RAJAWALI

BERITA UNTUK DI PUTARKAN OTAK ORANG KAMPUNG

FDI susut rahmat tersembunyi

KUALA LUMPUR 23 Julai - Penyusutan pelaburan langsung asing (FDI) dari negara-negara membangun ke Asia Selatan, Asia Timur dan Asia Tenggara merupakan suatu rahmat tersembunyi kerana ia mencetuskan peningkatan pelaburan sesama serantau.

"FDI sesama serantau kini menguasai hingga separuh daripada keseluruhan FDI yang mengalir masuk ke rantau ini," kata Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) dalam Laporan Pelaburan Dunia 2010 yang dikeluarkan di Geneva pada Khamis.

Malaysia, India dan China adalah antara sumber-sumber besar FDI ke Afrika dengan syarikat milik kerajaan, Petronas dan Telekom Malaysia bertanggung jawab bagi lebih 24 peratus daripada semua pembelian penggabungan dan pengambilan alih (M&A) di benua Afrika dalam tempoh 1987 hingga 2005, katanya.

Justeru itu, kata UNCTAD, meskipun rantau ini mengalami penyusutan terbesar FDI sejak 2001, ia adalah antara yang mula-mula keluar dari kelembapan semasa.

Pengaliran masuk ke rantau ini merosot 17 peratus kepada AS$233 bilion (RM745 bilion) tahun lepas, pada asasnya mencerminkan penyusutan pembelian M&A rentas sempadan, paling teruk dalam sektor perkhidmatan, dengan pengurangan sebanyak 51 peratus.

Jumlah pengaliran keluar dari rantau ini turun sebanyak lapan peratus kepada AS$153 bilion (RM489.6 bilion), dengan pembelian M&A rentas sempadan susut sebanyak 44 peratus, kata badan antara kerajaan itu.

"FDI di Asia Selatan, Asia Timur dan Asia Tenggara telah mula pulih dan berkemungkinan semakin pesat kerana rantau ini memainkan peranan peneraju dalam pemulihan ekonomi global," katanya dalam laporan setebal 220 muka surat itu.

Khususnya, pengaliran masuk ke China dan India mulai pesat seawal pertengahan 2009, dan pengaliran keluar FDI masing-masing dijangka mendorong pelaburan di luar rantau ini kembali ke tahap pertumbuhan pada 2010.

Bagaimanapun, pemulihan FDI dalam dan dari empat ekonomi yang baru menuju ke arah ekonomi perindustrian iaitu Hong Kong, Korea Selatan, Singapura dan Taiwan, berkemungkinan lembap.

Pelaburan sesama serantau yang semakin berkembang di Asia telah bertindak sebagai jentera bagi pembauran teknologi, 'pengitaran semula' kelebihan perbandingan dan peningkatan daya saing, kata UNCTAD.

Kata UNCTAD, integrasi serantau dan perkembangan China kini mempercepat proses ini, sekali gus mewujudkan peluang pembangunan bagi lebih banyak negara, termasuk negara-negara paling kurang membangun seperti Kemboja, Laos dan Myanmar.

Pelaburan dari ekonomi maju seperti China, India, Malaysia dan Afrika Selatan ke negara paling kurang membangun semakin meningkat.(MALAYSIA MASUK EKONOMI MAJU KAH?)

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, pemindahan kegiatan perkilangan dari ekonomi-ekonomi Asia yang kini lebih maju seperti China dan Malaysia telah memberi peluang kepada negara-negara yang baru membangun untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian pengeluaran serantau syarikat-syarikat transnasional Amerika.