Bantuan jutaan ringgit untuk bencana luar negara tetapi Kuantan?


SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (gambar) melahirkan kekecewaan dengan sikap kerajaan pusat yang dilihat bertindak lebih pantas ketika menghulurkan bantuan bernilai jutaan ringgit terhadap mangsa bencana alam di luar negara berbanding bantuan di Kuantan.

“Kita lihat apabila berlaku bencana di negara lain, baik kerajaan sendiri atau badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kerajaan begitu cepat menghulurkan bantuan bernilai jutaan ringgit.

“Kalau ada bencana di luar negara cepat sahaja bantuan dihulurkan tetapi dalam isu banjir di Kuantan kita masih belum dengar pengumuman bantuan yang besar. Kita bimbang penduduk Kuantan dianaktirikan hanya disebabkan idealogi politik,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini,  semalam.

Menurutnya, dalam beberapa siri kejadian bencana alam di luar negara, lazimnya kerajaan bersedia menghulurkan bantuan sama ada dalam bentuk wang tunai, minuman, makanan, selimut, pegawai perubatan, anggota keselamatan dan sukarelawan lain daripada NGO berkaitan kerajaan.

"Kelab Putra Satu Malaysia (KP1M) turut menghantar sukarelawan yang dilengkapi doktor dan pelbagai kelengkapan lain melalui Misi Bantuan Kemanusiaan Bencana di beberapa negara seperti bencana Taufan Haiyan di Filipina dengan menelan kos perbelanjaan yang tinggi.

"Pemergian sukarelawan kelab itu juga mendapat perhatian khas daripada kerajaan dengan diiringi pasukan keselamatan dan dibawa dengan menggunakan pesawat khas Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM)," ujar beliau.

Walaupun usaha murni itu dialu-alukan, Fuziah kesal situasi seperti itu tidak berlaku ketika penduduk Kuantan sedang menghadapi bencana banjir apabila kelibat sukarelawan kelab yang dipengerusikan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim itu langsung tidak kelihatan.

"Kebanyakan mangsa banjir ketika itu terpaksa menyelamatkan diri sendiri sama ada dengan bantuan orang ramai atau bantuan daripada Jabatan Amal PAS dari luar Pahang.

"Jabatan Amal yang lebih gemar tidak menonjolkan diri dengan sebarang publisiti memainkan peranan cukup penting daripada awal banjir sehingga ke peringkat membantu penduduk membersihkan kediaman selepas banjir," jelas Fuziah. - Selangorkini