PRN Sarawak Ala P'raya Hosni Mubarak



KUCHING 5 APRIL : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pilihanraya negeri Sarawak Ke-10 yang dijadual berlangsung pada 16 April ini sebagai pilihan raya ala Hosni Mubarak.

Katanya, ini kerana sistem pilihan raya di bawah pemerintahan diktator bekas Presiden Mesir itu tidak ada bezanya dengan apa yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya di Malaysia.

Menurut Anwar, Pakatan Rakyat telah mengemukakan beberapa tuntutan kepada SPR untuk dilaksanakan bagi menegakkan keadilan dan ketelusan dalam pengurusan pilihan raya namun ia tidak dipedulikan.

"Umumnya media di Malaysia menganggap pilihanraya ini suatu yang sah, bebas dan telus,"katanya.

"Dalam mesyuarat bulan lalu juga Pakatan Rakyat telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya menuntut pilihanraya bebas dan adil dengan memastikan senarai pengundi yang sah, cara pengundian, pengiraan undi yang telus, pengawasan yang teliti, dan tempoh kempen yang cukup (bukan seminggu atau 10 hari),".

"Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mewakili Pakatan Rakyat menyatakan sekurang-kurangnya 3 minggu waktu untuk berkempen dan itu tidak dipenuhi,"

"Dan apa yang lebih parah lagi adalah kerajaan asyik mencanang pilihanraya demokrasi namun sehingga kini media masih dibelenggu kebebasan menyampaikan maklumat,".

"Itu jelas menunjukkan proses demokrasi tidak berlaku di negara ini, sama sepertimana pilihanraya ala Mubarak Mesir dimana pilihanraya di Sarawak cenderung ke arah itu yang bakal mengusir keluar perompak-perompak hasil kekayaan negeri itu, dan kita harap semangat itu kekal sehingga pilihanraya bebas sepenuhnya,"katanya.

Tegas Anwar, walaupun SPR tidak mendokong atau menutup sebelah mata terhadap semua laporan gejala rasuah semasa pilihanraya namun beliau yakin ia tidak akan mematahkan semangat rakyat untuk terus membuat perubahan.

"Kita jangan gusar, ini adalah proses yang sama berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat sebelum ini kerana itu kita harus yakin kita mampu menang di Sarawak. InsyaAllah rakyat mampu menumbangkan BN,"tegas Anwar.

Sebagai contoh Anwar mendedahkan sikap SPR yang tunduk kepada tekanan Umno-Barisan Nasional apabila gagal mengambil sebarang tindakan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang secara terangan membuat kenyataan berunsur rasuah pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu Mei tahun lalu.

Media Arus Perdana Hilang Pedoman, Kata PR




KUALA LUMPUR 5 APRIL : Media arus perdana milik UMNO mengamalkan kewartawanan yang jijik dengan sanggup menggadaikan maruah bangsa dan agama Islam demi menfitnah Anwar Ibrahim untuk memenuhi agenda politik Umno.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini menyelar tindakan Utusan Malaysia dan Kosmo kawalan Umno yang menyiarkan gambar-gambar video lucah demi menfitnahkan Anwar.

Tindakan media berkenaan turut mencemarkamn nama baik bangsa Melayu dan Negara Islam di peringkat antarabangsa, kata Ahli Parlimen Baling, Taib Azamauddin.

“Kalau Kosmo surat khabar Melayu, kalau Utusan surat khabar Melayu, apakah hebat surat khabar Melayu untuk tanam saham jual maruah Melayu dan Islam.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff turut mengutuk keras Utusan Malaysia dan Kosmo kerana membelakangkan etika kewatawaan dalam keghairahan mengaibkan Anwar.

Saya mengutuk media hari ini terutama media Utusan, Kosmo yang letak gambar sebelah sebelah, ia ada agenda politik. Kita hormati kebebasan media tetapi bukan media kotor seperti ini, ” tegas beliau.

Youtube Tonjol "Kelemahan" Video Aibkan Anwar


SHAH ALAM 5 APRIL : Satu Malaysia kecoh …kerana sebuah klip video kurang dua minit. Ada yang mengatakan orang itu mirip Anwar Ibrahim, tidak kurang yang sangsi. Anwar berkata beliau “tidak peduli’ kerana tahu pelaku dalam rakaman itu bukan beliau.

Tindakan oleh pihak yang memuatkan video itu jelas untuk mengaibkan lagi Anwar setelah beliau enggan tunduk kepada ugutan supaya beliau dan isterinya berundur dari politik – sesuatu yang amat dihajati oleh Umno, namun tidak kesampaian.

Walaubagaimanapun setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Kepada mereka yang mempunyai kepakaran di bidang video dan mahu menegakkan kebenaran (tanpa dipengaruhi laporan media arus perdana) rakaman pendek Youtube membolehkan mereka menguji kesahihan video Datuk “T” itu buat kali pertama dengan “barang kes itu sendiri.”

Jelas beberapa persoalan asas muncul selepas melihat klip satu minit 41 saat itu, secebis daripada rakaman 21 minit yang didalangi oleh gadingan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Sharzyl Eskay dan Bendahari Perkasa Shuib Lazim.

Bagi mereka yang arif dalam penerbitan video persoalan pertama adalah kenapa wajah pelaku tidak jelas?

