Najib Dibidas Salah Sasar Pengundi




SHAH ALAM 1 JUN : Gesaan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak kepada golongan belia di negara ini supaya bersama-sama beliau mempertahankan Putrajaya daripada pembangkang untuk mengekalkan kekuasaannya, diselar ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Menurut Johari, Najib menghantar mesej beragenda politik dan salah kepada kira-kira lapan ribu belia yang kebanyakannya dihantar sekolah masing-masing untuk menyertai himpunan tersebut, dan mereka juga bukanlah golongan pengundi.

"Saya terkejut bila Datuk Najib kata pertahankan Putrajaya. Beliau bercakap dalam nada politik. Sedangkan belia yang datang itu dengan bas. Umur 15, 16, 17 tahun. Bukan boleh mengundi pun. Beliau sampaikan mesej salah," kata Johari dalam temubual bersama TV Selangor.

Dalam ucapannya ketika melancarkan Himpunan Sejuta Belia sempena Hari Belia Negara 2011 pada Sabtu, Najib merujuk kepada bantahan pro-demokrasi yang berlaku di beberapa negara di Asia Barat.

Menurut Najib, beliau gembira dengan kehadiran sejuta orang anak muda di Putrajaya untuk menyokong pentadbirannya berbanding kebangkitan rakyat di Mesir awal tahun ini yang menyaksikan kejatuhan Hosni Mubarak.

Walaubagaimanapun hanya kira-kira lapan ribu belia menghadirkan diri dan kebanyakannya pelajar sekolah yang diwajibkan kehadiran ke atas mereka.

Apa yang lebih jelas kata Johari, tindakan Najib yang sengaja memberi gambaran salah bahawa Pakatan Rakyat akan melelong Putrajaya apabila menang pada pilihan raya kelak, membuktikan pentadbirannya yang tidak memahami hasrat dan jiwa murni anak muda.

"Saya rasa pelik. Samada teks Ucapan Datuk Najib disediakan oleh orang yang tidak faham. Atau Datuk Najib sendiri tidak faham hasrat dan jiwa anak muda belia negara ini. Untuk pertahankan Putrajaya kalau tidak nanti pembangkang jual. Apa ini? Bagi saya ini mentaliti tikus bercakap berdegar-degar tapi realitinya tiada," kata Johari.

Johari menyatakan sebagai Perdana Menteri, Najib perlu memberikan galakan dan menyemarakkan idealisme belia supaya membangunkan negara dengan aman dan damai di masa hadapan.

"Yang penting bagi kita ialah politik harus dilihat dari sudut yang lebih besar. Bukan politik kepartian yang sempit. Kalaupun nak bercakap dengan belia, mereka harus diberi satu impian besar untuk bangunkan negara. Kita bukan boleh hidup 100 tahun lagi. Mungkin nanti Umno dan Pakatan Rakyat pun sudah tiada, mereka ada parti lain. Beliau harus mempunyai impian besar untuk membangunkan negara dengan cara yang disepakati," kata Johari lagi.