DUN Sarawak PKR Putus Calon Ahad Ini







KUALA LUMPUR 22 MAC : Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memuktamadkan senarai calon bagi pilihan raya Sarawak semasa mesyuarat tertinggi parti itu, Ahad ini, kata Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh parti itu bergantung kepada rundingan dengan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Khamis ini walaupun PKR sebelum ini menyatakan minat untuk bertanding 52 daripada 71 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Saya menemui mereka (pemimpin SNAP) semalam dan hari ini dan mereka telah melakarkan hala tuju dan kerusi yang mereka mahu bertanding. Saya menemui penasihat SNAP Datuk seri Daniel Tajem Ahad lalu dan setiausaha agungnya Stanley Jugol hari ini,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau enggan memberi butiran lanjut mengenai dua mesyuarat dengan SNAP kecuali mengatakan tidak ada pertengkaran mengenai pengagihan kerusi di kalangan pakatan pembangkang di Sarawak iaitu bertentangan dengan beberapa laporan media sebelum ini.

SNAP merupakan sebahagian daripada pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS di Sarawak.

Sementara itu, Jugol, ketika dihubungi, berkata SNAP telah menjelaskan kepada Azmin mengenai hasrat parti itu untuk bertanding 28 kerusi di kawasan majoriti Dayak di mana parti itu percaya mempunyai peluang baik untuk mencapai kemenangan.

“Azmin berjanji untuk membawa perkara ini kepada kepimpinan PKR sebelum Khamis ini,” katanya.

Jugol juga menegaskan bahawa SNAP masih menjadi sebahagian daripada pakatan itu.

DUN Sarawak dibubarkan semalam bagi membolehkan pilihan raya Sarawak ke-10 diadakan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat di Kuching, Rabu ini, bagi memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Pada pilihan raya negeri lepas, pada 2006, PKR dan SNAP masing-masing menang satu kerusi dengan calon PKR, Dominic Ng di Padungan dan Johnicol Rayong (SNAP) di Engkilili.

Johnicol mengisytiharkan dirinya Bebas selepas memenangi kerusi tersebut dan kini menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yakin SNAP dan PKR akan dapat menyelesaikan isu pengagihan kerusi pada pilihan raya Sarawak akan datang “demi kepentingan lebih utama iaitu mengurangkan majoriti dua pertiga BN.”

Beliau berkata pembangkang perlu memperakui kelemahan dan kekuatan masing-masing.

“Saya pasti jika wujud komitmen sebenar dan ikhlas untuk mengurangkan majoriti dua pertiga BN, masalah ini boleh diselesaikan” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen mengumpul dana dan maskot DAP bagi pilihan raya negeri Sarawak di sini semalam.

Dipetik Bernama, Lim berkata pengagihan kerusi di kalangan parti pembangkang di Sarawak masih lagi dibincangkan.-BERNAMA

No comments: