Video Fitnah : Jangan Cemar Kemuliaan Parlimen, Kata PR


Pakatan Rakyat hari ini menegaskan kemuliaan Parlimen tidak harus dicemar dengan cubaan pihak tertentu dalam UMNO Barisan Nasional untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung fitnah video seks.

Pendirian itu dibuat oleh gagasan pembangkang berikutan ura- ura untuk mengemukakan usul di Parlimen supaya sebuah Suruhanjaya ditubuhkan untuk menyiasat kesahihan video fitnah itu.

Peguam Karpal Singh berkata penubuhan Suruhanjaya diRaja adalah tertakluk kepada pertimbangan Kabinet namun ada pihak tertentu yang cuba membawa isu fitnah video lucah itu ke Parlimen semata- mata untuk mengaibkan Anwar.

“Ini jelas memperlihatkan Kerajaan Persekutuan mempunyai niat yang cukup buruk untuk menghina Datuk Seri Anwar dan keluarganya. Apa yang mereka cuba lakukan ialah membentuk Suruhanjaya DiRaja dengan kelulusan Parlimen semata-mata untuk memalukan beliau dan Pakatan Rakyat,” kata Karpal.

Sebelum ini portal Malaysian Insider melaporkan kemungkinan Barisan Nasional mengemukakan usul sedemikian minggu ini yang akan membuka ruang perbahasan kepada ahli parlimen BN untuk menyerang Anwar dengan perlindungan imuniti.

Anwar digantung enam bulan daripada menghadiri Parlimen selepas mendedahkan tindakan UMNO BN mengupah syarikat pro- zionis untuk memulihkan imej Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Anak sulung Anwar, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, selepas menonton klip video lucah yang dimuatkan di Youtube, beliau bertambah yakin pelaku dalam rakaman itu bukan bapanya kerana mempunyai sosok tubuh yang berbeza.

Nurul menyifatkan pengedaran video lucah itu menerusi Internet sebagai taktik keji untuk mengaibkan Anwar.

Beliau berkata sebarang usaha untuk membawa usul penubuhan Suruhanjaya di Raja bersabit video lucah itu menerusi Parlimen hanya akan menyerlahkan niat jahat UMNO Barisan Nasional.

“Ini jelas memperlihatkan Kerajaan Persekutuan terus mencari jalan untuk mengaibkan beliau. Namun tindakan yang dilakukan semakin menguatkan keutuhan kekeluargaan kami. Kami tetap memberi sokongan penuh terhadap perjuangan politik Anwar Ibrahim,” katanya.

(laporan penuh menyusul)


No comments: