PKR Lancar Suara Sarawak

KUCHING 5 APRIL : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini secara rasminya melancarkan risalah Suara Sarawak dengan mesej "Selamatkan Hak Rakyat" sempena pilihan raya negeri Sarawak ke-10, kata naib presidennya Dr Mansor Othman.

Mansor yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, risalah ala-ala manifesto Pakatan Rakyat antara lain berjanji untuk menubuhkan suruhanjaya tanah dalam masa setahun bagi mengembalikan hak milik tanah Orang Asal serta tanah adat yang dirampas pentadbiran Tan Sri Abdul Taib Mahmud selama 30 tahun memerintah Sarawak.

Katanya, Pakatan Rakyat akan menubuhkan Tabung Basmi Kemiskinan berjumlah RM1 bilion bagi membantu keluarga yang hidup di bawah paras kemiskinan rasmi.

Ujarnya, Pakatan Rakyat juga tidak akan menyeleweng sumber bumi Sarawak sebagaimana yang diamalkan pentadbiran Taib melalui polisi "Cekap, Akauntabel, Telus" atau akronimnya C.A.T jika diberi mandat menubuhkan kerajaan Sarawak yang baru kelak.

Menurut Mansor, Pakatan Rakyat berjanji mengamalkan kebebasan agama dengan menolak amalan diskriminasi sebagaimana yang diamalkan oleh pentadbiran Taib dan Barisan Nasional sebelum ini.

Jelasnya lagi, Pakatan Rakyat juga akan mewujudkan skim " Bantuan Warga Emas " kepada rakyat Sarawak yang berusia 60 tahun dan ke atas sebagai bantuan tahunan daripada kerajaan negeri jika diberi bandat kelak.

Mansor berkata, dengan lima janji itu beliau percaya Umno dengan pantasa akan mendakwa Pakatan Rakyat hanya menaburkan janji-janji palsu demi memenangkan kerusinya sahaja.

Namun tegas Mansor, dengan adanya rekod kebajikan yang dinikmati rakyat di Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang ia sudah cukup untuk meyakinkan rakyat bahawa Pakatan Rakyat bukan sahaja menabur janji malah mampu untuk menunaikannya.

"Ada orang kata, bagaimana untuk melakukan semua ini? Tetapi di Semenanjung (Malaysia) kita (Pakatan Rakyat) sudah berjaya melaksanakan semua janji-janjinya,"katanya.

PKR meletakkan calon di 47 daripada 71 kerusi pada pilihanraya negeri Sarawak 16 April ini.

Pengumuman itu menyerlahkan kemungkinan kira-kira 20 kerusi akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional, PKR dan SNAP iaitu parti politik paling lama di Sarawak.


No comments: