Revolusi ‘mulut ke mulut’ mampu jatuhkan BN


Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 10 Feb: Jika rakyat mengamalkan 'revolusi mulut ke mulut' secara bermaklumat sudah memadai untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) kecundang pada pilihan raya umum ke-13 nanti, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, ianya tidak payah menerusi revolusi Facebook sebagaimana yang menjadi amalan rakyat Mesir untuk menghukum presiden mereka, Hosni Mubarak.

"Kita di sini jika mengamalkan ‘revolusi mulut ke mulut pun’ dah memadai asalkan ia dilaksanakan secara agresif pasti Umno dan BN tumbang lama dah. Tapi masalahnya terutama orang Melayu tidak mahu buka mulut untuk menyedarkan pada orang lain walaupun tahu mereka dizalimi," terang beliau ketika berceramah di Permatang Tinggi 'C' malam tadi.

Revolusi tersebut, katanya walaupun nampak mundur tetapi amat berkesan kerana melalui percakapan ia membawa kepada kepekaan rakyat.

Tambahan pula, ujarnya rakyat sendiri sedang melihat kenaikan harga barangan seharian, kadar tol, petroleum dan sebagainya.

Tugas anggota Pakatan Rakyat, ujarnya ialah menyalurkan maklumat terkini kepada semua ahli dan pendukung supaya ia dibawa ke serata kampung, pinggir pekan, taman perumahan mahupun bandar supaya mereka memahami masalah yang dihadapi negara.

"Kumpulan yang sedar harus menyedarkan kumpulan yang mungkin kesedaran mereka masih jauh. Inilah tugas kita sebagai anggota masyarakat yang aktif menjalankan usaha melalui revolusi mulut ke mulut secara bermaklumat," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Tambahnya, satu lagi perkara yang harus diketengahkan kepada masyarakat ialah tentang penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang tidak membawa apa-apa keuntungan pada orang Melayu.

Penubuhan Teraju sambungnya, sekadar menonjolkan kebanggaan BN sahaja di saat akhir pilihan raya umum walhal semua orang tahu penubuhannya sekadarmembuka pekung di dada bahawa selama ini Majlis Amanah Rakyat (Mara), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan sebagainya gagal membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu.

"Pembubaran Kementerian Usahawan dan Koperasi di era Tun Abdullah Ahmad Badawi pun jelas membuktikan kerajaan tidak serius membantu kaum Bumiputera sedangkan kementerian tersebut merupakan satu kementerian yang ada menteri, timbalan menteri dan setiausaha kementerian," tambahnya.

Teraju kata beliau, hanya ada seorang CEO yang berfungsi mengawal semua yang berkaitan agenda ekonomi untuk orang Melayu yang tentunya kerja itu menjadi bertambah sukar dan mustahil berjaya melakukan pembaharuan ekonomi ataupun politik orang Melayu.


Bookmark and Share

Tolonglah, jangan "1Malaysia" lagi!

Adalah menjadi kebiasaan Perdana Menteri Malaysia dari UMNO untuk mentadbir negara dengan slogan. Bermula dengan "Bersih, Cekap dan Amanah" oleh Mahathir Mohamad, disusuli dengan "Work with me, not for me" oleh Abdullah Ahmad Badawi, dan kini "Satu Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan" oleh Najib Razak. Slogan ini dilaungkan pada tempoh awal mereka mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan.

Tempoh pemerintahan Mahathir lebih panjang. Selain "Bersih, Cekap dan Amanah", dekad kedua pemerintahan beliau menyajikan satu lagi slogan, iaitu "Wawasan 2020". Oleh sebab wawasan ini melakar masa depan Malaysia yang bertunggakkan pembangunan ekonomi, ditambah pula situasi di mana kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia berada di atas paras 8% setiap tahun sebelum kemelut ekonomi tahun 1997, maka "Wawasan 2020" telah menjadi buah mulut media - sehingga mewujudkan satu suasana untuk maju ke depan - dan "Bersih, Cekap dan Amanah" dilupakan begitu sahaja.

