Lantikan politik PKR Kelantan dikekalkan


abdul aziz abdul kadir
Lantikan politik PKR Kelantan dikekalkan walaupun Pas memutuskan kerjasama politik dengan parti itu atas alasan kerajaan negeri di bawah Pas masih memerlukan kerjasama PKR dalam pentadbiran negeri.
Ab. Aziz Ab. Kadir berkata, beliau masih dikekalkan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Biro Politik parti itu semalam.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden PKR dan Biro Politik Pusat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk terus memimpin MPN Negeri Kelantan.
"Saya bersama MPN Negeri Kelantan akan terus komited untuk memperkukuh kedudukan PKR di Negeri Kelantan khususnya dalam menghadapi PRU-14," katanya dalam kenyataan hari ini.
Krisis kerjasama politik PKR dan Pas tercetus apabila Majlis syura Pas Pusat telah memutuskan hubungan dengan PKR sejurus selepas muktamar Pas 2017.
Ekoran keputusan tersebut PKR melalui keputusan Biro Politik parti telah bermesyuarat dan bersetuju mengarahkan semua lantikan politik PKR negeri Kelantan meletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta.
Keputusan ini telah disampaikan melalui surat Setiausaha Agung PKR bertarikh 17 Mei 2017.
MPN Kelantan telah mengadakan mesyuarat khas pada 17 Mei dan sekali lagi pada 5 Jun 2017 dengan mengambil ketetapan bersetuju menerima keputusan Biro Politik PKR.Walau bagaimana pun, keputusan untuk meletak jawatan dipersetujui untuk dilaksanakan pada 31 Julai 2017.

Pada 6 Ogos lalu, seramai tujuh Ahli Majlis PKR Kelantan yang dilantik dan yang masih belum mengangkat sumpah telah meletakkan jawatan serta merta sebagai melaksanakan arahan dan mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh Biro Politik parti itu.
Satu kenyataan rasmi PKR Kelantan menjelaskan, nama-nama pimpinan PKR yang telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis bersetuju untuk meletakan jawatan serta merta adalah Mohd Khairul Anwar Mohd Azhan, Ahli Majlis Daerah Ketereh.
Manakala enam lagi pimpinan PKR Kelantan yang telah disenaraikan sebagai Ahli-ahli Majlis Daerah tetapi belum mengangkat sumpah terdiri daripada Mohd Khairul Amin (Tumpat); Mohd Syahid Mohd Kamaruddin (Dabong); Zulqarnain Zakaria (Gua Musang) dan; tiga ahli Majlis Daerah Machang Muhammad Arif Mukhtar, Chu Jok Lan dan Tan Teck Seng.

Tak kan Najib tak tahu Isa Samad bermasalah?


GELANG PATAH, 16 OGOS: Pelantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) terus dipertikai berikutan penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seharusnya tahu bahawa bekas pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) itu bermasalah sebelum memutuskan memilih Isa Samad untuk mengisi jawatan tersebut.
“Najib pasti menerima banyak rungutan mengenai kegiatan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah membabitkan Isa Samad, bukan sahaja berkaitan pembelian hotel di London dan Kuching, malah pembelian hartanah oleh Felda dan FGV.
“Mengapa Najib tetap meneruskan pelantikan Isa Samad sebagai Pemangku Pengerusi SPAD apabila yang sepatutnya dilakukan Najib adalah membiarkan siasatan dilaksanakan bagi menentukan sama ada Isa Samad benar-benar melakukan kesalahan tersebut.
“(Malah) Bagaimana dengan jawatan Pengerusi SPAD yang ketika ini dipangku Isa Samad berikutan penahanannya oleh SPRM?” soalnya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dalam kenyataan, hari ini.
Beliau justeru menggesa Najib agar menjelaskan kepada rakyat berhubung keputusannya untuk tetap melantik Isa Samad dalam jawatan tertinggi SPAD walaupun Menteri Kewangan itu sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat mengenai salah laku pemimpin UMNO itu.
Isa Samad dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi permohonan reman oleh SPRM susulan siasatan badan itu terhadap pembelian dua hotel di London dan Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC) yang merupakan anak syarikat FGV.
SPRM sedang menyiasat pembelian hartanah oleh FIC di Kensington, London antara 2013 dan 2015 dengan jumlah £60 juta (RM330 juta) iaitu di bawah harga pasaran pada masa pembelian yang dikatakan berjumlah RM110 juta. 

