Anwar akui terdapat pihak halang beliau jadi PM
Anwar Ibrahim mengakui kewujudan pihak dalam Pakatan Harapann (PH) yang ingin menggagalkan rancangannya menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, lapor Financial Times (FT).
Bercakap kepada akhbar perniagaan pada Rabu, presiden PKR itu berkata mereka ini mahu mensabotaj perancangan antara beliau dan Dr Mahathir.
“Ada pihak dengan alasan sendiri ingin mensabotajkan perancangan ini.
“Saya tidak menafikan, beberapa orang dalam gabungan pemerintah mempunyai agenda yang berbeza,” kata ahli Parlimen Port Dickson dalam laporan itu.
Inilah kali pertama Anwar secara terus-terang mengakui konspirasi terhadapnya apabila para penyokong setianya menimbulkan isu berkenaan semasa pemilihan PKR.
Semalam, kumpulan veteran yang dikenali kerana kesetiaan kepada Anwar, Otai Reformasi, mendakwa terdapat individu dalam PKR yang ingin menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri dalam tempoh dua tahun.
“Otai Reformasi akan menentang sesiapa saja yang cuba menggagalkan Anwar daripada menjadi perdana menteri sepertimana dipersetujui oleh Majlis Presiden PH,” kata Dr Idris.
Beliau tidak menyebut secara spesifik individu dimaksudkan tetapi menyifatkan langkah sedemikian jelas daripada beberapa siaran Facebook, termasuk kenyataan terbaru daripada “seorang menteri”.
Isu pengambilalihan pimpinan tertinggi menjadi perbincangan utama sejak pasukan Rafizi Ramli berkempen menentang Mohamed Azmin Ali semasa pemilihan PKR dengan mengatakan mereka tidak berminat melihat Anwar menjadi perdana menteri.
Awal minggu ini, Setiausaha Agung PH Saifuddin Abdullah berkata tiada perjanjian formal bagi Dr Mahathir menyerahkan jawatannya kepada Anwar dalam tempoh dua tahun seperti yang dipercayai sebelumnya.
Tetapi Dr Mahathir berulang kali mengatakan beliau akan menepati janji untuk menyerahkannya, dan Anwar berkata beliau tidak mempunyai alasan untuk tidak mempercayainya.
“Beliau pernah melakukannya sekali [menolak pengganti]; akankah beliau melakukannya lagi? Tetapi saya fikir keadaan juga sudah berubah,” kata Anwar yang dipetik dalam wawancara FT.
Anwar juga tidak mengenal pasti mereka yang dipercayai sebagai sebahagian daripada konspirasi dikatakan itu.
Minggu lalu Anwar dan Azmin berbalah secara terbuka melalui kenyataan dan media sosial selepas keputusan Anwar menamakan orang yang menyebelahinya dalam barisan pimpinan pusat PKR walaupun kalah pemilihan parti.