TUN MAHATHIR HANYA PERDANA MENTERI SEMENTARA, TOLONGLAH JANGAN MENGADA-NGADA!!



Daripada semua kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan berhubung kedudukan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, satu kesimpulan yang nyata ialah beliau hanyalah sementara saja sifatnya dalam memegang jawatan tersebut.

Disebabkan kedudukan yang sementara itulah timbulnya desakan mahukan Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga PRU15 dan sebagainya.

Malah, dalam pelbagai reaksi yang diberikan oleh Tun Mahathir sendiri pun sebenarnya beliau sedar sifat kesementaraan itu, lantaran itu, mungkin disebabkan rindu kembali dengan kuasa sebagai Perdana Menteri,  selitan perkataan seperti “mungkin dua tahun, mungkin lebih dan mungkin kurang” dan "mungkin lebih sikit..."cuba dimain-mainkannya.

Tujuannya tidak lain ialah kerana Tun Mahathir seperti mahu berkuasa lebih daripada dua tahun sebagai Perdana Menteri, sedangkan jangkamasa dua tahun itu beliau sendiri yang mula-mula menyebutnya.

Mengimbas kembali sejarah Pakatan Harapan, calon sebenar Perdana Menteri ke-7 jika BN berjaya ditumbangkan ialah Anwar Ibrahim. Tetapi, oleh kerana beliau masih di dalam penjara dan tidak dapat bertanding dalam PRU14 lalu, calon sementara haruslah dipilih.

Di situlah yang menyebabkan nama Tun Mahathir dipersetujui sebagai calon Perdana Menteri ke-7 secara sementara sebelum ia mesti diserahkan kepada Anwar kemudiannya.

Sudah tentu jika Anwar tidak berada di penjara, maka beliaulah calon mutlak Perdana Menteri ke-7 itu.

Anwar pula memang berhak kepada jawatan itu kerana beliaulah yang mengasaskan Pakatan Harapan sejak tahun 1998 lagi, manakala Tun Mahathir hanya bersama gabungan pembangkang sejak 2016 saja.

Dalam hal ini, jika Tun Mahathir sentiasa menginsafi kedudukannya yang sementara itu, apa yang harus dilakukannya dalam tempoh waktu yang sementara selama dua tahun menjadi Perdana Menteri ialah beliau harus menumpukan kepada usaha memulihkan ekonomi, menyediakan pekerjaan untuk rakyat serta menunaikan janji-janji dalam manifesto PRU14 lalu.

Soal-soal lain seharusnya diketepikan sama sekali. Adalah suatu kecurangan sikap sebenarnya apabila dalam kedudukan yang sementara, tetapi seseorang itu bukan saja cuba memungkiri janjinya, malah cuba menaikkan orang lain pula untuk "menyailang" pengganti yang berhak mengambil alih tempatnya.

Selain harus fokus dalam tugas untuk negara dan rakyat, Tun Mahathir juga sepatutnya ada ikrar dalam dirinya sendiri untuk menunaikan 100 peratus janji peralihan kuasa yang telah dipersetujui tersebut.

Cubaan menonjolkan nama-nama lain, dengan tepatnya memberikan  jawatan kanan kepada Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, sedangkan namanya tidak dicalonkan oleh PKR untuk mengisi jawatan menteri lantaran sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu, dengan jelas menunjukkan Tun Mahathir ada niat buruk atau "telunjuk lurus kelingking berkait" dalam dirinya terhadap Anwar.

Apakah tiada pemimpin lain dalam Pakatan Harapan, selain Azmin yang layak untuk diberikan jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu?

Apa istimewa sangatnya Azmin sehingga di mata Tun Mahathir seolah-olah tiada orang lain yang layak memegang jawatan tersebut?

Begitu juga  seperti tindakan cuba mengukuhkan kedudukan dengan membawa masuk bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu atau mendapatkan sokongan melalui akuan bersumpah Ahli-Ahli Parlimen  BN terhadapnya, turut tidak perlu sama sekali sebenarnya.

Iyalah...sebagai Perdana Menteri sementara selama dua tahun sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar Ibrahim, untuk apa lagi memerlukan sokongan tambahan daripada Ahli-Ahli Parlimen BN?

Bahkan, dengan sokongan Ahli-Ahli Parlimen PKR, DAP, Amanah, Bersatu serta Warisan sedia ada pun beliau sudah dapat jadi Perdana Menteri, apa perlunya lagi menagih sokongan di luar daripada Pakatan Harapan?

Sepertimana isyarat Lim Kit Siang yang mengatakan DAP sedia meninggalkan kerajaan jika semangat Malaysia Baru diabaikan, disusuli dengan ketegasan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berhubung peralihan kuasa kepada Anwar, Tun Mahathir seharusnya insaf dengan penolakan daripada dalam Pakatan Harapan sendiri terhadap cubaan memungkiri janji penyerahan kuasa yang  telah pun dipersetujui itu.

Janganlah cuba mengada-ngada menyimpang ke laluan lain, walhal jalan yang sudah dipersetujui untuk dilalui bersama telah pun lama tersedia.

Beliau perlu segera berhenti melakukan sebarang tindakan yang dilihat mahu mengukuhkan kedudukannya, memanjangkan tempoh menjadi Perdana Menteri dan cuba mencurangi janji terhadap Anwar sendiri.

