Krisis tanah Orang Asli timbul akibat pertindihan kepentingan kerajaan, pihak syarikat


Pengabaian masyarakat Orang Asli khususnya melibatkan hak tanah adat, pendidikan, kesihatan, peluang ekonomi dan seumpamanya bukan perkara baharu malah dilihat semakin meruncing berikutan pengulangan beberapa insiden.
Kekecohan yang berlaku minggu lalu melibatkan perobohan blockade Kaleeg dekat Pos Tohoi, Gua Musang oleh sekumpulan samseng sebuah syarikat perladangan durian umpamanya jelas menunjukkan komuniti Orang Asli tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along berkata, masalah sedemikian timbul ekoran sikap tidak peka kerajaan Kelantan.
“Kerajaan Kelantan tidak peka dengan masalah Orang Asli yang rata-ratanya tinggal di kawasan pedalaman apabila sewenang-wenangnya meluluskan kawasan-kawasan pembalakan, perlombongan dan perladangan dalam wilayah tanah adat kami,” katanya ketika dihubungi Roketkini.
Lebih menghairankan ujarnya keadaan tersebut terus berlarutan walaupun Kerajaan Persekutuan  telah menandatangani deklarasi berhubung Hak Asasi Orang Asal (UNDRIP). Ini katanya termasuk prinsip IMABT (Keizinan Berasaskan Makluman, Awal, Bebas dan Telus) melibatkan tanah Orang Asli.
Mustapa menjelaskan, keadaan bertambah buruk apabila berlakunya pertindihan kepentingan di antara pihak syarikat dan Orang Asli.
“Kegagalan kerajaan, sama ada kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri telah menyebabkan pertindihan kepentingan di antara pihak syarikat dan Orang Asli.
“Ini yang menyebabkan berlakunya krisis di antara Orang Asli dan pihak syarikat kerana pihak kerajaan negeri gagal mematuhi prinsip IMABT di dalam perkara ini dan Orang Asli merupakan pihak yang berkepenting yang harus dibawa berbincang,” katanya.
Demi kelangsungan hutan dan wilayah adat masyarakat Orang Asli terpelihara, Mustapa menyeru agar kerajaan negeri lebih bijak menjana pendapatan mereka dan tidak hanya bergantung kepada hasil berasaskan sumber hutan.
Tambahan pula, kebergantungan tersebut terbukti tidak mampan kerana setiap ekar tanah yang diteroka memerlukan masa puluhan tahun untuk pulih.
“Seharusnya Kerajaan Negeri mula beralih dari hasil ekonomi berasaskan sumber hutan kepada eko pelancongan, yang mana negeri Kelantan memang kaya dengan flora dan fauna,” katanya selain meminta kerajaan persekutuan menyegerakan pemberian royalti minyak yang boleh menampung perbelanjaan negeri.
“Kerajaan negeri juga seharusnya mengamalkan prinsip-prinsip yang terdapat di dalam UNDRIP terutamanya apabila melibatkan wilayah tanah adat Orang Asli.
“Kami juga menyeru agar Kerajaan Pusat campur tangan di dalam isu ini kerana apa yang menjadi kebimbangan kami sekarang pihak syarikat telah mengunakan komuniti lokal dari kaum Melayu sendiri yang tinggal di Kuala Betis,” katanya lagi. 

BN DIGANTUNG – UMNO