Skandal Felda: Jangan hanya tangkap tapi tidak didakwa – Shamsul
Tan Sri Isa Samad mesti dibawa ke muka pengadilan bagi mengenal pasti sama ada terdapat rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang dilakukan ketika beliau menjadi pengerusi Felda.
Naib Presiden PKR Shamsul Ikandar Mohd Akin berkata, PKR mengingatkan kerajaan agar tidak bermain wayang dengan membuat siri tangkapan tanpa mengheret individu terlibat rasuah ke muka pengadilan.
“Kami mengalu-alukan tangkapan ke atas Isa Samad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia walaupun ramai beranggapan beliau sepatutnya ditangkap lebih lama lagi.
“Sekiranya mempunyai bukti yang kukuh dan prima facie, beliau sewajarnya didakwa untuk menunjukkan bahawa perdana menteri benar-benar serius memerangi rasuah walaupun beliau sendiri terpalit dengan skandal 1MDB dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Isa yang juga naib presiden Umno ditahan SPRM semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes pembelian dua hotel oleh Felda Invesment Corporation (FIC).
Isa tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk prosiding reman dengan berbaju lokap SPRM dan bergari serta diiringi anggota SPRM.
Shamsul yang juga ahli Parlimen Bukit Katil berkata turut berkata, rakyat sudah muak dengan tangkapan tanpa tuduhan.
“PKR juga berharap supaya skandal-skandal lain yang melibatkan Felda seperti kerugian FGV juga dapat perhatian oleh SPRM untuk mencari dalang yang merugikan Felda dan peneroka Felda,” katanya yang juga Ketua Biro Felda dan Perladangan PKR.