Jawapan adalah kerana Kamera “night vision” digunakan.

Kamera ini biasa digunakan apabila keadaan sesuatu tempat adalah gelap tetapi bilik hotel yang dirakam jelas mempunyai lampu dengan pancaran bayang jelas kelihatan pada dinding bilik.

Jadi kenapa kamera night vision digunakan – jawapan paling logik adalah tindakan itu disengajakan kerana kamera sedemikian akan memastikan muka pelaku dalam rakaman adalah “soft”, dan samar-samar.

Ini membolehkan pelbagai tafsiran dibuat mengenai identiti pelaku.

Persoalan penting adalah kenapa pihak yang membuat rakaman tidak menggunakan kamera biasa yang akan menampakkan dengan jelas wajah pelaku jika tujuan rakaman adalah untuk mendedahkan Anwar melakukan perbuatan sumbang.

Persoalan seterusnya ialah apa signifikannya bayang-bayang pelaku yang tertera jelas pada dinding.

Mereka yang arif dalam penerbitan video akan terus menjurus kepada bayang-bayang pelaku yang dihasilkan oleh kilauan lampu di sekitar bilik hotel berkenaan. Bilik diterangi dengan lampu, menyebabkan pantulan bayangan pada dinding dan pada tubuh ketiga-tiga pelaku setiap kali mereka melintasi lampu yang dimaksudkan.

Jika bilik diterangi sebegitu rupa, agak mustahil pelaku tidak tahu tujuannya.

Agak mustahil pelaku tidak tahu mereka sedang dirakamkan (hakikat ini akan diperkuatkan dengan hujah seterusnya).

1. Rakaman itu akan menunjukkan bahawa kedua-dua pelaku, satu berseluar dan satu bertuala begitu tekun menggunakan remote control (alat kawalan jauh) berwarna hitam yang diletakkan di atas meja di mana kamera “night vision” dipasang.

- Mungkin pihak “sebelah sana” akan mendakwa “remote contol” itu adalah untuk penghawa dingin bilik namun ini amat disangsikan kerana kedua-dua pelaku menghalakan “remote control” itu kepada apa yang ada di atas meja berkenaan.

- Fakta KEDUA-DUA pelaku lelaki mencapai dan menggunakan alat “remote control” dan mengajukannya PADA ARAH SAMA sebelum beredar adalah petanda jelas pelaku dalam video TAHU malah mendalangi rakaman itu.

- Satu kelemahan kamera “night vision” adalah ia boleh mengambil visual wajah pelaku secara samar-samar atau “soft”. Namun ia tidak dapat menyembunyi atau melunturkan imej susuk tubuh pelaku. Oleh kerana itu perut buncit dan “tetek labuh” pelaku tidak dapat dikaburkan. Ini membolehkan perbandingan jelas dibuat antara susuk tubuh Anwar dan pelaku dalam video itu.

Segala pengamatan ini diperkuatkan dengan beberapa fakta asas – video yang dinaikkan di Youtube disunting dari sudut-sudut tertentu yang pelakunya mirip iras wajah Anwar.

Kenapa agaknya pihak berkenaan tidak memuatkan keseluruhan video berkenaan di Youtube?

Jawapannya tentu kerana jika lebih banyak sudut pelaku dalam video itu ditonjolkan, risiko adalah lebih besar dan pelbagai persoalan akan ditanya oleh rakyat dan sekali gus menghakis persepsi yang cuba di tanam oleh dalang rakaman itu di minda rakyat.

Media arus perdana telah memainkan klip rakaman itu berulang kali di televisyen. Akhbar kawalan Umno turut memuatkan gambar dari klip itu di muka depan dan di muka dalam dengan mesej yang sama – tak syak lagi memang Anwar dalam rakaman video mengadakan seks dengan pelacur Cina.

Namun pengamatan yang teliti mengenai video itu oleh pakar-pakar berkaitan akan mendapati video berkenaan dihasilkan oleh seorang yang tahu menggabungkan “kuasa” kamera dengan penataan cahaya lampu’ untuk mencapai maksud yang dihajatkan oleh pihak yang mengupahnya.

Persoalan-persoalan yang dibangkitkan dalam rencana ini menguatkan hujah bahawa polis tidak sekadar boleh menyiasat ketulenan video itu semata-mata tetapi memperinci sama ada pelaku dalam rakaman itu benar-benar Datuk Seri Anwar Ibrahim atau tidak.

Dan, biarlah siasatan itu telus setelus-telusnya dan bukan sekadar menanam tebu di bibir.

AMK lodges report to MCMC on bloggers carrying sex video

Media Harus Fokus 'Datuk T' Bukan Individu Yang Belum Dikenalpasti






KUALA LUMPUR 5 APRIL : Walaupun polis mendakwa ia hampir selesai menyiasat laporan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap rakaman video seks yang ditayangkan di Carcosa Seri Negara minggu lalu, ketiga-tiga individu bergelar "Datuk T" masih bebas tanpa sebarang dakwaan.

Justeru anggota keluarga Anwar hari ini kecewa dengan sikap media kawalan Umno-Barisan Nasional (BN) yang cuba mengalih perhatian terhadap identiti lelaki yang masih belum dipastikan dalam rakaman video tersebut.

