• Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian
1 / 1
SHAH ALAM - Kekalahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di cabang Kuala Selangor boleh menggugat kedudukannya di peringkat nasional, demikian menurut pendapat Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian.

Beliau berkata, kalah dengan majoriti 100 undi itu menunjukkan seperti ada sesuatu yang tidak kena.

"Abdul Khalid berdepan pelbagai krisis termasuk tuduhan salah laku (rasuah) dan desakan dalaman serta luaran yang dilihat boleh mencalar imejnya.

"Ini antara faktor kurangnya keyakinan penyokong terhadap kewibawaannya. Kerana itu, kedudukannya di peringkat tertinggi boleh terjejas," katanya.

Beliau berkata, walaupun Abdul Khalid mempamerkan kewibawaan tadbir urus yang baik namun, ia tidak mampu menjamin kepimpinannya dikekalkan.

"Ia secara langsung memberi implikasi besar terhadap kedudukannya selaku Menteri Besar Selangor. saya melihat beliau tidak mendapat sokongan dan hilang pengaruh," katanya.

Dr Sivamurugan berkata, isu rasuah yang dibawa pencabar S Manikavasagam yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor ketika pemilihan PKR pada 11 Mei lalu, dilihat berjaya meraih simpati pengundi di kawasan itu.

“Abdul Khalid tewas kepada seorang calon yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti. Pihak lawan berjaya memanipulasikan isu salah laku yang ditimbulkan, akhirnya Abdul Khalid tewas kepada percaturan politik,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Mad Jali berkata, corak pentadbiran yang mungkin tidak disenangi penduduk setempat mendorong kepada faktor kekalahan Abdul Khalid.

“Boleh jadi faktor kurang turun padang menyebabkan undian tidak memihak Khalid atau penyokong di kawasan itu mahu pemimpin baharu,” katanya.