P. Pinang cari penyelesaian terbaik selesai masalah premis haram




GEORGE TOWN, 16 OGOS: Adalah menjadi dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani masalah premis haram di negeri ini.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan terburu-buru mengambil tindakan merobohkan mana-mana premis haram yang didirikan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) iaitu sebelum 2008.
Tindakan meroboh, jelasnya, diambil hanya setelah satu-satu premis itu didapati menghalang aliran trafik atau menjadi punca kepada gangguan orang awam.
“Pendekatan ini dipakai untuk mencari penyelesaian yang baik; ‘menang-menang’ untuk semua pihak dan atas dasar perikemanusiaan menerusi proses pemutihan, dipindahkan kepada tempat baru ataupun dibuka/dirobohkan dengan sendiri.
“Hanya struktur dan penjaja haram yang didirikan selepas 2008 akan diambil tindakan, itupun dengan cara berperikemanusiaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP, turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan BN dan PAS yang dilihat cuba mempolitikkan isu terbabit tetapi enggan pula menyatakan sebarang pendirian ke atas dasar tersebut.
“Sekiranya mereka menentang dasar Kerajaan Negeri ini dan beria-ia mahukan tindakan penguatkuasaan dan perobohan dijalankan dengan segera ke atas bangunan, Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), struktur, penjaja dan kilang haram, adakah mereka bersedia untuk bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kesan, implikasi sosial dan impak negatif ke atas puluhan ribu kes-kes yang terjejas?
“Perlu ditanyakan kepada BN mengapa pula mereka tidak mengambil tindakan ke atas kilang haram berkenaan ketika mereka berkuasa sebelum 2008?” soalnya yang juga Adun Air Putih.
Guan Eng menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus melaksanakan dasar tersebut dan terbuka untuk diberikan penjelasan oleh pihak berkuasa jika dasar berkenaan dianggap melanggar undang-undang.
“Tindakan akan diambil ke atas bangunan dan struktur haram yang enggan menyertai proses pemutihan ataupun memohon kelulusan,” katanya.
Sementara itu, Guan Eng memaklumkan bahawa Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh diberi cuti sakit sehingga 21 Ogos bagi memberi ruang untuk beliau sembuh daripada pengalaman direman secara tidak sah selama tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Phee akan kembali bertugas selepas cuti sakit itu dan akan menjelaskan isu kilang haram di Sungai Lembu yang didakwa dibenarkan beroperasi lebih 10 tahun.
“Kilang haram itu terletak satu kilometer daripada kawasan penempatan penduduk, yang melebihi zon penampan (buffer zone) industri berat sebanyak 500 meter,” ujarnya. 

NOTHING TO HIDE 4.0, SEDIAKAH HADI AWANG SEPENTAS DENGAN TUN MAHATHIR MENJAWAB PERSOALAN MEMALI?



Presiden Pas, Hadi Awang menyalahkan jawapan Tun Mahathir Mohamad yang tidak memuaskan hati mereka yang hadir sebagai punca berlakunya kekecohan dalam program Nothing To Hide 2.0, Ahad lalu.

Kata beliau, tragedi berdarah pada 1985 itu memberi kesan kepada Pas kerana seorang pemimpinnya, Ibrahim Mahmud turut terkorban dalam kejadian itu.

Semua pihak menuding jari menyalahkan pihak lain dengan melupai punca asas tercetusnya kekecohan apabila jawapan yang diberi mengenai peristiwa Memali tidak memuaskan hati, ujarnya dalam satu kenyataan.

Untuk makluman Hadi Awang, Tun Mahathir hanya memberikan jawapan dari segi persepektif tindakan polis dan kerajaan berdasarkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri ketika kejadian itu berlaku.

Tetapi, Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap polis pada waktu kejadian ialah Tun Musa Hitam.

Pada awalnya, dilaporkan Tun Mahathir berada di luar negara ketika itu, namun Tun Musa dalam bukunya, Frankly Speaking mendedahkan bahawa bekas Perdana Menteri itu berada di dalam negara ketika tercetusnya peristiwa Memali.
Soalnya, apakah hanya kerana Tun Mahathir berada di dalam negara, kesalahan mesti diletakkan sepenuhnya ke atas bahu beliau?

