Umno terus ajak PAS bersama BN, bukannya gantikan Umno-BN

Umno terus ajak PAS bersama BN, bukannya gantikan Umno-BN

November 14, 2010
KUALA LUMPUR, 14 Nov — Umno terus mengajak PAS agar bersama parti teras Barisan Nasional (BN) itu daripada hanya bercita-cita mahu menggantikannya atau memintanya supaya berundur secara terhormat jika kalah dalam pilihan raya umum ke-13.

Malah Umno juga mendakwa kedudukan PAS akan lebih baik jika komponen Pakatan Rakyat (PR) itu bersama BN daripada terus berganding dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“PKR dan DAP itu hanya membebankan PAS.

“PAS akan lebih baik bersama Umno-BN bukan bersama PKR dan DAP yang tidak sehaluan dengan PAS,” kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Suara dan pandangan agar Umno-PAS terus kedengaran sejak selepas pilihan raya umum 2008 yang mana PAS bersama DAP dan PKR menafikan kedudukan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan selepas pentadbiran lima negeri jatuh ke tangan PR.

Sehubungan itu, Ahmad juga mengingatkan PAS supaya mengkaji dahulu kedudukan mereka dalam PR dan Parlimen sebelum membuat keputusan untuk menggantikan parti Melayu terbesar itu.

Malah, Ahmad berkata Umno-BN masih lagi memegang tampuk pemerintahan negara sambil menjelaskan pilihan raya umum ke-13 masih belum diketahui bila akan diadakan.

“Kita belum kalah lagi, pilihan raya pun kita belum tahu lagi bila.

“Lagipun yang memerintah sekarang adalah Umno-BN, pilihan raya lambat lagi iaitu kalau ikut tarikh adalah pada 2013.

“Macam-macam boleh berlaku sebelum pilihan raya, kita tunggu sahaja nanti.

“Tapi kalau melihat daripada keadaan sekarang rakyat menyebelahi Umno-BN,” kata timbalan menteri ini.

Beliau juga mencadangkan kepada PAS supaya bertanding lebih banyak kerusi di Parlimen sekiranya mahu mencabar kedudukan Umno.

“PAS-Pakatan Rakyat bertanding 60 kerusi, Parlimen ada 222 kerusi kecuali kalau PAS bertanding banyak kerusi.

“(Sebanyak) 60 kerusi tak sampai satu pertiga pun dari 222 kerusi Parlimen. Kalau PAS-Pakatan Rakyat tanding hanya 60 kerusi macam mana nak ketuai Pakatan Rakyat.

“Pada saya, PAS kena fikirkan kedudukan dalam Pakatan Rakyat, sama ada berdiri sendiri atau bersama BN,” kata Ahmad ketika mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam, yang mendesak parti Melayu terbesar itu berundur secara terhormat jika kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

Hadi berkata Umno yang merupakan teras kepada BN sepatutnya perlu bersikap terbuka dalam menerima kekalahan dalam pilihan raya, bukan dengan berusaha mencari taktik untuk menang dan bertindak macam di Perak tahun lalu.

“Saya minta Umno undur diri secara terhormat sekiranya kalah, mengaku kalah sahaja. Jangan nak cari jalan menang. Macam di Perak dulu, sudah kalah terima sahajalah, begitu juga dengan undi Orang Asli.

“Parti yang memerintah kalau menghadapi masalah kenalah berundur, beri peluang kepada kita untuk memerintah.

“Kita tahu Umno ada masalah tapi masih cuba nak tutup tapi akhirnya akan terdedah juga,” kata beliau pada sidang media selepas merasmikan program PAS Sedia Ganti Umno di Shah Alam semalam.

No comments: