya, orang Melayu mempertahankan haknya dia dianggap rasis, tetapi apabila orang bukan Melayu melakukan yang sama ia dikatakan hak mereka..." Mungkin ada kebenarannya apa yang dikatakan oleh beliau.

Persoalan hak bukan sesuatu yang baru. Persoalan hak adalah persoalan yang sensitif. Tetapi; apabila bercakap mengenai "hak", Malaysia dan masyarakat Melayu, ada sessuatu yang saya ingin kongsikan. Apa yang dihadapi oleh "Melayu" sebenarnya adalah pertembungan tamadun. Ini bererti, tamadun Melayu di nusantara bertembung dengan tamadun yang suatu ketika dulu sebagai tamadun yang agung, kuat dan gemilang iaitu Tamadun China dan Tamadun India. Pembinaan tamadun ini melalui pelbagai proses kematangan sejak ribuan tahun dahulu dan mengecapi kemajuan tersendiri.

Sejarah kebudayaan dan kemajuan tamadun dari China dan India ini jauh lebih lama dari tamadun Melayu dan nusantara amnya. Malah ketamadunan Melayu dilihat banyak bergantung kepada kedatangan Islam sekitar kurun ke 11 hingga 13 dahulu dengan penemuan batu bersurat di Terengganu.

Kemasukan kaum Tionghua dan India membawa cara kerja dan budaya yang berbeza. Budaya cara kerja inilah merupakan sebahagian daripada batu loncatan untuk mengecapi kejayaan selain faktor penjajahan. Budaya kerja ini (dilihat dari masyarakat Tionghua) mampu memberi saingan dan meletakkan sesebuah kaum itu ke tahap tertentu dalam sesebuah negara. Buku "Rahsia Bisnes Orang Cina" tulisan Ann Wan Seng contohnya; mendedahkan rahsia bagaimana budaya kerja dan perniagaan masyarakat Tionghua diuruskan dan menguasai pasaran.

Saya telah bawa anda membincangkan perkara ini panjang lebar. Walau bagaimanapun hal ini wajar. Ia penting supaya kita mampu melihat bagaimana kebebasan berbudaya dan beragama-perjuangan hak-pertembungan tamadun ini saling berkait rapat dan memandu kita untuk mewujudkan negara bangsa.

Apa pentingnya merealisasikan cita-cita negara bangsa untuk Malaysia?

Tanpa usaha serius kerajaan dan rakyat Malaysia merealisasikan cita-cita negara bangsa ini, ia dikhuatiri bakal mengundang masalah besar kepada negara. Persaingan tidak sihat antara kaum akan sentiasa berlaku. Sekiranya tidak dibendung, ia akan menjadi lebih berbahaya ibarat bom jangka yang bila-bila masa sahaja boleh meletup. Anak-anak kita akan sentiasa dihantui dengan prasangka-prasangka negatif dan berbaur kebencian. Saya ingi bertanya, adakah ini sihat untuk Malaysia?

Merealisasikan cita-cita negara bangsa bertujuan demi survival Malaysia untuk masa yang panjang. Keluar dari belenggu perkauman sempit yang telah lama diprogramkan. Isu perkauman cuma akan membawa masalah besar untuk kita dan generasi akan datang. Persoalan hak berbudaya-beragama-berekonomi tidak timbul jika wujud usaha keras mengintegrasikan masyarakat. Bukan tidak wujud usaha ini seperti gagasan 1Malaysia, masalah terbesarnya adalah pemacu gagasan 1Malaysia itu sendiri bersifat rasis dan konservatif!

Kewajaran Asimilasi?

Saya berani berkata bahawa masyarakat majmuk di Malaysia gagal diintegrasikan. Kita gagal berasimilasi! Asimilasi di Malaysia cuma berlaku pada makanan. Saya tidak melihat bahawa Instruksi Presiden Republik Indonesia nombor 14 tahun 1967 yang antaralain menghad kebebasan berbudaya dan beragama masyarakat Tionghua di Indonesia sebagai perkara yang wajar. Malah arahan ini adalah bertujuan untuk menghapuskan pengaruh komunis dari China.

Akan tetapi, "Inpres" ini berjaya mewujudkan sebuah negara bangsa Indonesia. Apakah arahan mahupun peruntukan undang-undang seperti "Inpres" ini wajar dilaksanakan Malaysia. Tidak. Samasekali tidak dan tidak mungkin berlaku. Sejarah telah meletakkan kita (Malaysia dan Indonesia) berada dalam situasi yang berbeza. Proses mengintergrasikan kaum harus dibuat mengikut acuan kita. Acuan Malaysia. Saya secara peribadi percaya Malaysia akan menjadi sebuah negara bangsa. Lalu satu lagi persoalan timbul. Adakah proses integrasi atau asimilasi ini akan memberi jaminan hak samarata dan adil untuk semua kaum di Malaysia kelak?