Bercakap pada sidang media di kediamannya pagi tadi, anak Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah berkata pengamal media seharusnya mendesak polis menahan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan Datuk Eskay Shazryl dan Bendahari Perkasa, Shuib Lazim ditangkap dengan segera.

Itu tidak dilakukan sebaliknya sesetengah media mengajukan soalan dengan agenda untuk "memerangkap" mereka sekeluarga, kata Nurul.

"Saya berasa kecewa kerana kami "dipaksa" untuk mengikut kehendak skrip. Namun tiada seorang pun bertanya mengapa orang-orang ini tidak ditahan. Anda ada dua undang-undang berlainan di mana orang membuat demostrasi di rapat umum dan tiga orang ini mengaku dan menyebarkan bahan lucah tapi mereka masih bebas.

"Saya rasa tidak mengapa untuk ditanya soalan lain tapi asasnya masih jelas mengapa mereka (Datuk T) tidak diambil tindakan oleh polis. Marilah kita kembali kepada soalan pokok," jelas Nurul Izzah.

Seterusnya, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu ditanya samada wajar video tersebut ditayangkan di parlimen, Nurul Izzah menjelaskan tindakan itu relevan jika klip tersebut masih belum tersebar luas di internet.

"Sekarang kita berhadapan dengan situasi di mana klip aksi adegan awal sudah dipaparkan kepada umum. Jadi mahu cakap tentang minta ahli parlimen untuk lihat saya fikir tidak berbangkit," ujarnya lagi.

Rata-rata anggota keluarga yang berada di kediaman Anwar sebentar tadi menyatakan kekesalan terhadap fitnah terbaru yang disebarkan kepada umum mengaitkan Anwar termasuk bapa Ketua Umum itu sendiri.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh, dan Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof.

PKR Lancar Suara Sarawak

KUCHING 5 APRIL : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini secara rasminya melancarkan risalah Suara Sarawak dengan mesej "Selamatkan Hak Rakyat" sempena pilihan raya negeri Sarawak ke-10, kata naib presidennya Dr Mansor Othman.

Mansor yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, risalah ala-ala manifesto Pakatan Rakyat antara lain berjanji untuk menubuhkan suruhanjaya tanah dalam masa setahun bagi mengembalikan hak milik tanah Orang Asal serta tanah adat yang dirampas pentadbiran Tan Sri Abdul Taib Mahmud selama 30 tahun memerintah Sarawak.

Katanya, Pakatan Rakyat akan menubuhkan Tabung Basmi Kemiskinan berjumlah RM1 bilion bagi membantu keluarga yang hidup di bawah paras kemiskinan rasmi.

Ujarnya, Pakatan Rakyat juga tidak akan menyeleweng sumber bumi Sarawak sebagaimana yang diamalkan pentadbiran Taib melalui polisi "Cekap, Akauntabel, Telus" atau akronimnya C.A.T jika diberi mandat menubuhkan kerajaan Sarawak yang baru kelak.

Menurut Mansor, Pakatan Rakyat berjanji mengamalkan kebebasan agama dengan menolak amalan diskriminasi sebagaimana yang diamalkan oleh pentadbiran Taib dan Barisan Nasional sebelum ini.

Jelasnya lagi, Pakatan Rakyat juga akan mewujudkan skim " Bantuan Warga Emas " kepada rakyat Sarawak yang berusia 60 tahun dan ke atas sebagai bantuan tahunan daripada kerajaan negeri jika diberi bandat kelak.

Mansor berkata, dengan lima janji itu beliau percaya Umno dengan pantasa akan mendakwa Pakatan Rakyat hanya menaburkan janji-janji palsu demi memenangkan kerusinya sahaja.

Namun tegas Mansor, dengan adanya rekod kebajikan yang dinikmati rakyat di Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang ia sudah cukup untuk meyakinkan rakyat bahawa Pakatan Rakyat bukan sahaja menabur janji malah mampu untuk menunaikannya.

"Ada orang kata, bagaimana untuk melakukan semua ini? Tetapi di Semenanjung (Malaysia) kita (Pakatan Rakyat) sudah berjaya melaksanakan semua janji-janjinya,"katanya.

PKR meletakkan calon di 47 daripada 71 kerusi pada pilihanraya negeri Sarawak 16 April ini.

Pengumuman itu menyerlahkan kemungkinan kira-kira 20 kerusi akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional, PKR dan SNAP iaitu parti politik paling lama di Sarawak.


Jam Omega Ada Pada Saya, Kata Azizah


KUALA LUMPUR 5 APRIL : Sidang akhbar Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Wan Azizah Dr Ismail hari ini digunakan oleh wartawan tertentu untuk sengaja memberi tekanan kepada beliau namun isteri Ketua Pembangkang tenang menangani keadaan itu.

Seorang wartawan sebuah portal berita bertanya sama ada beliau menyimpan jam tangan Omega seperti didakwa Sharzyl Eskay ditinggalkan oleh Anwar namun kini berada dalam simpanan ahli perniagaan itu.

Wan Azizah mengesahkan “kami ada jam itu dan tidak ada (kehilangan jam).’tegasnya.

Namun jawapan itu tidak memuaskan wartawan berkenaan yang seterusnya mendesak supaya ditunjukkan jam tersebut.

Wan Azizah secara tenang membalas bahawa ... Ya, ia ada (dengan kami). Kami ada jam tangan tersebut,” berada dalam simpanannya.

Tidak puas hati dengan jawapan itu, wartawan berkenaan meminta jam tangan itu ditunjukkan kepada media.

Ahli keluarga Anwar hanya menggeleng kepala kepada persoalan yang ditanya secara biadap itu.

“Adakah awak serius? Mengapa kami didakwa? Adakah awak pendakwaraya?” kata anak sulung Anwar, yang juga ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mencelah dengan menyifatkan permintaan wartawan tersebut sebagai sesuatu yang “menjijikkan” .

"Saya rasa soalan anda juga membayangkan anda tidak menghormati keadilan. Saya duduk di sini untuk lihat media bersekongkol untuk jatuhkan Anwar,Saya tidak boleh terima sebagai rakyat Malaysia tentang situasi sempit ini di mana kita mempunyai banyak lagi perkara untuk dilakukan. Orang yang pakai seluar atau tidak menjadi isu utama negara ini. Saya rasa banyak perkara lain yang kita perlu buat," kata Khalid.

Khalid : Dalang Video Lucah Mungkin Disaman. Mari kita saman beramai-ramai.




KUALA LUMPUR 5 APRIL : Kesal dengan tindakan polis yang gagal mengambil tindakan tegas bersabit fitnah video lucah, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan mahkamah ke atas dalang rakaman itu.

"Sebagai kerajaan (Selangor), kita akan memantau perkara ini dan jika perlu kita akan ambil tindakan untuk bawa ke mahkamah," ujar beliau pada sidang akhbar bersama anggota keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur.

Khalid berkata, ketulenan video lucah berkenaan bukan menjadi isu utama sebaliknya ketelusan siasatan polis yang dipersoalkan.

"Kita tidak mahu tahu ia tulen atau tidak? (Pokoknya) adakah polis membuat siasatan atas dasar ketulenan video tersebut? Ada banyak perkara penting," kata Khalid yang turut menolak rakaman video itu sebagai fitnah licik untuk menjatuhkan Anwar.

Polis setakat ini hanya mengesahkan video 21 minit yang ditayangkan tiga Datuk T adalah tulen namun tidak mengulas persoalan pokok iaitu sama ada pelakunya adalah Anwar.

Adalah difahamkan polis juga tidak menyoal beberapa pihak yang dapat mengesahkan pergerakan Anwar pada 21 Febuari, tarikh video itu dikatakan dirakam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Sharzyl Eskay dan Bendahari Perkasa Shuib Lazim mengaku mendalangi penayangn video berkenaak kepada media namun polis tidak mengambil tindakan menahan mereka.

Tan Sri Khalid melahirkan rasa kesal kerana politik negara diheret ke arah yang jijik dengan penggunaan video lucah fitnah untuk menjatuhkan seseorang.

"Fokus kita harus kepada penjanaan sektor ekonomi negara dan bukan politik jijik yang tidak tentu hala sehingga negara ditertawakan oleh masyarakat antarabangsa.' kata beliau.

Justeru Khalid menggesa rakyat untuk bangkit menentang taktik kotor Umno-Barisan Nasional (BN) yang merendahkan martabat negara.

"Bagaimana kita hendak memastikan supaya ekonomi dan harta negara diutamakan dan bukan perkara jijik yang diketawakan (oleh dunia) dan membawa kesedihan kepada kita semua. Oleh sebab itu saya bersama keluarga Anwar harap rakyat faham dan mengutuk mereka yang melakukan perkara ini. Tindakan membiarkan dan ada kalanya menggalakkan penayangan video (lucah yang (fitnah) adalah perbuatan jijik dan merendahkan kewibawaan Malaysia," ujar Khalid.

Anwar : Lawan Tetap Lawan







SIBU 5 APRIL : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan tersasar daripada misi menamatkan pemerintahan rasuah Barisan Nasional di Sarawak dan "tidak peduli" dengan tindakan memuatkan video lucah fitnah ke laman Youtube untuk mengaibkan beliau.

"Sekarang, video itu telah diedarkan. Dan samada lelaki (dalam video) itu mirip saya atau tidak, saya tidak peduli. Ia bukan saya," kata beliau di Kampung Nangka, Sibu malam tadi.

Klip video hampir dua minit disensasikan oleh laman- laman blog pro- UMNO. Malah akhbar kawalan parti itu seperti Utusan Malaysia, dan New Straits Times menyiarkan gambar daripada klip berkenaan.

Klip itu disunting daripada rakaman asal lebih 20 minit sebelum dimuatkan di Youtube.

Beberapa wakil rakyat dan ahli keluarga Anwar sendiri yang menyaksikan klip itu dan rakaman asal menegaskan sosok tubuh pelaku dalam rakaman itu jauh berbeza dengan Anwar.

Video itu disunting daripada sudut kamera tertentu untuk mengelirukan orang ramai bahawa Anwarlah individu dalam rakaman itu.

Anwar sekali lagi menegaskan video lucah itu tidak lebih daripada taktik jijik UMNO untuk menjatuhkan beliau dan melemahkan Pakatan Rakyat khususnya menjelang pilihanraya negeri Sarawak.

