Betul ke PKR ada ahli seramai 400,000 orang? Rasa ragu dan pelik ini memang sudah menjadi bualan ramai lebih-lebih lagi melihat pada jumlah ahli parti itu yang keluar mengundi dalam pemilihan jawatan utama parti itu yang sedang berlangsung sekarang.

Seorang bekas orang kanan parti itu tampil setelah membaca mengenai isu berkenaan dalam ruangan Sembang Kawan di Agendadaily Jumaat.

Bekas Setiausaha PKR Selangor, Mohd Nazmi Rosli mendakwa jumlah ahli yang digembar-gembur oleh parti itu hanya temberang.

Dakwanya tujuan PKR tipu jumlah ahli parti itu kononnya ramai semata-mata sebagai taktik rundingan pembahagian kerusi dengan PAS dan DAP.

“Mempunyai ahli yang ramai merupakan syarat penting rundingan kerusi dalam Pakatan Rakyat, sebab itu PKR terpaksa dakwa mempunyai ahli yang ramai untuk kaburi mata DAP dan PAS supaya parti itu dapat bertanding banyak kerusi,” katanya kepada Agendadaily Jumaat malam.

Sedangkan menurut Nazmi, hakikat sebenar ahli PKR jauh lebih rendah, dan jumlah itu dapat dilihat kepada ahli yang komited menyertai proses pemilihan PKR kali ini.

“Contohnya di Sungai Petani hari ini hanya 202 sahaja yang keluar mengundi daripada 3,222 ahli, jadi soalannya, betul ke ada ahli banyak macam itu, atau hanya data yang dimasukkan untuk tujuan lain?” soal beliau.

Ruangan Sembang Kawan membuat komentar mengenai perkiraan jumlah undi untuk jawatan Timbalan Presiden PKR di mana hanya 11,600 ahli yang mengambil bahagian.

Kalau mengikut putara… dari jumlah yang mengundi Azmin Ali, Datuk Zaid Ibrahim dan Mustafa Kamil Auyb di 87 cabang yang telah selesai mengadakan pengundian setakat hujung minggu lalu hanya 134 ahli mengundi pada setiap cabang.

Menurut Nazmi, PKR selama ini hanya menumpang kekuatan PAS dari segi mobilisasi jentera setiap kali berlangsung pilihanraya.

“Tanpa sokongan jentera PAS dalam pilihanraya umum 2008, PKR tidak akan menang kerusi sebanyak yang kita lihat hari ini,” kata beliau.

Jelasnya lagi, apa yang mengecewakan ahli PAS sehingga kini adalah selepas menang besar PKR berlagak macam bos dalam Pakatan Rakyat.

“PAS hanya dapat ‘seredak’ sahaja, sebab itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri baru-baru ini mengatakan PAS tidak mahu hanya melihat sahaja kemenangan ini tetapi mereka juga mahu memimpin dan memberi makna pada kemenangan Pakatan Rakyat ini,” ujarnya.

Menurut Nazmi, PKR perlu berterima kasih kepada bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Nor yang sanggup berkorban dengan menerima PKR sebagai parti baru dalam Barisan Alternatif ketika itu.

“Tanpa pengorbanan Fadzil Nor, tidak akan ada Pakatan Rakyat hari ini, PKR tidak ada apa-apa, Anwar hanya menumpang apa yang telah diusahakan oleh Fadzil Nor semasa beliau dipenjara.

”Bahkan selepas Fadzil Nor meninggal dunia pun, dan Anwar bebaskan pun, PAS yang berperanan besar termasuk dalam ‘Demo Bersih’ beberapa bulan sebelum pilihanraya umum ke 12” kata beliau.

Dalam pilihanraya umum ke 12 BN hanya memenangi 140 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi yang ditandinginya. Di peringkat DUN, BN hanya memenangi 307 kerusi daripada 505 kerusi yang ditandinginya.

PKR telah memenangi 31 kerusi Parlimen dan 42 kerusi DUN, Pas menang 23 Parlimen dan 83 DUN manakala DAP menang 28 kerusi Parlimen dan 71 kerusi DUN.-12/11/2010