Rafizi cabar Sanusi lapor SPRM dakwaan orang PKR, DAP 'pau' untuk projek

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli (kanan) dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto BH
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli (kanan) dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto BH

NIBONG TEBAL: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mencabar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat laporan berhubung dakwaan dibuatnya kononnya berlaku rasuah membabitkan anggota PKR dan DAP, yang menjejaskan rancangan pembangunan negeri itu.

Rafizi berkata, sekiranya benar dakwaan dibuat Sanusi itu, maka pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu perlu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Jika benar ada orang daripada PKR dan DAP yang 'pau' (meminta rasuah) untuk projek yang menjejaskan projek pembangunan negeri, maka panggil sidang media dan namakan mereka.

"Jangan gunakan PRK (Pilihan Raya Kecil) Sungai Bakap ini untuk menyemai benih dendam dan memperbodohkan orang Melayu hanya kerana anda (Sanusi) tidak tahu membuat kerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan menjelang PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, malam tadi.

Rafizi berkata, Sanusi ketika melancarkan jentera pilihan raya PN pada malam Sabtu lalu dengan yakin memaklumkan mengenai rancangannya untuk Kedah, menjadikan seolah-olah negeri itu paling membangun di dunia.

Beliau turut membangkitkan dakwaan Sanusi bahawa semua rancangannya tidak dapat diteruskan kerana membabitkan isu kelulusan, selain terdapat orang dalam PKR dan DAP yang 'pau' untuk projek.

"Saya nak tanya, siapa yang ditahan, anak siapa yang ditangkap... setahu saya, tidak ada anak pemimpin Kerajaan Perpaduan yang ditangkap, sama ada PKR atau DAP. Mereka yang ditahan SPRM kebanyakannya daripada PN," katanya.

Rafiuzi juga berkata rakyat Sungai Bakap harus bersedia dengan segala macam cerita yang dijangka dicetuskannya dalam tempoh PRK di kawasan itu sekiranya Sanusi gagal membuat laporan mengenai dakwaan terbabit.

"Satu-satunya cara untuk mengajar beliau adalah orang ramai di sini membuat laporan terhadapnya atas sebarang fitnah yang dibuatnya.

"Ini satu-satunya cara untuk beliau bertanggungjawab terhadap kata-katanya," katanya.