Nazri to Anwar: 'mandi bunga, cari bomoh'

HA..HA MENTERI CAKAP MCM NI



Anwar : Pakatan-SNAP Gerak Sebagai Satu Pasukan Di Sarawak




KUALA LUMPUR 22 MAC : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan Pakatan Rakyat dan Parti Kebangsaan Sarawak akan bergerak sebagai “satu pasukan” dalam mencabar Barisan Nasional pada pilihanraya negeri itu.

SPR akan bermesyuarat esok untuk menetapkan hari penamaan calon dan tarikh mengundi untuk 71 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak yang akan dipertandingkan.

Anwar menolak dakwaan kononnya Pakatan Rakyat yang merangkum Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS tidak sehaluan dengan SNAP dalam soal pengagihan kerusi.

“Soal rundingan di antara parti sudah pun hampir selesai. Kita sudah bersetuju dalam semua kerusi-kerusi yang akan dipertandingkan di antara tiga-tiga parti dan juga SNAP,” kata Anwar.

“Ada beberapa perkara kecil dan beberapa kerusi lain yang akan diputuskan dalam beberapa hari lagi tetapi dari segi keseluruhannya kita dah bersetuju dengan pengagihan kerusi dan kita akan bekerja sebagai satu pasukan,” tegas beliau.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR turut menggesa SPR memastikan pilihanraya diadakan secara telus dan adil selain membenarkan tempoh berkempen selama tiga minggu, memandangkan kekangan logistik untuk menyampaikan mesej kepada rakyat Sarawak.

“Kita telah menggesa supaya Sarawak memperkenalkan sistem pilihanraya yang bersih dan adil dengan… ruang media mengelakkan sebarang sekatan dan kertas undi dan undian pos yang telus,” tegas Anwar.

“Kalau tidak, nyata Sarawak (akan jadi ) satu lagi contoh di mana kerakusan kuasa BN Sarawak dan BN Malaysia untuk merebut kemenangan dengan cara tipu helah bertentangan dengan prinsip dan amalan demokrasi,” kata Anwar.

DUN Sarawak PKR Putus Calon Ahad Ini







KUALA LUMPUR 22 MAC : Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memuktamadkan senarai calon bagi pilihan raya Sarawak semasa mesyuarat tertinggi parti itu, Ahad ini, kata Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh parti itu bergantung kepada rundingan dengan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Khamis ini walaupun PKR sebelum ini menyatakan minat untuk bertanding 52 daripada 71 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Saya menemui mereka (pemimpin SNAP) semalam dan hari ini dan mereka telah melakarkan hala tuju dan kerusi yang mereka mahu bertanding. Saya menemui penasihat SNAP Datuk seri Daniel Tajem Ahad lalu dan setiausaha agungnya Stanley Jugol hari ini,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau enggan memberi butiran lanjut mengenai dua mesyuarat dengan SNAP kecuali mengatakan tidak ada pertengkaran mengenai pengagihan kerusi di kalangan pakatan pembangkang di Sarawak iaitu bertentangan dengan beberapa laporan media sebelum ini.

SNAP merupakan sebahagian daripada pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS di Sarawak.

Sementara itu, Jugol, ketika dihubungi, berkata SNAP telah menjelaskan kepada Azmin mengenai hasrat parti itu untuk bertanding 28 kerusi di kawasan majoriti Dayak di mana parti itu percaya mempunyai peluang baik untuk mencapai kemenangan.

“Azmin berjanji untuk membawa perkara ini kepada kepimpinan PKR sebelum Khamis ini,” katanya.

Jugol juga menegaskan bahawa SNAP masih menjadi sebahagian daripada pakatan itu.

DUN Sarawak dibubarkan semalam bagi membolehkan pilihan raya Sarawak ke-10 diadakan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat di Kuching, Rabu ini, bagi memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Pada pilihan raya negeri lepas, pada 2006, PKR dan SNAP masing-masing menang satu kerusi dengan calon PKR, Dominic Ng di Padungan dan Johnicol Rayong (SNAP) di Engkilili.

Johnicol mengisytiharkan dirinya Bebas selepas memenangi kerusi tersebut dan kini menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yakin SNAP dan PKR akan dapat menyelesaikan isu pengagihan kerusi pada pilihan raya Sarawak akan datang “demi kepentingan lebih utama iaitu mengurangkan majoriti dua pertiga BN.”

Beliau berkata pembangkang perlu memperakui kelemahan dan kekuatan masing-masing.

“Saya pasti jika wujud komitmen sebenar dan ikhlas untuk mengurangkan majoriti dua pertiga BN, masalah ini boleh diselesaikan” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen mengumpul dana dan maskot DAP bagi pilihan raya negeri Sarawak di sini semalam.

Dipetik Bernama, Lim berkata pengagihan kerusi di kalangan parti pembangkang di Sarawak masih lagi dibincangkan.-BERNAMA

Gagal Fitnah Liwat, Kini Skandal Seks Pula

Anwar lodges police report on sex video

Klip video seks: Antara paksa, pujuk dan musnahkan keyakinan

Ooi Heng | Mar 22, 2011

Siapa Datuk T? Maka mulalah cerita si penglipur lara berhubung kumpulan manusia bergelar "Datuk" yang berkeliaran di bumi 2Malaysia. Tetapi aksi berkeliaran mereka tidak serupa aksi yang dipersembahkan oleh Zarathustra, seorang watak ciptaan ahli falsafah Jerman Friedrich Nietzsche dalam karya beliau "Thus Speak Zarathustra".

Zarathustra berlari ke sana ke sini sambil berteriak: Tulislah dengan darah, dan kau akan merasakan bahawa darah adalah roh. Tidak! Kumpulan manusia bergelar "Datuk" tidak menulis tetapi merekacipta dengan roh yang tidak bermaruah.

Darah tidak mengalir dalam tubuh badan mereka. Asalkan motif politik tercapai, tidak apa kalau roh menjadi kotor. Begitu kotor dan jijik sehingga darah tidak sanggup mewarnai roh malahan menjauhi roh.

Kumpulan bergelar "Datuk" bukan seorang tetapi beberapa orang. Ada Datuk T, ada Datuk W, ada Datuk M, ada pula Datuk TC. Sebelum itu, memoir Tun M mendakwa kononnya insan bergelar DSAI terlibat dengan kegiatan seks perempuan sementara dakwaan liar liwat sedang dipertikaikan sepanjang proses perbicaraan mahkamah, kini timbul rakaman video seks yang nampaknya cuba membuktikan kesahihan memoir Tun M.

Kebetulankah? Yalah, ini kan bumi 2Malaysia. Apabila wujud rakaman video seks selepas diterbitkan memoir, namanya kebetulan. Segala-galanya hanyalah kebetulan. Melainkan kalau perut buncit watak rakaman video seks diukur dan dibandingkan ukuran berkaitan dengan insan bergelar DSAI, kebetulan muka cun kelihatan sama tinggi juga kerana kecanggihan teknologi. Ini kebanggaan legasi Mahathirisme, apabila teknologi dan politik seks bertembung, segala kemungkinan wujud tanpa syak-wasangka.

Jangan tanya aku siapa Datuk W, Datuk M dan Datuk TC. Aku cuma seorang penglipur lara yang berlari ke sana ke sini menceritakan kisah Datuk T kepada khalayak umum yang minat dengan cerita seks yang penuh misteri. Mungkin pengarang berpengalaman media talibarut bumi 2Malaysia tahu jawapannya. Otak kecil seperti otak durianku tiada jawapan dalam hal ini.

Politik seks yang rendah maruah rohnya

Kalau sebelum ini yang dihebohkan media adalah mengenai penemuan DNA yang ditanda lelaki Y (male Y) yang hendak dipadankan dengan insan bergelar DSAI meskipun wujud juga spesimen male (lelaki) lain yang ditanda X, Z dan sebagainya, kini yang dihebohkan media ialah dakwaan skandal seks seorang lelaki yang sakit tulang belakang yang gagah beraksi seks. Sukar hendak diimaginasikan tetapi dipaksakan imaginasi sebegitu rupa oleh politik seks sebegitu rendah maruah rohnya.

Sementara itu, kedengaran "jualan mega politik" sedang berlangsung. Bunyinya, jangan lagi kau terpedaya dengan insan bergelar DSAI. "Agenda reform" tidak bersamaan dengan DSAI, malahan juga tidak bersamaan dengan Pakatan Rakyat. Jangan kau lupakan atau gagalkan "agenda reform" kerana seorang insan bergelar DSAI. Biar kami perkenalkan kau dengan pemimpin tersohor 2Malaysia yang mandi saban hari dengan "agenda reform" bukan "agenda seks"!

Meskipun bapa Mongolia masih menanti-nanti jawapan pembunuhan anaknya, jangan kau terpedaya dengan dakwaan pembangkang. Percayalah kami yang berkeliaran ke sana ke sini dengan "agenda reform tulen", tidak sama dengan agenda tidak tulen pembangkang, kononnya.

Begitulah cerita si penglipur lara. Setakat ini sahaja ceritanya. Baik aku balik kepada bicara politik otak durianku secara serius.

Politik persepsi

Dalam konteks politik persepsi mencorakkan permainan politik negara, rakyat sekali lagi disuapkan dengan politik seks. Sesungguhnya, kalau sarjana politik ingin mengkaji dan menganalisi kekuatan Pakatan Rakyat dan cabarannya terhadap pemerintahan rejim UMNO-Barisan Nasional (BN), telitilah politik seks selama berdekad lamanya semenjak zaman reformasi. Apabila politik kotor mensasarkan watak tertentu, dan bahawa "agenda reform" juga dibawa oleh Perdana Menteri bumi 2Malaysia, implikasi tsunami politik nampaknya masih lagi mempengaruhi minda politikus bumi 2Malaysia sehingga segala percaturan politik disasarkan kepada politik seks dan politik persepsi.

Hal ini bermaksud, tsunami politik bukanlah suatu kebetulan seperti yang cuba dibentuk pandangan sedemikian oleh politikus UMNO-BN. Impaknya masih dirasai hari ini tetapi dalam bentuk yang berlainan. Segala politik kotor yang sedang dan bakal berlangsung dalam bumi 2Malaysia menjelang Pilihan raya negeri Dewan Undangan Sarawak dan pilihan raya umum ke-13 akan memberi sebahagian daripada jawapannya.

Hegemoni

Untuk menjadikan perbincanganku lebih serius atau sekurang-kurangnya kelihatan serius tanpa dipengaruhi politik seks semasa, izinkan aku bangkitkan satu konsep politik - hegemoni - dan kongsikan pemahamanku dengan kalian yang mungkin masih asyik dengan babak-babak politik seks tidak bermaruah.

Hegemoni, satu konsep politik yang dipopularkan oleh teoritikus politik Itali Antonio Gramsci. Pembentukan hegemoni diutamakan oleh rejim pemerintah untuk mengekalkan pemerintahan, kalau mungkin untuk selama-lamanya seperti yang diinginkan oleh rejim UMNO-BN. Pembentukan hegemoni tidak sekadar dilakukan melalui penggunaan kuasa paksaan tetapi juga melalui kuasa pujukan.

Namun, sama ada kuasa paksaan seperti penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau kuasa pujukan seperti pengumuman satu per satu Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP), tujuannya tidak lain tidak bukan untuk mengekalkan tampuk pemerintahan untuk selama yang mungkin.

Untuk memungkinkan pengekalan rejim UMNO-BN, pembentukan persetujuan secara aktif dalam kalangan rakyat adalah penting dan akan dilakukan siang dan malam malahan tanpa segan silu taktiknya asalkan berkesan dalam mengekalkan hegemoni UMNO-BN atau untuk mengelakkan keretakan yang terlalu besar apabila berdepan dengan cabaran kuasa pembangkang yang terlalu kuat.

Pembentukan persetujuan secara aktif sedang dilakukan melalui manifestasi politik persepsi dan politik seks di bumi 2Malaysia. Apabila terlalu banyak digunakan kuasa paksaan, masih khalayak umum akan rasa marah dan bangkit dengan demokrasi jalanan seperti yang disaksikan di negara-negara rantau Timur Tengah dan Afrika Timur.

Gabungan Najibnomics dan Mahathirisme

Percubaan menggunakan kuasa pujukan seperti slogan 1Malaysia pula berdepan dengan cabaran-cabaran kuat seperti isu kontroversi kitab Injil dalam bahasa Melayu. Malahan persetujuan aktif yang ingin dibentuk berhubung kejayaan transformasi ekonomi Najib Razak juga berdepan dengan tamparan hebat apabila laporan Bank Amerika Merrill Lynch menyatakan bahawa Malaysia merupakan pasaran paling tidak popular untuk kedua-dua "global emerging market" (GEM) dan pengurus dana Asia Pasifik sementara tinjauan Dewan Bersekutu Perdagangan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) mendapati bahawa rata-rata peniaga Cina tidak yakin dengan "agenda reform" ekonomi Najib!

Sementara itu, Buku Jingga kini semakin kuat impaknya dalam memperkasa kuasa counter-hegemoni yang dibentuk oleh Pakatan Rakyat dan masyarakat madani. Jelas, kemuncak Najibnomics kini berdepan dengan jalan buntu. Berhadapan dengan kegagalan bentuk-bentuk kuasa paksaan dan kuasa pujukan dalam membentuk persetujuan bahawa Kerajaan UMNO-BN benar-benar melakukan "agenda reform" di bawah pimpinan Najib, dan apabila terbukti bahawa manifestasi Najibnomics nampaknya tidak memberikan impak sebesar yang diharapkan untuk memperkasa strategi rejim -- UMNO-BN berhadapan dengan keretakan hegemoni yang terlalu besar dan kuasa counter-hegemoni yang semakin kuat, maka kini kembalilah manifestasi Mahathirisme yang menonjolkan politik seks secara liar.

Kini gabungan Najibnomics dan Mahathirisme juga mengambil tempat dalam konteks di mana pilihan raya negeri dan umum akan datang bakal menentukan masa depan negara. Ia bukan untuk memaksa dan bukan untuk memujuk rakyat - menceritakan dengan panjang lebar apa yang baik dengan regim BN. Ia cukup sekadar untuk memusnahkan keyakinan ramai terhadap pembangkang dan ketuanya. Jangan kita terpedaya dengan politik persepsi bercorakkan seks yang keterlaluan sehingga melupakan erti sebenar tsunami politik 2008 - untuk membawa harapan baru kepada tanah air yang dicintai kau dan aku.

Baca: "Perutnya lebih buncit": Anwar nafi dirinya watak dalam video seks

Baca: Klip video seks untuk desak Anwar berundur

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

Gagal Fitnah Liwat, Kini Skandal Seks Pula

22/03/2011


KUALA LUMPUR 22 MAC: "Ini perancangan yang teliti dan dilindungi," itu kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri kepada Ketua Pembangkang itu yang membidas penglibatan suaminya dalam skandal video seks lucah yang mengemparkan negara semalam.

Malah, beliau tidak menolak cubaan terdesak kepimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk mensabitkan Anwar dengan konspirasi terbaru selepas mendapati kes pendakwaan fitnah kedua ke atas Anwar tidak lagi relevan di mahkamah.

"Memang ianya konspirasi sebab kes Saiful akan kalah. Jadi buat satu kes yang baru dan ini bermotifkan politik. Buat di Carcosa Seri Negara, satu tempat yang ekslusif yang didalangi dan yang dipanggil editor-editor atasan. Ini perancangan yang teliti dilindungi," ujar Azizah

Beliau hadir mengiringi Anwar membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi tadi berhubung cubaan peras ugut bermotifkan politik oleh individu yang hanya dikenali sebagai "Datuk T".

Selain menggunakan khidmat Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan perlindungan, individu itu turut memeras ugut untuk menyebarkan rakaman video itu kepada umum sekiranya Wan Azizah dan Anwar enggan melepaskan jawatan parti politik yang disandang dalam masa seminggu.

Namun setakat ini tiada individu yang tampil membuat pengakuan malah kesahihan individu yang didakwa sebagai ketua pembangkang dalam video terbabit masih meragukan di kalangan pengamal media yang telah menontonnya.

Anwar dalam kenyataannya hari ini mengutuk keras perbuatan itu selain mendakwa ianya didalangi oleh Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk menjejaskan karier politik beliau sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Dalam laporan yang dikemukakan kepada polis sebentar tadi, beliau menuntut agensi kerajaan itu melakukan siasatan secara telus malah tidak tunduk kepada tekanan politik.

Seterusnya Anwar memberitahu media akan menunggu respon daripada Menteri Dalam Negeri berhubung konspirasi terbaru itu.

Mengapa Tema Serangan Anwar Tidak Pernah Berubah?

22/03/2011


KOMENTAR : Pada 1998 satu gerakan tersusun menyusup masuk dalam Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra di mana Perhimpunan Agung Umno sedang berlangsung. Anasir ini membekalkan buku “50 dalil mengapa Anwar tidak boleh jadi Perdana Menteri” dalam beg cenderamata perhimpunan.

Anwar berang dengan perbuatan licik itu dan membuat laporan polis. Beliau berasa difitnah. Polis pun menyiasat. Anwar pula mengarahkan peguam untuk menyaman penerbit buku itu, Allahyarham Khalid Jafri.

Akhirnya, dalam usaha mahu membersihkan namanya dari pelbagai fitnah yang terkandung dalam buku itu, siasatan polis itu beralih kepada Anwar sendiri. Natijahnya kini sejarah. Anwar dibicarakan, dan dalam proses itu pelbagai cerita menggiurkan didedahkan di mahkamah.

Namun separuh jalan, mahkamah memutuskan untuk menolak cerita-cerita seks yang dikatakan membabitkan Anwar dan akhirnya tuduhan dipinda dan Anwar disabitkan atas tuduhan rasuah dan salahguna kuasa. Dia pun dipenjarakan.

Hari ini, skrip hampir sama berulang. Seorang yang memperkenalkan dirinya Datuk “T” menayangkan video seks yang menggambarkan perlakuan seks membabitkan lelaki seiras Anwar.

Malah Datuk T berkata, beliau akan mengirimkan salinan video itu kepada pemimpin pembangkang itu dan isterinya. Beliau memberi mereka tempoh seminggu untuk meletakkan semua jawatan politik.

Datuk T menegaskan bahawa beliau tidak mahu membabitkan kerajaan dalam kes ini. Jika pemimpin terbabit tidak mahu meletak jawatan beliau akan menggerakkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan menubuhkan pasukan bertindak khas untuk membuat siasatan forensik terhadap video berkenaan.

Meskipun Datuk T tidak mahu kerajaan terbabit, Menteri Dalam Negeri, Hishamuddiin Hussein tidak dapat mengawal “kegayatan dan naluri politiknya” untuk memberi komen terhadap kemunculan video seks ini.

Hishamuddin berkata, orang yang terbabit dalam video seks, jika berasa dirinya difitnah, harus buat laporan polis. Biar polis siasat. Anak Perdana Menteri Ketiga ini berkata, polis tidak sama sekali terbabit dalam pembikinan video ini. Aneh!

Siapa yang bertanya dan mengapa pula menteri ini perlu menafikan pembabitan polis dalam pembikinan video yang beliau sendiri dakwa “belum tonton dan mungkin tidak akan menontonnya?”

Namun beliau berkata, jika video itu benar membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat, maka terpulanglah kepada rakyat untuk menilai peribadinya. Apakah itu sebenarnya matlamat Datuk T dan mereka yang bersengkongkol dengannya -- bina persepsi atau prasangka terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat?

Kemunculan video seks kali ini ditayangkan secara teratur – jemput wartawan tempatan pada sebelah pagi dan wartawan media asing pada sebelah petang – di hotel ternama di Kuala Lumpur.

Bayangkan betapa banyak yang perlu dibelanjakan oleh Datuk T! Sudah tentu ini projek besar yang memerlukan biaya daripada institusi yang kukuh kewangannya.

Nampaknya, kempen untuk mengaib dan membunuh kerjaya politik Anwar ini tidak pernah mengubah temanya. Sejak 1998 sasaran musuh politik Anwar ialah pegangan moralnya. Ini membabitkan kes mengurat isteri orang, liwat dan, amalan zina. Anehnya, soal yang menjadi senjata utama Anwar terhadap seteru politiknya – salah guna kuasa, dan rasuah tidak pernah cuba digunakan terhadap Anwar.

Ini menunjukkan bahawa musuh Anwar tidak dapat mencari fakta atau merekacipta bukti membabitkan Anwar dalam amalan curang ekonomi seperti rasuah.

Sebaliknya, mereka mencongak jika maruah Anwar boleh dipertikaikan, tuduhan Anwar terhadap amalan salah guna kuasa dan rasuah, pemimpin-pemimpin politik Umno-BN akan larut begitu sahaja dan dilupakan orang.

Begitu juga dalam kes mahkamah yang membabitkan konspirasi liwat kedua yang sedang berlangsung. Apabila melihat hakim menolak bukti rekacipta polis, Umno dan konco-konconya berdemonstrasi menagih Anwar supaya memberikan sampel DNA beliau. Jika tidak, ia membuktikan Anwar takut kerana bersalah.

Namun kerana corak dan tema dakwaan terhadap Anwar ini sama sahaja, ia menggambarkan betapa dangkalnya pemikiran politik musuh-musuh Anwar. Mereka cuba menabur persepsi bahawa sebagai seorang yang bermoral rendah (seperti kata musuh nombor satu Anwar, Dr Mahathir Mohamad) Anwar tidak layak jadi pemimpin.

Apa yang menakutkan mereka sekarang sebenarnya ialah, bagaimana jika kerjaya politik Anwar terus mekar selepas pilihanraya negeri Sarawak dan kemudian pilihanraya umum ke-13? Dan, Anwar benar-benar jadi pemimpin utama negara? Maka teruslah mereka berpaut kepada modal tohmahan video seks dan kes liwat dengan harapan rakyat percaya.

P'raya Sarawak : Jangan Terpesong Dengan Video Seks Fitnah

22/03/2011


KUALA LUMPUR 22 MAC : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pengundi Sarawak menolak cubaan Putrajaya menggunakan video fitnah seks terhadapnya untuk mengalihkan tumpuan mereka daripada keperluan menamatkan pemerintahan rasuah Barisan Nasional.

Anwar turut menggesa Suruhanjaya Pilihanraya untuk memastikan pilihanraya yang telus dan adil khususnya undi pos dengan tempoh berkempen sekurang-kurangnya tiga minggu.

SPR akan bermesyuarat eok untuk menetapkan hari penamaan calon dan hari mengundi untuk 71 kerusi Dewan Undangan Negeri setelah DUN Sarawak dibubarkan semalam.

Anwar berkata parti komponen Pakatan Rakyat dan rakan pembangkang SNAP akan memutuskan pengagihan kerusi dalam beberapa hari untuk memberikan saingan hebat kepada Barisan Nasional pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Tangan Najib Dalam Video Fitnah, Kata Anwar

22/03/2011 Share


KUALA LUMPUR 22 MAC: Penganjuran majlis "pra-tonton" video seks fitnah di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur untuk ahli media semalam tidak mungkin diadakan tanpa penglibatan Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Tun Hussein, kata Datuk Seri Anwar ibrahim.

"Tayangan video lucah yang merupakan jenayah berat dibiarkan dan ini tidak mungkin berlaku tanpa penglibatan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri termasuk pihak atasan Polis Diraja Malaysia," jelas Anwar selepas membuat laporan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersabit video itu.

Video 21 minit itu ditunjukkan oleh seorang yang hanya di kenali "Datuk T" bagi menyakinkan orang ramai bahawa Datuk Seri Anwar melakukan hubungan sumbang dengan seorang wanita di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Febuari lalu.

Anwar semalam menegaskan beliau berada di rumah bersama ahli keluarga dan kakitangannya ketika kejadian itu didakwa berlaku sebelum bertindak membuat laporan polis hari ini bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan.

Beberapa wartawan yang menyaksikan video itu semalam mengesahkan orang di dalam rakaman itu mempunyai perut buncit yang bukan menjadi sebahagian daripada iras Anwar.

Anwar berkata pra-tonton video lucah itu di Hotel Carcosa Seri Negara dengan sendirinya adalah satu jenayah, namun polis tidak mengambil tindakan kerana penganjurnya dilindungi oleh Najib dan Hishamuddin.

"Ini menunjukkan polis memilih. Kalau saudara tentang dan hina Anwar, boleh lakukan segala jenayah. Boleh pukul dan boleh sebar kenyataan video lucah," kata Anwar secara sinis mengenai realiti politik negara.

"Ini terbukti dan saya mahu tindakan diambil," tambah beliau kepada kira-kira 80 penyokong yang mengiringi beliau membuat laporan polis itu. Turut sama isterinya beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan anaknya Nurul Izaah.

Ketua Pembangkang itu memberi amaran kepada kerajaan Malaysia untuk tidak mengulangi kekejaman pada 1998 di mana beliau di pukul dalam lokap setelah membuat laporan polis mengenai sebuah buku yang menfitnah beliau.

"Saya beri ingatan kepada Menteri Dalam Negeri, jangan guna laporan polis untuk menutup kesalahan jenayah dan mengugat kerja saya dalam politik.

"Kenapa kes Port Dickson masih belum disiasat secara terperinci? Saya akan lawan mereka," ujar Anwar disahut laungan penyokong-penyokong yang hadir.

Kes Port Dickson merujuk kepada dakwaan salah laku seks membabitkan Perdana Menteri Najib Razak.

Dalam salinan laporan polis yang diedarkan kepada wartawan, Anwar memberitahu individu-individu tertentu termasuk Datuk T melakukan kesalahan fitnah jenayah, intimidasi jenayah, dan melakukan konspirasi jenayah terhadapnya dengan penayangan video lucah itu.

Datuk T semalam mengugut untuk mededahkan video tersebut kepada umum sekiranya Anwar dan Wan Azizah selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidak meletakkan jawatan dalam masa seminggu. Anwar adalah Ketua Umum parti itu.

Antara yang turut hadir di IPD Dang Wangi bersama Anwar tadi adalah Naib Presiden PKR Tian Chua dan N.Surendran, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin dan Ahli Jawantakuasa PAS Pusat Datuk Seri Nizar Jamaluddin.