Sebagaimana yang sedia maklum, slogan semestinya lebih sedap diperdengarkan - ia bukan slogan seandainya tidak bersifat demikian. Slogan yang direka dengan halus biasanya sedap bunyinya - namun sering menerima tamparan sengit daripada realiti yang membingitkan. Misalnya, sementara slogan "Bersih, Cekap dan Amanah" berkumandang di sisi telinga, skandal kewangan datang berpusu-pusu - skandal Bumiputra Malaysia Finance, MAMINCO, KWSP dan Makuwasa, Pan-Electric Industries, koperasi dan sebagainya. Malah, berlakunya pembunuhan pegawai penyiasat di Hong Kong - mayatnya ditemui di pantai - ketika menyiasat skandal Bumiputra Malaysia Finance.

Saya tidak mengkaji sama ada slogan Mahathir dan Abdullah itu hasil kerja think-tank-nya selepas meneliti senario yang ada pada ketika itu, ataupun hasil kerja syarikat perunding yang dibayar dengan upah yang tinggi. Seingat saya tiada laporan dan perbincangan dalam aspek ini.

Namun, "Satu Malaysia" oleh Najib telah diperlihatkan umum sebagai hasil daripada syarikat perunding. Lebih malang, ia dikatakan meniru slogan "One Israel", produk daripada syarikat perunding. Lantas kesesuaiannya dipertikaikan kerana ia adalah produk tiruan dari negara lain, malah slogan ini memperlihatkan kekosongan dalam maknanya, dan saling bertentangan.

Pertama, seandainya "1Malaysia "dikatakan sebagai wawasan untuk menyatu-padukan seluruh rakyat, persoalan yang timbul adalah, apakah kita berada dalam keadaan berpecah belah sejak mencapai kemerdekaan? Keduanya, seandainya "1Malaysia" bertujuan untuk menghapuskan perbezaan antara kaum, apakah ia versi moden "Satu bangsa, Satu bahasa"? Seterusnya, jikalau "1Malaysia" adalah untuk menghapuskan perbezaan layanan di antara kaum, maka apakah dasar yang telah digubal kerajaan untuk tujuan tersebut?

Najib gagal merungkaikan 1Malaysia

Prestasi Najib yang tidak terserlah dalam kerjaya politiknya menonjolkan lagi kekosongan "1Malaysia". Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Utara Malaysia, Mohd Azizuddin Mohd Sani pernah menulis dalam kertas kerjanya pada tahun 2009:

"Apabila orang bertanyakan beliau (Najib) maksud konsep '1Malaysia', Najib gagal merungkaikannya dengan jelas. Beliau tidak mampu untuk mengaitkan konsep '1Malaysia'-nya dengan matlamat partinya untuk kerajaan yang bersatu. '1Malaysia' Najib tidak lain tidak bukan kelicinan pada bibir (slick concoction) mereka yang diupah dengan gaji yang tinggi." *1

Malah, dalam tulisan yang sama, Mohd Azizuddin Mohd Sani memetik artikel tulisan M.Bakri Musa - biarpun ditulis dengan berlapik, tetapi cukup untuk mendedahkan Najib yang sebenarnya.

"Ketika saya melayari laman Mahathir, Lim Kit Siang mahupun Anwar, saya tahu bahawa nada dan corak tulisan itu mencerminkan penulis sendiri. Namun, laman 1Malaysia.com tidak membuatkan saya untuk rasa sedemikian. Ia seolah-olah pandangan pihak ketiga, dan bukannya pandangan personal. Tujuan utama blogging adalah untuk meluahkan pandangan personal. Sesungguhnya, saya tidak mengharapkan Najib untuk menulis teks ucapannya sendiri. Beliau mempunyai hal yang penting untuk diuruskan, misalnya mentadbir negara ini. Namun, saya berharap beliau boleh memimpin penulis ucapannya, membaca teks muktamad-nya, dan menyunting jika perlu, supaya teks tersebut benar-benar mewakilinya, malah kelihatan seolah-olah tulisannya. Beliau perlu memahat sesuatu untuk dirinya."