Kisah "pembebasan" di Memorial Lincoln

Saya ingin membawa sebuah contoh yang baik untuk persoalan ini. Saya ingin bercerita lagi. Di sebuah hari yang gemilang tahun 1963, terhimpun lautan manusia yang besar. Mereka berjalan, berarak dan menyanyi beramai-ramai dengan penuh semangat dan harapan. Mereka memegang sepanduk dan menyatakan sokongan. Mereka kelihatan gagah-berani untuk berubah. Yang tua bergandingan dengan yang muda manakala anak-anak kecil dipimpin tangan. Mereka terdiri dari lelaki-lelaki dan wanita-wanita di kalangan masyarakat kulit hitam dan kulit putih.

Memorial Lincoln telah menjadi saksi terhimpunnya kira-kira 250,000 rakyat. Inilah tarikh keramat titik tolak kepada sebuah pembebasan. Membebaskan diri dan negara dari "perhambaan". Himpunan raksasa ini adalah tuntutan demi hak asasi manusia, maruah dan kesamarataan. Martin Luther King adalah wira Amerika! Pada hari ini bergembiralah seluruh negara! Ungkapan Martin Luther "I have a dream..." telah menjadi kenyataan.

I have a dream that one day this nation will rise up and live out the true meaning of its creed: "We hold these truths to be self-evident, that all men are created equal......I have a dream that one day on the red hills of Georgia, the sons of former slaves and the sons of former slave owners will be able to sit down together at the table of brotherhood.- Martin Luther King

Sekitar empat dekad selepas perhimpunan tahun 1963 itu, perjuangan untuk mendapatkan hak kesamarataan dan menentang diskriminasi kaum telah mencapai kemuncak. Kemenangan Barack Obama (gambar kiri) sebagai Presiden Amerika Syarikat telah membuka mata dunia bagaimana masyarakat minoriti kulit hitam dari Afrika ini telah mampu untuk memenangi kerusi Presiden Amerika Syarikat. Ia sesuatu yang tidak pernah tersangkakan oleh siapapun sebelum ini apatah lagi etnik "kulit hitam" cuma mewakili kurang 13% dari populasi Amerika. Ini sebuah natijah. Tembok perkauman terus melebur dalam meritokrasi dan semangat insani. Ia mendahului zaman. Sekarang, setiap individu di Amerika bebas mengejar impian dan mencapai kejayaan. Samaada mereka dari etnik Indian-Afrika-Yahudi-Cina-India-Arab-Kaukasia-Eropah dan sebagainya; masing-masing punya hak samarata!

Kita telah pun ketahui, perhambaan kulit hitam di Amerika suatu ketika dahulu telah membuka kepada perjuangan kumpulan minoriti kulit hitam menuntut kebebasan. Budaya dan sejarah Amerika terlalu jauh jika dibandingkan dengan budaya dan kaum di Asia tenggara khususnya di nusantara. Sejarah telah membentuk kita untuk bereaksi; Bagaimana penjajahan telah memainkan peranan dalam membentuk minda dan budaya politik tanah air. Saya menceritakan sejarah tahun 1963 di Amerika ini untuk memperingati detik itu dan membuka minda kita rakyat Malaysia agar dijadikan perbandingan dan kayu ukur.

Kebebasan berbudaya-beragama-berekonomi dan bersosial yang wujud di Malaysia hari ini harus dipandu ke arah proses pengintegrasian dan asimilasi untuk merealisasikan cita-cita negara bangsa. Justeru, pada masa yang sama, kerajaan harus memainkan peranan terbesar dalam mencari jalan penyelesaian keatas setiap permasalahan yang berlaku. Segalanya harus diubah. Good governance harus menjadi tunjang dalam pentadbiran. Dasar-dasar kerajaan yang dilihat gagal harus diperbaharui. Para koruptor harus diadili-pemulihan ekonomi dilihat sangat penting sebelum memulakan langkah pertama pembinaan negara bangsa.

Rujukan:
http://en.wikipedia.org/wiki/Demographics_of_the_United_States
http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=Negara+Bangsa
http://malaysia-today.net/mtcolumns/from-around-the-blogs/37870-malaysia-tanah-pusaka-orang-melayu
Rustam Sani; Buku:- Melayu Baru dan Bangsa Malaysia: Tradisi Cendekia dan Krisis Budaya, Kuala Lumpur, Utusan Publications & Distributors 1993.

