Jangan Halang Kaum Lain Bantu Umat Islam, Kata Anwar



PETALING JAYA 29 OGOS : Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan umat Islam agar tidak menghalang mana-mana kaum di negara ini daripada menghulurkan bantuan kepada Muslim yang miskin kerana ia menjadi kewajiban kepada semua untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.

“Kita tidak harus menghalang mereka... sesiapa sahaja, mana-mana kaum, mana-mana agama daripada menjalankan atau mengambil inisiatif untuk membantu sesiapa,” kata beliau kepada pemberita di ibu pejabat PKR, semalam.

Jelasnya, ini kerana pihak gereja sendiri diminta agar diberi kebebasan untuk membantu golongan miskin tanpa mengira kaum, di sebalik dakwaan bahawa masyarakat Kristian berusaha untuk menukar agama umat Islam menerusi kerja-kerja kebajikan.

Awal bulan ini, Jabatan Agama Islam Selangor memeriksa satu majlis makan malam muhibah yang diadakan di Gereja Methodist Damansara Utama ekoran aduan bahawa ada usaha untuk memurtadkan umat Islam.

Semalam, Exco kerajaan negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mengumumkan penubuhan Unit Selamat Akidah yang akan bertindak sebagai platform menerima aduan dan permohonan bantuan daripada umat Islam di negeri itu.

Hasan, Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor berkata, penubuhan unit itu diwujudkan berikutan masalah umat Islam terutamanya berhubung “dengan persoalan kristianisasi yang kini telah menarik perhatian umum.”

“Orang-orang Islam yang dihimpit oleh kesusahan dan kesempitan hidup didapati terdedah kepada risiko meggadaikan akidah mereka demi menyambung kehidupan yang lebih baik bersama ahli keluarga.

“Pejabat ini memandang berat segala bentuk pandangan negatif terhadap apa yang sedia dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan negeri, badan-badan dan pertubuhan sukarela yang dianggap tidak banyak membantu menyelesaikan masalah golongan ini,” katanya.

Bagaimanapun Anwar yang juga Ketua Pembangkang Malaysia berkata, usaha untuk memudahkan penggunaan wang zakat tidak seharusnya dilihat sebagai reaksi kepada usaha pihak Kristian yang banyak diperkatakan.

“Kita ada saluran, kita ada sumber. Lakukan sahaja,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, zakat negeri seharusnya diurus dengan telus bagi memastikan bantuan bagi golongan miskin sampai di tangan mereka yang memerlukan berbanding kerugian berbilion ringgit ekoran rasuah dalam sistem pentadbiran.

"Dari sudut prinsipnya agihan wang zakat seharusnya telus dan bertanggungjawab. Masalah seperti ini bukan sahaja berlaku di Selangor, tetapi juga berlaku di Johor sebelum ini, dan seingat saya terdapat sebuah lagi negeri dimana mereka telah menyalahgunakan wang zakat. Jadi perlu ada ketelusan dalam pengurusan wang zakat," tambahnya.


Penjualan Esso Malaysia Kepada Firma Filipina Bukti Kegagalan BN



KUALA LUMPUR 29 OGOS : Cadangan penjualan Esso Malaysia Berhad dan syarikat berkaitannya kepada San Miguel Corporation yang merupakan sebuah syarikat dari Filipina dipandang serius Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, jika urusan jualan itu diteruskan ia akan memberi kesan negatif jangka panjang kepada industri minyak dalam negara sekali gus memperlihatkan satu lagi kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kepentingan negara dalam industri strategik.

Baru-baru ini, San Miguel mencadangkan kepada ExxonMobil International Holdings Inc, untuk mengambil alih 65 peratus kepentingan ekuiti dalam Esso Malaysia melibatkan dana RM614.25 juta. Esso Malaysia ialah anak syarikat ExxonMobil International.

San Miguel berkata syarikat itu juga merancang membuat penawaran pengambilalihan mandatori untuk memperoleh baki saham yang tidak dimiliki oleh syarikat selepas cadangan pengambilalihan itu.

Serentak dengan tawaran pengambilalihan Esso Malaysia, San Miguel juga mencadangkan kepada Mobil International Petroleum Corp dan ExxonMobil International untuk mengambil alih ExxonMobil Malaysia dan ExxonMobil Borneo pada paras AS$403.979 (RM1.2 billion) juta.

Cadangan pengambilan alihan itu akan menyediakan San Miguel dengan peluang unik untuk meluaskan portfolio peniagaan penapisan dan pemasaran minyak di luar Filipina.

Awal minggu ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga meminta Putrajaya memberi penjelasan mengenai isu tersebut.

“Perlu diingat bahawa urusan niaga itu juga termasuk loji penapisan minyak milik Esso di Port Dickson, yang merupakan aset penting negara," Kata Anwar.

Tegas Hadi, pihak kerajaan melalui pihak berkuasa kementerian yang berkenaan wajib untuk tidak meluluskan urus niaga tersebut dan Esso mestilah menawarkan penjualan asetnya kepada syarikat dalam negara, sebagaimana yang ditawarkan oleh beberapa pihak yang menunjukkan minatnya seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Tambah Hadi lagi, perlu diingatkan bahawa Kongres Amerika Syarikat pernah menghalang penjualan Union Oil of California kepada syarikat minyak milik negara China atas kepentingan strategik.

“Sepatutnya kerajaan yang ada ini, bersama dengan Petronas melalui Petronas Dagangan Berhad bertindak untuk menentukan keselamatan bekalan bahan petroleum dan harga bahan petroleum kekal pada paras yang munasabah.