Beliau berkata sikap talam dua muka kerajaan dan pihak polis amat jelas apabila menangani kes- kes yang melibatkan pemimpin UMNO.

"Dimana Suruhanjaya Diraja masa Altantuya dibunuh ? Bagaimana kes rogol di Melaka ? Apa jadi dengan penyiasatan ?," soal Anwar.

Tiga "Datuk T" yang mendalangi video lucah berkenaan ialah bekas Ketua Menteri Melaka Rahim Thamby Chik, bersama ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari PERKASA, Shuib Lazim.

Rahim adalah musuh ketat Anwar selepas meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1994 bersabit tuduhan merogol gadis bawah umur dan dakwaan rasuah.

"Sekarang mereka mengedar video. Dan mereka yang menunjukkan video itu juga mempunyai moral yang hina," kata beliau.

Anwar menegaskan video lucah fitnah jelas mempunyai penglibatan Perdana Menteri Najib tun Razak yang juga Presiden UMNO.

Anwar dan PKR sering dirujuk sebagai musuh paling utama UMNO, setelah parti pemerintah itu kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen pada pilihanraya umum 2008.

"Najib terlibat. Kalau tak bagaimana mereka (Datuk T) dibebaskan. Penjenayah dengan terang melepaskan diri dengan ini.

"Mereka tak pedulikan kebenaran.....tetapi hanya mahu membuat fitnah," kata Anwar.

Video Fitnah : Jangan Cemar Kemuliaan Parlimen, Kata PR


Pakatan Rakyat hari ini menegaskan kemuliaan Parlimen tidak harus dicemar dengan cubaan pihak tertentu dalam UMNO Barisan Nasional untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung fitnah video seks.

Pendirian itu dibuat oleh gagasan pembangkang berikutan ura- ura untuk mengemukakan usul di Parlimen supaya sebuah Suruhanjaya ditubuhkan untuk menyiasat kesahihan video fitnah itu.

Peguam Karpal Singh berkata penubuhan Suruhanjaya diRaja adalah tertakluk kepada pertimbangan Kabinet namun ada pihak tertentu yang cuba membawa isu fitnah video lucah itu ke Parlimen semata- mata untuk mengaibkan Anwar.

“Ini jelas memperlihatkan Kerajaan Persekutuan mempunyai niat yang cukup buruk untuk menghina Datuk Seri Anwar dan keluarganya. Apa yang mereka cuba lakukan ialah membentuk Suruhanjaya DiRaja dengan kelulusan Parlimen semata-mata untuk memalukan beliau dan Pakatan Rakyat,” kata Karpal.

Sebelum ini portal Malaysian Insider melaporkan kemungkinan Barisan Nasional mengemukakan usul sedemikian minggu ini yang akan membuka ruang perbahasan kepada ahli parlimen BN untuk menyerang Anwar dengan perlindungan imuniti.

Anwar digantung enam bulan daripada menghadiri Parlimen selepas mendedahkan tindakan UMNO BN mengupah syarikat pro- zionis untuk memulihkan imej Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Anak sulung Anwar, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, selepas menonton klip video lucah yang dimuatkan di Youtube, beliau bertambah yakin pelaku dalam rakaman itu bukan bapanya kerana mempunyai sosok tubuh yang berbeza.

Nurul menyifatkan pengedaran video lucah itu menerusi Internet sebagai taktik keji untuk mengaibkan Anwar.

Beliau berkata sebarang usaha untuk membawa usul penubuhan Suruhanjaya di Raja bersabit video lucah itu menerusi Parlimen hanya akan menyerlahkan niat jahat UMNO Barisan Nasional.

“Ini jelas memperlihatkan Kerajaan Persekutuan terus mencari jalan untuk mengaibkan beliau. Namun tindakan yang dilakukan semakin menguatkan keutuhan kekeluargaan kami. Kami tetap memberi sokongan penuh terhadap perjuangan politik Anwar Ibrahim,” katanya.

(laporan penuh menyusul)


Seks, etika dan berita


Mustafa K Anuar |


Seks, seperti yang kita semua sedia maklum, adalah sesuatu yang menarik perhatian dan minat orang ramai kerana ianya menjanjikan "keseronokan" dan melayani kehendak ingin tahu (atau, dalam bahasa nakal, "kepo"). Dan minat khalayak ramai ini memuncak bila seks - lebih-lebih lagi jika aktiviti insani ini dilakukan di luar nikah - dikaitkan dengan orang ternama dan selebriti.

Itulah sebabnya seks menjadi salah satu kriteria yang digunakan oleh pemberita untuk mengenalpasti insiden atau isu yang boleh dijadikan berita. Malah dalam keadaan di mana terdapat persaingan sengit antara organisasi media yang berpaksikan falsafah ekonomi kapitalis, seks telah dijadikan satu komoditi untuk diperdagangkan di dada akhbar khususnya, antara media lain, dalam usaha melonjakkan sirkulasi dan kadar periklanan akhbar berkenaan.

