Takkanlah lupa Pas pernah kafirkan Umno? Penafian hanya sandiwara demi mahu bercinta semula
Dakwaan sesetengah penyokong Pas bahawa parti itu tidak pernah mengkafirkan Umno hanya sandiwara hanya demi menghalalkan percintaan semula kedua-dua parti itu.
Pemerhati politik dan peguam, Liyana Marzuki berkata, sejarah perseteruan politik Pas dan Umno tidak boleh dipadam begitu sahaja hanya kerana landskap politik semasa mungkin menuntut kedua-duanya kembali mencari titik pertemuan.
“Mana ada Pas kata Umno kafir, kata penyokong Pas. Ini sandiwara ketika nak bercinta kembali. Terpaksa ambil hati,” katanya dalam satu hantaran.
Liyana menegaskan budaya melabel lawan politik atas nama agama pernah meninggalkan kesan mendalam dalam masyarakat Melayu, khususnya apabila perbezaan parti dibawa sehingga menyentuh soal akidah dan kehidupan beragama.
Beliau mengimbau bagaimana pertentangan politik suatu ketika dahulu bukan sekadar berkisar soal pilihan raya, bahkan menurutnya turut mempengaruhi hubungan sosial masyarakat.
Antara yang dibangkitkannya ialah dakwaan mengenai pertikaian hukum sembelihan, solat berjemaah, akad nikah serta perkahwinan hanya kerana seseorang itu dikaitkan dengan parti politik berbeza.
“Kalau orang Umno yang buat atau adakan, jatuh haram dan dipulaukan,” ujarnya.
Menurutnya, generasi muda mungkin tidak melalui sendiri zaman ketegangan politik tersebut, menyebabkan sebahagian daripada mereka sukar memahami kesan apa yang disifatkannya sebagai budaya takfiri.
Beliau turut merujuk sejarah hubungan Pas dengan rakan politiknya dan mendakwa corak serangan keras sering muncul selepas sesuatu kerjasama politik berakhir.
Katanya, selepas hubungan Pas dan Umno berakhir pada penghujung 1970-an, Umno pernah menerima label keras daripada lawan politiknya.
Begitu juga selepas kerjasama Pas dan DAP berakhir pada 2015, istilah kafir harbi pula menjadi sebahagian daripada polemik politik yang tercetus selepas itu.
“Budaya melabel dan takfiri dengan Pas berpisah tiada. Ada saja dalil politik yang mereka akan guna,” kata Liyana lagi.
No comments:
Post a Comment