Begitu juga kepada penyokong, pendokong dan pentaksub Tun Mahathir, berhentilah menjaja nama lain selain Anwar sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Kiranya Anwar sendiri merasakan ada pihak dalam PKR yang mahu mensabotaj beliau daripada menjadi Perdana Menteri, tidak mungkin ia berlaku tanpa restu daripada Tun Mahathir sendiri.

Insaflah, bukan saja kerana jasa Anwar mewujudkan gabungan pembangkang yang kuat sejak 1998 yang harus dikenang dan dihargai, Pakatan Harapan sendiri bertanding menggunakan logo parti siapa pada PRU14 lalu? (ShahbudinHusin 04/01/2019)

Utusan Malaysia jahanam, UMNO perlu bertanggungjawab kata Kit Siang


Majlis Tertinggi UMNO perlu memikul tanggungjawab menyelesaikan masalah kewangan lidah rasminya, Utusan Malaysia.

Gesaan tersebut dibuat Lim Kit Siang, sebagai reaksi terhadap pelantikan Aziz Sheikh Fadzir sebegai pengerusi eksekutif Utusan Melayu Bhd, bagi memulihkan syarikat milik UMNO itu.

“Tiada siapa tahu kalau pulangnya Aziz ke Utusan akan dapat memulihkan akhbar itu,

“Tetapi saya bersetuju dengan Setiausaha Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Basir Abu Bakar, yang juga seorang wartawan Utusan; bahawa siapa sahaja yang mempengerusikan syarikat tersebut, harus komited untuk menyelamatkan Utusan,” jelas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataannya.

Kit Siang menegaskan bahawa wartawan Utusan Malaysia tidak boleh dijadikan kambing hitam akibat ketidakcekapan dan kleptokrasi alaman UMNO.

“Majlis Tertinggi UMNO tidak boleh dibiar melarikan diri daripada tanggungjawabnya ke atas wartawan Utusan Malaysia,” tegas beliau.

Tambahnya, kekalahan UMNO dalam PRU14 tidak boleh dijadikan alasan untuk memecat wartawan Utusan, kecuali jika UMNO sendiri mahu dibubarkan.

Kit Siang menyatakan sokongan jelas kepada tuntutan Gerakan Media Merdeka (Geramm) kepada pengurusan Utusan Malaysia agar membela nasib wartawan dan bekas stafnya yang telah banyak berkorban demi akhbar Bahasa Melayu tertua itu.

Aziz sebelum ini telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi eksekutif Utusan, selepas hanya enam bulan berkhidmat.

Utusan dijangka menyelesaikan pembayaran skim pembenhetian sukarela (VSS) kepada sejumlah pekerjanya menjelang hujung minggu ini, setelah dilaporkan gagal berbuat demikian kepada 700 pekerja pada 25 Disember.

Utusan dilaporkan menghadapi masalah kewangan semenjak UMNO tewas dalam pilihanraya Mei tahun lalu. UMNO memiliki 51% pegangan dalam Utusan Melayu Bhd.


Heret pihak salah guna peruntukan sekolah ke mahkamah, kata Kit Siang


Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan peruntukan sekolah bagi tujuan politik dikenakan hukuman setimpal.

Beliau mengulas laporan akhbar Sin Chew Daily baru-baru ini yang mendedahkan seorang pegawai khas kepada wakil rakyat melencongkan 30% peruntukan sekolah di Muar untuk kegunaan politik.

“Tindakan melencongkan 30 peratus atau apa-apa jumlah daripada peruntukan sekolah untuk tujuan politiik adalah rasuah terang-terangan dan tidak dibenarkan dalam Pakatan Harapan, ia adalah amalan pada era Barisan Nasional sebelum ini.

“Ia harus dibongkar dan didedahkan supaya individu yang terlibat dihukum mengikut undang-undang dan dipecat sekiranya dia memegang sebarang jawatan politik,” tegasnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, amalan rasuah seumpama itu tidak boleh dikompromi.

“Tidak kira dari parti Pakatan Harapan yang mana, dia harus didakwa tanpa belas kasihan,” katanya. 


M Manogaran bakal beraksi semula di Cameron Highlands


M Manogaran, sekali lagi diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk mewakili gabungan itu di Cameron Highlands.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Albukhary dekat Kuala Lumpur, hari ini.
“Kita telah tentukan siapa yang akan bertanding dalam PRK Cameron Highlands.
“Calon kita ialah Manogaran, iaitu calon yang lama, yang bertanding di situ dalam PRU14,” katanya.
Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata, PH akan menang di kerusi tradisi MIC tersebut meskipun menghadapi rintangan daripada pencabar.
“Kita akan menang dalam PRK ini, insyaAllah kita akan menang, kita tidak tahu siapa yang hendak bersaing dengan kita, dengar cerita macam-macam.
“Tetapi siapapun yang bertanding kita percaya kita dapat mengatasi,” ujarnya.
Untuk rekod, PRK Cameron Highlands diadakan susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Datuk C Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.
Pada PRU14, C Sivarrajh menewaskan empat calon lain termasuk M Manogaran dengan 597 undi

MTEM MAHU POLITIK NAUNGAN EKONOMI MELAYU DIHENTIKAN

ANWAR AKUI TERDAPAT PIHAK HALANG BELIAU JADI PM