Bukan itu sahaja, sensasi seks juga boleh menjadi mainan politik. Dan ini juga bermakna media boleh, dan telah, menjadi alat manipulasi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan, khususnya parti yang memerintah (yang ada kaitan rapat dengan media arus perdana dari segi pemilikan dan kawalan). Ini terbukti lebih-lebih lagi dalam kes liwat pertama yang melibatkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Dan dalam masyarakat yang dikatakan berpegang kuat kepada ajaran agama seperti Malaysia, seks rambang, "songsang" dan luar nikah menjadi kebimbangan dan juga cemuhan orang ramai. Dan pelaporan media tentang kegiatan seks sedemikian rupa sudah tentunya meningkatkan lagi minat, kemarahan serta cemuhan umum itu.

Elak dipergunakan

Inilah konteks sosial yang luas yang harus kita ambil kira apabila kita memperkatakan perihal video seks yang didedahkan baru-baru ini oleh kumpulan trio yang menamakan dirinya "Datuk T". (Akhirnya kita ketahui siapa mereka yang cuba sembunyi di belakang tabir yang bernama "Datuk T" itu.)

"Dedahan" ini dianggarkan bukan sahaja dapat menarik perhatian dan minat umum, malah bertujuan "menggegarkan" dunia politik tanah air serta mengundang cemuhan dan kemarahan orang ramai - ketika masyarakat sedang menyaksi ulangan kes rasuah dan pilihanraya negeri Sarawak, antara lain isu yang penting.

Dan dalam masa yang sama, watak-watak yang berkaitan dengan kegiatan seks dalam video itu juga dianggarkan mengundang kebimbangan dan kemarahan orang ramai. Bersandarkan latar belakang sosial dan politik negara kita ini, wartawan yang melaporkan hal video seks ini sepatutnya secara prinsip bersikap berhati-hati dan akur kepada kod profesionalisme kerjaya wartawan yang sedia ada supaya dapat bersikap adil dan saksama dalam pemberitaannya - dan tidak terjerumus dalam kancah politik fitnah dan keji.

Panduan profesion ini adalah bertujuan untuk mengelakkan diri wartawan dari dipergunakan oleh pihak tertentu untuk agenda sempit mereka dengan semata-mata melaporkan apa yang diingini oleh pihak "Datuk T" itu tanpa wartawan menimbulkan persoalan mendalam dan kritis yang boleh menjawab kekeliruan dan kemusykilan yang mungkin ada dalam kalangan orang ramai tentang penayangan video seks itu.

Misalnya, wartawan sepatutnya bertanyakan dengan lebih kritis keadaan di mana video berkenaan diperolehi; kenapa pihak yang menayangkan video mahu bersikap lempar batu sorok tangan dengan menyorok identitinya (pada hari penayangan berlangsung); adakah secara kebetulan pendedahan video seks ini berhampiran dengan waktu pilihanraya Sarawak; kenapa wartawan yang diundang ke tayangan video itu tidak dibenarkan membawa laptop, telefon bimbit, pen dan lain-lain lagi; tidakkah melanggar undang-undang perbuatan menyebar dan menayangkan video lucah di ruang publik di Malaysia?

Dan jika "penganjur" tayangan video seks ini enggan menjawab sedemikian rupa, media harus menyatakan keengganannya untuk membolehkan audiens tahu keadaan sebenar ketika itu dan juga cuba membuat kesimpulan masing-masing.

Soalan-soalan seperti ini juga bermaksud untuk menentukan pemberitaan yang bakal dilakukan pada akhir insiden video seks ini bukanlah menjadi semata-mata satu penulisan berita yang berdasarkan satu PR exercise yang dikendalikan pihak yang berkenaan.

Sebut nama atau tidak?

"Datuk T" dalam kenyataan medianya terang-terang melempar tuduhan bahawa "aktor" dalam video seks itu adalah Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim - walaupun ada dalam kalangan wartawan yang merasakan video itu tidak begitu jelas untuk menentukan yang lelaki itu adalah Anwar sendiri. Dalam hal ini, media perlu melaporkan sepertimana yang diperkatakan oleh "Datuk T", kerana ia tidak memberi makna dengan menyelindung namanya di sebalik frasa "ketua pembangkang utama", tetapi pada masa yang sama memberi isyarat tersirat seperti "ahli politik yang sakit belakang" dan sebagainya.

Namun begitu, ada eloknya bagi media menggunakan ungkapan seperti "Anwar Ibrahim yang didakwa" sebagai orang terlibat dalam video seks tersebut. Ini memberi gambaran bahawa beban membuktikan kesahihan dakwaan itu masih jatuh di bahu "Datuk T" atau pihak lain yang mewakili kepentingan "Datuk T". Kuncinya, laporan wartawan harus membayangkan realiti itu selengkap mungkin - termasuk kemusykilan yang timbul sepanjang kejadian berkenaan berlangsung - agar audiensnya mampu membuat pertimbangan sama ada untuk mempercayai atau tidak tuduhan yang dilemparkan.

Dan seterusnya, sepertimana yang telah dilakukan kebanyakan wartawan, media harus mendapatkan respons dari orang yang didakwa terlibat dalam adegan seks itu, iaitu Anwar sendiri, atau sekurang-kurangnya pihak yang mewakili beliau. Dan jika isterinya, Wan Azizah, dibabitkan pula, beliau juga perlu diberi peluang untuk respons. Prinsipnya ialah media harus bersikap adil kepada pihak tertuduh dengan memberi ruang jawab secukupnya. Perlu diingatkan, ketangkasan dan sikap pihak tertuduh memberi maklum balas, turut menjadi salah satu kayu ukur kepada audiens untuk menilai sendiri - sejauh manakah benarnya tuduhan tersebut.