Apakah Tun Musa yang menjadi Menteri Dalam Negeri terlepas sama-sekali daripada pertanggungjawaban semata-mata kerana Tun Mahathir berada di dalam negara?

Adakah kerajaan dan pihak polis saja yang bersalah sepenuhnya dalam peristiwa Memali itu?

Dalam konteks Memali, sejak dahulu lagi sudah ada dakwaan dan cakap-cakap yang meluas bahawa dikatakan sebab lain terjadinya peristiwa tersebut ialah kerana sikap fanatik Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya dan para pengikutnya yang begitu totok memusuhi UMNO dan kerajaan dan ianya didakwa berpunca daripada Amanat Hadi sendiri yang dilafazkannya pada 1981.

Amanat itu didakwa membentuk sikap taksub sehingga wujudnya amalan kafir-mengkafir, sembahyang dua imam, tidak makan sembelihan orang UMNO, meragui keislaman pihak lain dan sedia syahid dengan pihak yang dimusuhi, meskipun sama-sama beragama Islam.

Bolehkah Hadi menjelaskannya secara jujur dan tanpa berselindung perkara itu?

Untuk menjernihkan kekeruhan yang berpanjangan selama ini, mahu tidak mahu, bermakna satu satu lagi program Nothing To Hide perlu diadakan. Mungkin sebuah NGO bebas perlu tampil sebagai penganjurnya.

Nothing To Hide 1.0 pernah diadakan tidak lama dulu dan dianjurkan oleh sebuah NGO, tetapi Najib membatalkan kehadiran di saat-saat akhir sebaik mengetahui Tun Mahathir turut sama menghadirinya. 

Akhirnya hanya Tun Mahathir seorang yang hadir dan diberi kesempatan berucap sebelum diarahkan oleh pihak polis menghentikan ucapannya.

Nothing To Hide 2.0 anjuran Armada Bersatu baru diadakan Ahad lalu dan  berakhir dengan kekecohan di mana selipar, kasut, botol dan kerusi berterbangan bersama bom asap.

Najib juga dijemput untuk duduk sepentas dengan Tun Mahathir kali ini, tetapi langsung tidak memberikan jawapannya. Sehingga ke hari program, Najib ternyata tidak berani berdepan dengan Tun Mahathir dan akhirnya hanya Pengerusi Pakatan Harapan itu tampil seorang diri.
Nothing To Hide 3.0 sudah ditempah oleh Jamal Md Yunus, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan Ketua Gerakan Baju Merah yang bakal bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 2018 nanti.

Beliau berhasrat untuk mengadakan program tersebut di kawasan Chow Kit dengan menampilkan Azmin Ali, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sebagai jemputan.

Beliau bagaimanapun enggan menjemput Tun Mahathir atas alasan bagi mengelakkan kekecohan seperti di Shah Alam berulang. Jamal juga tidak menamakan siapa pemimpin UMNO yang bakal dijemputnya.

Hmmmm...entah jadi entah tidak Nothing To Hide 3.0 itu atau hanya sekadar gempar Jamal untuk meraih publisiti saja?

Berikutan Hadi menyalahkan jawapan Tun Mahathir sebagai punca kekecohan dan dalam waktu yang sekian lama Amanat Haji Hadi juga dikaitkan sama, bermakna Nothing To Hide 4.0 adalah amat sesuai dan perlu diadakan dengan mempertemukan kedua-dua pemimpin tersebut untuk menjernihkan segala kekeliruan dan salah tanggap mengenai peristiwa Memali selama ini.

Sediakah Hadi duduk sepentas dengan Tun Mahathir dan berterus-terang kepada seluruh rakyat Malaysia? (ShahbudinHusin 15/08/2017)

PH YAKIN TAWAN KEDAH, JOHARI ABDUL BAKAL MB

SKANDAL FELDA: JANGAN HANYA TANGKAP TAPI TIDAK DIDAKWA – SHAMSUL

ZAID KRITIK PEMIMPIN PEMBANGKANG TERUS BERUNDING DENGAN PAS