Walau bagaimanapun, tiada pertikaian bahawa "1Malaysia" adalah ideologi dominan yang cuba diwujudkan Najib. Hubungan "hegemoni" yang diutarakan ahli falsafah Itali, Antonio Gramsci adalah hubungan pedagogic. Selain sekolah, sebagai medan penting untuk pedagogic (mengasuh), media, persatuan agama, malah nama bangunan dan lorong turut dipergunakan golongan pemerintah untuk bukan sahaja membuktikan, malah mengekalkan pendominasiannya.

Jika dilihat kepada slogan 1Malaysia, semua media tradisional tidak jemu-jemu untuk mengulangi propaganda, malah "Klinik 1Malaysia", "Kem 1Malaysia", "Pertandingan Lumba Kereta 1Malaysia" dan aktiviti yang pelbagai, dianjurkan untuk memahat "1Malaysia" ke dalam ingatan. Malah, pertubuhan sosial dan parti politik akan cuba sedaya upaya untuk menyelitkan slogan ini ke dalam kenyataan media mereka. Ia seolah-olah doktrin - cukup jelas cubaan untuk menjadikan "1Malaysia" sebagai wacana hegemoni.

PR menyumbang untuk kejayaan Najib

Sungguhpun kosong dan cetek, namun cubaan Najib untuk menjadikan "1Malaysia" sebagai hegemoninya telah berjaya separuhnya. Walaupun retorik yang tidak bermakna, tetapi berjaya memberi ilusi bahawa senario politik kesamarataan kaum akan menjelma dengan kemunculan Najib. Selain penguasaan jentera negara dan alat propaganda oleh kerajaan BN/Najib untuk menjayakan 1Malaysia, Pakatan Rakyat turut menyumbang tanpa disedari.

PR gagal mengetengahkan wacana alternatif untuk menangkis "1Malaysia", sehingga "1Malaysia" tidak tertanding. Pembentukan hegemoni tidak berjaya hanya dalam tempoh sehari dua, tetapi "revolusi yang berlanjutan". Wacana alternatif perlu wujud untuk mencabar hegemoni dalam medan pergelutan ideologi, supaya wacana hegemoni boleh dileraikan. Ketiadaan pesaing memberi kemenangan percuma kepada "1Malaysia".

Namun, apa yang harus menjadi muhasabah pemimpin PR adalah, mereka sering menyumbang untuk kejayaan Najib tanpa disedari. Sejak "1Malaysia" diketengahkan, ramai ahli politik PR, dari pemimpin akar umbi yang tidak berjawatan hinggalah ADUN mahupun ahli parlimen - malah Lim Kit Siang yang sudah puluhan tahun berkecimpung dalam politik - sering menyebut ayat "mengingkari semangat 1Malaysia", dalam kenyataannya yang mengkritik penyelewangan dan kelemahan kerajaan BN.

Misalnya, pada 12 Mei 2010, ketika Lim Kit Siang (gambar kiri) menyelar perhimpunan "Melayu Bangkit" yang dijadualkan berlangsung pada keesokannya; ketika Lim Kit Siang mengkritik dasar kerajaan untuk menghalang penubuhan persatuan agama selain Islam di sekolah pada 26 Julai; ketika Lim Kit Siang mengecam Utusan Malaysia pada 20 Ogos, yang melaporkan bahawa nama Yang Dipertuan Agong telah digantikan dengan nama Ketua Menteri Pulau Pinang ketika doa khutbah Jumaat dibacakan - semuanya menyelitkan ayat "membelakangi prinsip 1Malaysia" dalam kenyataannya.

Mereka menganggap itu sindiran terhadap Najib ketika berkata sedemikian. Pada hakikatnya, ia sebaliknya mengiktiraf keabsahan "1Malaysia" dan integriti Najib. Ketika ahli politik PR menyelar kesilapan kerajaan BN dengan "mengingkari semangat/dasar/prinsip 1Malaysia", mereka sebaliknya mengasingkan kesilapan ini daripada Najib. Ia menyampaikan mesej bahawa, Najib/"1Malaysia" adalah sesuatu yang betul/baik, cuma menteri kabinet, dan pegawai kerajaan tidak mematuhi/melaksanakan dasar Najib yang baik.