Dalam hal ini, pihak akhbar online perlu bersikap berhati-hati jika status bebas atau independence serta taraf kredibilitinya mahu dijaga dan dihargai. Ia tidak boleh terikut- ikut dengan rentak tarian media arus perdana yang tidak begitu bebas dari segi ruang kewartawanannya.

Lagipun, akhbar online harus prihatin terhadap kemungkinan suatu usaha untuk memalingkan perhatian umum daripada isu yang lebih mencabar, seperti rasuah yang merebak, kenaikan harga barang, jurang antara si kaya dan si miskin, hubungan etnik dan agama yang meruncing, dan kekurangan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Ini bukanlah bermakna wartawan tidak perlu ambil peduli isu video seks ini, tetapi tidaklah perlu diheretkan perhatian media kepadanya pada jangkamasa yang panjang hingga mengabaikan keprihatinan umum terhadap isu serius yang dinyatakan di atas.

Sesungguhnya, membantu memalit maruah seseorang insan atau kelompok manusia secara sedar adalah sama beratnya seperti pihak media menyapu arang di mukanya hingga mengorbankan kredibilitinya di mata umum.

Kebebasan dan tanggungjawab akhbar di Malaysia semestinya melibatkan pemberitaan yang menjangkau isu atau elemen sensasi seperti video seks ini.

*Mustafa K Anuar ialah pembaca MerdekaReview dan pengkaji media tanah air.

Azizah Sahkan 'Itu Bukan Anwar', Sosok Badan Jauh Berbeza

KUALA LUMPUR 5 APRIL: "Itu bukan Anwar," merupakan ungkapan pertama yang dikeluarkan isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini selepas menyaksikan sedutan video seks yang tersebar secara meluas melalui laman YouTube semalam.

Wan azizah menegaskan, beliau sekeluarga amat mengenali susuk tubuh Anwar dan ternyata ia berbeza dengan individu didalam video berkenaan.

"Jelas susuk tubuh pelaku dalam video amat berlainan daripada Anwar. Hal ini diperkukuhkan memandangkan sejak lebih setahun lalu, anak-anak beliau sering menemaninya setiap kali beliau pergi melakukan aktiviti senaman dan fisioterapi," jelas Wan Azizah pada sidang media di kediamannya hari ini.

Beliau menyifatkan tuduhan tersebut tidak masuk akal seraya berpendirian bahawa video tersebut contoh taktik politik lucah yang dijulang Umno-Barisan Nasional (BN).

Wan Azizah berkata ketulenan video tersebut bukan isunya namun jelas individu tersebut bukan suaminya.

Justeru Presiden PKR itu mengajak rakyat Malaysia menolak politik durjana dan mengembalikan agenda perjuangan menuntut reformasi sistem politik menyeluruh.

Selain itu, Wan Azizah tidak menolak pendedahan video lucah semalam bermotifkan politik kerana ianya didedahkan bersempena ulangtahun ke 12 PKR pada 4 April.

Malah ia bertujuan melunturkan kempen PKR pimpinan Anwar pada pilihanraya negeri Sarawak pada 16 April.

Dalam pada itu ayah Anwar, Datuk Ibrahim Abdul Rahman yang hadir sama pada sidang media itu menyifatkan penggunaan video lucah fitnah sebagai tindakan terdesak Umno-BN untuk menjatuhkan maruah anaknya.

"Tuduhan (video lucah) ini tidak bermoral dan tiada asas. Pihak yang membuatnya adalah orang 'desperado' atau terdesak," ujar bapa Anwar.


Tayangan Video Lucah Di KEMAS, BTN Tindakan Jijik Umno-BN





KUALA LUMPUR 4 APRIL: Tindakan pihak tertentu menayangkan video lucah yang dihebahkan oleh tiga individu dikenali sebagai 'Datuk T' di pejabat Kemas, Penanti dan semasa kursus Biro Tata Negara di Pangkor baru-baru ini amat jijik dan tidak boleh diterima sama sekali.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang ditemui di luar Dewan Rakyat berkata kerajaan sepatutnya sudah lama mengambil tindakan terhadap 'Datuk T' atas kesalahan memiliki video lucah seperti yang diperuntukkan dalam Akta Penapisan Filem 2002.

"Tindakan menayangkan video lucah adalah tindakan paling tidak bertanggungjawab kerana video seks yang dihasilkan oleh 'Datuk Trio' itu jelas berlawanan serta bertentangan dengan peruntukkan daripada Akta Penapisan Filem 2002, kalau kita merujuk kepada Seksyen 5(1), diingatkan 'tiada seorangpun boleh ada atau menyebabkan dirinya ada dalam jagaan atau kawalan atau pemunyaan, dan itu sudah jelas merupakan satu kesalahan," tegas beliau.

Tambah beliau, sudah jelas tindakan menayangkan video seks ini merupakan tindakan terdesak Umno-BN yang kehilangan modal untuk menumbangkan pengaruh PR di Sarawak yang dikatakan semakin meningkat serta mampu memberikan satu persaingan sengit kepada Umno-BN.