“Sekali gus Petronas Dagangan juga tidak boleh melupakan peranannya untuk membina dan mempertahankan usahawan-usahawan Bumiputera yang turut menyumbang kepada kerancakan perkembangan ekonomi negara,” katanya.

Katanya, walaupun Petronas Dagangan menduduki tempat pertama dalam pasaran bahan petroleum dan negara, penguasaannya dalam syer peruncitan iaitu pasaran stesen minyak hanyalah sekitar 30 peratus walhal sektor ini dipercayai menyumbangkan lebih 60 peratus dari keuntungan Petronas Dagangan.

“Sektor inilah yang paling banyak menerima subsidi kerajaan di mana hampir 70 peratus jumlah subsidi yang dibayar dengan menggunakan wang rakyat mengalir kepada syarikat-syarikat luar negara seperti ExxonMobil, Shell dan Caltex.

“Sepatutnya kerajaan yang menguasai Petronas Dagangan mempunyai pandangan strategik dengan menjadi syarikat pertama untuk mengambil alih Esso sekali gus menguasai sektor ini dari 30 peratus kepada hampir 50 peratus,” katanya.

Beliau menambah PAS percaya bahawa masih belum terlambat bagi Petronas Dagangan atau LTAT untuk memulakan perundingan bagi mengambil alih Esso.

“PAS juga mendesak kerajaan supaya menyemak semula penstrukturan subsidi minyak supaya syarikat-syarikat luar negara tidak membolot sebahagian besar jumlah subsidi kerajaan yang berjumlah berbilion-bilion ringgit.

“Kerajaan dan Petronas mestilah bertindak pantas secara strategik supaya kestabilan bekalan bahan petroleum domestik pada paras harga munasabah terus dibina dan dilindungi dan kepentingan negara tidak terhakis,” katanya lagi.

Malah kata beliau, PAS tidak akan bertolak ansur dalam isu strategik dan mempunyai impak jangka panjang kepada keselamatan negara, perkembangan ekonomi dan kepentingan rakyat Malaysia seperti penjualan Esso kepada kepentingan luar.

Didakwa Hina Pejuang, Mat Sabu Mahu Teliti Rakaman Ceramah



KUALA LUMPUR 28 OGOS : Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengambil pendirian untuk tidak memberi sebarang komen berhubung dakwaan akhbar Utusan Malayisa apabila mengatakan beliau menghina pejuang kemerdekaan dalam satu ceramah di Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.

Sebaliknya, Mohamad Sabu menegaskan, beliau mahu melihat kembali rakaman video berhubung ceramah itu sebelum memberikan sebarang komen.

“Saya berucap pada 21 Ogos tapi keluar dalam Utusan Malaysia 27 Ogos, saya tidak mahu beri apa-apa komen lagi... saya nak dengar dan lihat balik rakaman video itu dulu.

“Saya tidak mahu nafi atau apa, saya nak tengok balik... saya tak tahu apa yang dilaporkan (dalam Utusan Malaysia) sama ada ia betul atau tidak,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Akhbar milik Umno itu sejak semalam terus menyerang Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu kerana menghina perjuang kemerdekaan dengan menganggap pihak komunis yang menyerang pasukan keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950 adalah hero sebenar.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Mohamad itu yang mengangkat pengganas komunis sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara.

Malah, Muhyiddin turut menyifatkan kenyataan Mohamad bahawa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan adalah sesuatu yang biadab.

“Kenyataan Mohamad Sabu ini adalah satu penghinaan dan pengkhianatan terhadap perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan tanah air.

“Sebaliknya beliau dengan angkuhnya telah mengangkat kezaliman pengganas komunis sebagai satu kemuliaan,” katanya.

Muhyiddin menegaskan Mohamad wajar memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana membuat kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab itu.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya semalam menyiarkan kontroversi yang dicetuskan Mohamad apabila mendakwa Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.

Hari ini akhbar Kumpulan Utusan, Mingguan Malaysia memperuntukan enam halaman termasuk muka depan mengecam Mat Sabu.

Selain itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu, Mohamad turut didakwa menggambarkan Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah pegawai British.

Bagaimanapun dalam rakaman video ceramah itu, The Malaysian Insider mendapati Mohamad langsung tidak menyebut apa-apa tentang Goh sebaliknya hanya menegaskan Muhhammad Indera adalah pejuang kemerdekaan yang sebenarnya.

“Cerita sejarah kita banyak yang tidak kena, bukan kepung polis itu polis British, askar Bukit Kepong itu pejuang kemerdekaan, ketuanya Mat (Muhammad) Indera, Melayu tetapi semua sejarah ditutup.

“Jins Shamsuddin buat filem, dia tu Umno, cerita Bukit Kepong, askar Bukit Kepong ditahan polis British sebab sebelum kemerdekaan negara diperintah oleh British,” katanya.

Tambah beliau: “Tapi dalam filem askar itu pengganas, padahal Mat Indera ketua balai polis dan akhirnya dia dihukum gantung.”

Jelas Mohamad, peristiwa sama turut berulang kepada Tok Janggut di Kelantan yang dianggap pengganas kerana menentang British.

“Tok Janggut lawan British tapi sebelum British nak bunuh dia, dia (British) hasut Sultan Kelantan untuk isytihar Tok Janggut sebagai penderhaka.

“Bila isytihar Tok Janggut penderhaka barulah Tok Janggut dihukum gantung di Pasir Puteh Kelantan,” katanya.

Dalam ceramahnya itu beliau menyifatkan semua sejarah tentang kemerdekaan negara adalah bohong.

“British dikatakan pejuang kemerdekaan, siapa pegawai British? Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman.

“Yang lawan British jadi pengganas,” katanya.

(function() { var d = document, w = window; w

RINGKASAN IMBUHAN YANG DITOLAK ANWAR