Dengan kata lain, segala-gala kesilapan ini bukan kesalahan Najib - walaupun sebagai ketua kerajaan, Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Najib sebenarnya harus memikul tanggungjawab terhadap segala kesilapan kerajaan.

Bagaimana wacana hegemoni ini boleh gagal, apabila ahli politik veteran seperti Lim Kit Siang pun mendukung "1Malaysia" oleh Najib? Jadi, tolonglah, PR dan NGO yang sedar, jangan "1Malaysia" di sana sini lagi!

*1: Mohd Sani, M. A. (2009). The Emergence of New Politics in Malaysia: From Consociational to Deliberative Democracy. Taiwan Journal of Democracy, 5 (2): 97-125.

*Chang Teck Peng ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 28 Januari 2011.

Pulau Pinang anjur perarakan Maulidur Rasul


Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 10 Feb: Seperti biasa, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengadakan Majlis Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1432H/2011M bertempat di Padang Kota Lama pada 15 Februari ini bermula jam 7.00 pagi.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Abul Kassim berkata, sebagaimana tahun lalu temanya tetap sama iaitu 'Wasattiyah Tunggak Kecemerlangan Ummah' yang menjurus kepada maksud melahirkan kesederhanaan dalam Islam.

Menurutnya, memandangkan program ini merupakan kesinambungan kepada program tahun lepas kebanyakan pengisianya tidak berubah, cuma individu yang terbabit sahaja yang berganti contohnya ceramah Maulidur Rasul akan disampaikan oleh Sheikh Faisol Omar dari Jabatan Agama Islam Kedah dan persembahan nasyid dari Jabatan Penjara Pulau Pinang iaitu johan Festival Nasyid Peringkat Negeri Pulau Pinang 2010.

Katanya lagi, bacaan kitab Bidayat As-Sul Fi Tafdil Rasul selama dua hari berturut-turut di Masjid Negeri tetap disampaikan oleh Ahli Majlis Fatwa dan Ahli Majlis Syura Negeri Pulau Pinang, Rosli Othman bermula jam 8.30 pagi sehingga 5.00 petang pada 12 dan 13 Februari.

Ia, tambahnya akan diikuti Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil pada 14 Februari di Masjid Negeri bermula jam 7.00 malam yang diketuai oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata, seramai 4,000 peserta pembarisan dijangka akan mengambil bahagian pada perarakan tahun ini yang melibatkan Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, badan berkanun, badan bukan kerajaan serta lain-lain.

Pada hari yang sama juga, katanya diadakan Perhimpunan Ummah di Dewan Sri Pinang di mana antara pengisiannya ialah anugerah khas Maulidur Rasul kepada personaliti yang mencipta nama peringkat negara dan antarabangsa, pelancaran Dana Wakaf oleh Yang Dipertua Negeri, ceramah Maulidur Rasul serta persembahan nasyid.

Katanya, kali ini juga Radio Pulau Pinang (Mutiara FM) telah mengadakan jalinan kerjasama untuk menyiarkan ceramah agama dari tokoh agama dari negeri atau kebangsaan selama 10 siri yang bertemakan Maulidur Rasul bermula dari 10 hingga 20 Februari di samping memperkenalkan Pameran Tamadun Islam pada 15 Februari di tempat yang sama.

"Dengan pemberitahuan ini tiada lagi mana-mana pihak mengambil peluang menghentam kerajaan negeri kononnya tidak menganjurkan perarakan Maulidur Rasul sepertimana kekecuhan di tahun lepas," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung.

(function() { var d = document, w = window; w

Bendera putih di seluruh Malaysia saat dihurung pandemik menandakan sesuatu yang lebih mendalam

MUSTAFFA K.ANNUAR Pandemik Covid-19 benar mengganggu negara kita, mengakibatkan bilangan kematian yang meningkat, lebih banyak jangkitan ser...