"Kalaulah ketahap ini yang mereka sanggup lakukan maka Umno-BN sudah tidak ada lagi maruah sebagai kerajaan yang sepatutnya telah memerintah lebih 50 tahun, ini tidak wajar, menggunakan cara-cara yang jelek dan hodoh seperti ini," kata beliau lagi.

Beliau seterusnya berkata, Umno-BN sememangnya telah membudayakan 'politik longkang' yang keji dan jelek sepertimana yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Gua Musang serta verteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini.

"Kita ingin tanya apakah sudah begini parah Umno dan BN berdepan dengan PR? apa yang begitu takut sangat?" soal beliau lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata tindakan menayangkan video kepada peserta kursus tersebut amat menjijikan dan tidak boleh diterima.

"sekiranya betullah apa yang dikarakan oleh datuk Mansor... menjijikkanlah,"

Zuraida menambah, tindakan ini hanya membuktikan ketakutan BN terhadap pengaruh PR di Sarawak semakin memuncak hinggakan terpaksa berbuat sedemikian.

59 IPTS Dibatalkan Penubuhan, 28 Dibatalkan Pendaftaran




KUALA LUMPUR 5 APRIL : Kementerian Pengajian Tinggi membatalkan penubuhan 59 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) manakala 28 lagi dikenakan tindakan pembatalan kelulusan pendaftaran dalam tempoh 2009 hingga 2010.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan pembatalan itu diambil berikutan IPTS berkenaan tidak mampu menyediakan perkhidmatan berkualiti dalam aspek kawalan seperti kualiti program, premis, pengurusan serta pentadbiran, tenaga pengajar, kemudahan pengajaran dan pembelajaran.

"Namun, tindakan yang dikenakan ini adalah kepada kolej-kolej bukannya yang berstatus universiti swasta, kolej universiti swasta atau universiti cawangan luar negara," katanya menjawab soalan Mohd Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap)mengenai bilangan universiti dan kolej universiti swasta dalam negara selain peruntukan geran kepada IPTS pada persidangan Dewan Rakyat ,semalam.

Saifuddin berkata sebanyak 485 IPTS termasuk 49 bertaraf universiti dan kolej universiti serta kampus cawangan universiti luar negara dengan 541,629 penuntut berdaftar dengan kementerian sehingga 31 Januari lepas.

Datuk 'T' Boleh Kena Sebat - Persatuan Ulama Malaysia



KUALA LUMPUR, 5 April — “Datuk T” boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga 80 kali jika tuduhan zina terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim — yang dikaitkan dengan rakaman video seks tidak benar, kata Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Yang Dipertuanya Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata kepada portal The Malaysian Insider, di bawah undang-undang Islam mana-mana individu yang membuat tuduhan zina perlu mengemukakan bukti sahih selain mempunyai empat orang saksi yang menyaksikan kejadian itu berlaku.

Sekiranya gagal, kata beliau individu tersebut boleh dikenakan hukuman qazaf kerana membuat tuduhan palsu dengan tujuan untuk mengaibkan orang lain.

“Kalau dedah kepada umum tidak boleh... dedah keburukan orang lain juga tidak boleh sebab kalau nak hukum seseorang kita kena pastikan dulu, macam kita makan nasi kalau nak tahu sedap kena rasa dulu.

“Tapi dalam kes rakaman video seks ini, kalau tuduhan ini tidak benar, Datuk T boleh dikenakan hukuman sebat 80 kali kerana membuat tuduhan palsu dan fitnah dan ia kena dibuat di mahkamah syariah dan hukuman qazaf perlu dilaksanakan jika tuduhan itu tidak benar,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim dilaporkan mengakui diri mereka sebagai “Datuk T” - menggemparkan negara apabila mempertontonkan rakaman video seks kepada media pada 21 Mac lalu.

Menurut Sheikh Abdul Halim, rakaman video seks itu juga tidak boleh dijadikan bukti di mahkamah.

“Tidak boleh... tidak boleh... sebab kita kena ada empat saksi lagipun siapa yang boleh buktikan lelaki dalam video itu adalah Anwar.

“Zaman moden sekarang macam-macam boleh jadi, saya juga belum tengok video seks itu... ada yang kata muka macam Anwar tapi perut bukan Anwar... macam-macam boleh jadi sekarang, kaki, tangan semua orang boleh buat jadi lain,” katanya.

Justeru, beliau mahu supaya kes tersebut dibicarakan di mahkamah syariah bukan mahkamah konvensional.

“Kena bicara di mahkamah syariah sebab ia babitkan hukuman qazaf, kalau di mahkamah majistret tiada tuduhan fitnah ini,” katanya.

Ekorang tuduhan zina terhadap Anwar itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah memfailkan aduan qazf terhadap “Datuk T” semalam kerana menuduh Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terlibat dalam perbuatan zina melalui pendedahan rakaman video seks.

Anwar juga telah menafikan beliau tidak terlibat dalam rakaman video seks itu dan telah membuat laporan polis.

Family demands release of disabled ISA detainee

(function() { var d = document, w = window; w

Musuh anda tak semestinya perlu jadi musuh saya - Zahid