P. Pinang cari penyelesaian terbaik selesai masalah premis haram




GEORGE TOWN, 16 OGOS: Adalah menjadi dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani masalah premis haram di negeri ini.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan terburu-buru mengambil tindakan merobohkan mana-mana premis haram yang didirikan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) iaitu sebelum 2008.
Tindakan meroboh, jelasnya, diambil hanya setelah satu-satu premis itu didapati menghalang aliran trafik atau menjadi punca kepada gangguan orang awam.
“Pendekatan ini dipakai untuk mencari penyelesaian yang baik; ‘menang-menang’ untuk semua pihak dan atas dasar perikemanusiaan menerusi proses pemutihan, dipindahkan kepada tempat baru ataupun dibuka/dirobohkan dengan sendiri.
“Hanya struktur dan penjaja haram yang didirikan selepas 2008 akan diambil tindakan, itupun dengan cara berperikemanusiaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP, turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan BN dan PAS yang dilihat cuba mempolitikkan isu terbabit tetapi enggan pula menyatakan sebarang pendirian ke atas dasar tersebut.
“Sekiranya mereka menentang dasar Kerajaan Negeri ini dan beria-ia mahukan tindakan penguatkuasaan dan perobohan dijalankan dengan segera ke atas bangunan, Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), struktur, penjaja dan kilang haram, adakah mereka bersedia untuk bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kesan, implikasi sosial dan impak negatif ke atas puluhan ribu kes-kes yang terjejas?
“Perlu ditanyakan kepada BN mengapa pula mereka tidak mengambil tindakan ke atas kilang haram berkenaan ketika mereka berkuasa sebelum 2008?” soalnya yang juga Adun Air Putih.
Guan Eng menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus melaksanakan dasar tersebut dan terbuka untuk diberikan penjelasan oleh pihak berkuasa jika dasar berkenaan dianggap melanggar undang-undang.
“Tindakan akan diambil ke atas bangunan dan struktur haram yang enggan menyertai proses pemutihan ataupun memohon kelulusan,” katanya.
Sementara itu, Guan Eng memaklumkan bahawa Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh diberi cuti sakit sehingga 21 Ogos bagi memberi ruang untuk beliau sembuh daripada pengalaman direman secara tidak sah selama tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Phee akan kembali bertugas selepas cuti sakit itu dan akan menjelaskan isu kilang haram di Sungai Lembu yang didakwa dibenarkan beroperasi lebih 10 tahun.
“Kilang haram itu terletak satu kilometer daripada kawasan penempatan penduduk, yang melebihi zon penampan (buffer zone) industri berat sebanyak 500 meter,” ujarnya.