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

CALON MERLIMAU

Ketuanan Melayu Umno tidak laku kepada anak muda

Mohd Aizat Mohd Salleh


Apabila memperkatakan tentang ketuanan Melayu, maka kita akan bercakap mengenai hak orang Melayu. Hari ini banyak pihak begitu lantang menyuarakan berkenaan itu terutama daripada Umno dan NGO Pro-Umno.

Bagi anak muda, sesetengah mereka berasa tidak ada keperluan ‘terpekik-pekik’ seperti mana yang dilakukan sesetengah pihak. Mungkin kerana anak muda hari ini tidak tahu langsung, ataupun barangkali sudah faham benar.

Bagi anak muda, khususnya pasca-Merdeka yakni mereka yang lahir selepas Merdeka ataupun sepuluh tahun selepas merdeka, Ketuanan Melayu tidak boleh dipaksa kepada mereka untuk diperjuangkan.

Lebih lagi anak muda yang faham.

Sejarah

Bukan bermaksud anak muda ini gagal menghayati sejarah, jauh sekali ‘menderhaka’ perjuangan tokoh-tokoh Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan dahulu. Malah ada dikalangan mereka, walaupun tidak melaluinya (situasi perjuangan kemerdekaan), lebih menjiwai melalui penceritaan tokoh dan dokumentari.

Jika dahulu, pelajar dipaksa memahami sejarah melalui buku-buku teks sejarah yang kadangkala faktanya lebih berat sebelah yakni hanya memaparkan perjuangan tokoh Umno yang pro-penjajah. Mereka seumpama Dr Burhanuddin dilabel sebagai tokoh berhaluan kiri, walaupun beliau juga memperjuangkan kemerdekaan yang bersifat anti-penjajah.

Namun, anak muda hari ini, maklumat dan aksesnya lebih luas. Ada facebook, blog, e-book, wikipedia dan pelbagai lagi sumber maklumat untuk mengetahui sejarah.

Bahkan buku-buku sejarah orang Melayu yang bersifat analisis semakin banyak diterbitkan. Misalnya karya Dr Syed Hussin Ali bertajuk Melayu: Masalah dan Masa Depan dan The Malay Dillema karya Tun Dr Mahathir. Malah karya bertajuk Membina dan Meruntuh Malaysia yang ditulis oleh Datuk Ahmad Mustafa Hassan juga sebagai catatan sejarah berkenaan perjuangan Melayu era dahulu dan kini.

Tidak boleh tipu anak muda

Anak muda hari ini tidak lagi boleh ditipu dengan sejarah, apatah lagi ditipu dengan perjuangan menuntut Ketuanan Melayu.

Anak muda akan mempersoalkan dicelah manakah perjuangan Ketuanan Melayu, namun dalam masa yang sama hak mereka untuk mendapatkan biasiswa di dalam pendidikan yang sepatutnya diberikan kepada kesemua anak-anak Melayu dinafikan.

Anak muda juga akan mempersoalkan siapakah sebenarnya pejuang sebenar Ketuanan Melayu pada hari ini, apabila usul di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Sultan ditolak oleh Adun Umno. Sedangkan anak muda boleh membaca sejarah tentang perjuangan Melayu itu.

Anak muda boleh dengan mudah mendapatkan fakta dengan luas dan dapat membezakan bagaimana harga barang yang melambung naik pada hari ini di negara Malaysia jika dibandingkan dengan negara-negara jauh lebih murah yang sama majunya dengan Malaysia.

Begitu juga anak muda akan mempersoalkan berkenaan ‘kekeringan’ peluang pekerjaan di negara tanah tumpah air mereka ini jika hendak dibandingkan dengan negara yang sudah merdeka sama seperti Malaysia. Semua itu anak muda ketahui.

Justeru untuk menipu ‘bulat-bulat’ anak muda dengan perjuangan Ketuanan Melayu sebagai pembela adalah tindakan yang meludah ke langit, terpercik ke muka sendiri.

Walhal nasib anak muda hari ini tidak juga berubah. Sudahlah perlu membayar semula pinjaman pendidikan, dengan peluang pekerjaan yang tidak menentu serta gaji yang tidak sepadan dengan harga barang dan perbelanjaan. Belum lagi memikirkan bagaimana tempat tinggal, jauh sekali mahu mendirikan rumah tangga.

Saya tidak pasti, bilakah akan berlaku ‘pemuda membakar diri’ kerana kesempitan ini. Kita jangan rasa tidak mungkin berlaku. Ini kerana sifat anak muda itu adalah tidak mudah dijangka (unpredictable).