Kerjasama antara Pas dan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berpotensi menjadikan Pas lebih dominan dalam politik negara, khususnya di negeri yang kini menjadi kubu kuat parti itu.
Pensyarah kanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, keadaan itu boleh berlaku sekiranya Pas kekal dengan pendirian untuk mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang sedang disandangnya.
Menurutnya, penegasan Pas berhubung perkara itu membuka episod baharu mengenai kemungkinan kerjasama antara Pas dan Umno menjelang PRU16.
“Pas telah menegaskan dengan tuntas akan mempertahankan semua kerusi DUN dan Parlimen yang sedang disandang. Penegasan ini akan membuka episod baru kebarangkalian kerjasama Pas-Umno menuju PRU16 nanti.”
Yusri berkata, Terengganu boleh dijadikan contoh bagaimana kerjasama tersebut berpotensi memberikan kelebihan besar kepada Pas dari segi pembahagian kerusi.
Menurutnya, jika Pas bertegas mempertahankan semua kerusi yang dimenanginya, hanya satu kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN berbaki untuk ditandingi Umno sekiranya kerjasama itu dimeterai.
Bagaimanapun, katanya, kerusi-kerusi berkenaan kini disandang Bersatu, sekali gus menjadikan rundingan pembahagian kerusi lebih rumit sekiranya berlaku perubahan jajaran politik dalam Perikatan Nasional (PN).
“Sudah tentu Wawasan akan bermatian menuntut dan mempertahankan kerusi tersebut, kerana pada Wawasan merekalah pewaris pusaka Bersatu dalam PN.”
Yusri berkata, sekiranya kerusi terbabit akhirnya dibahagikan sama rata, Umno Terengganu berpotensi bertanding hanya sekitar tiga kerusi pada PRU16.
“Inilah senario awal yang boleh difahami.”
Menurutnya, situasi itu menunjukkan kerjasama Pas-Umno mungkin tidak menghasilkan pembahagian kuasa yang seimbang, sebaliknya berpotensi mengukuhkan lagi dominasi Pas di beberapa negeri.
“Dengan kata lain, kerjasama tersebut akan memberi kelebihan besar kepada Pas di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis, serta mengorak penguasaan di Pahang, Selangor dan Perak.”
Dalam masa sama, beliau menjangkakan Umno masih mampu mengekalkan penguasaannya di beberapa negeri termasuk Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Umno pula akan kekal penguasaan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.”
Yusri berkata, perkembangan itu menunjukkan persoalan utama sekiranya kerjasama Pas-Umno berlaku bukan hanya mengenai kesediaan kedua-dua parti untuk bekerjasama, tetapi siapa yang bakal mendapat keuntungan terbesar daripada pembahagian kerusi pada PRU16
No comments:
Post a Comment