Majlis Silaturrahim Bersama Gereja St Micheal Alor Setar.
Alhamdulillah, dua hari lepas iaitu pada 30 Mei 2026, saya bersama rakan-rakan Lajnah Dakwah PAS Pusat telah dengan jayanya mengadakan majlis silaturrahim bersama umat Gereja St Micheal Alor Star yang diketuai oleh Paderi Rev.Fr.Dato Micheal Cheah.
Majlis yang diadakan di dewan besar bersebelahan gereja tersebut turut dihadiri YB ustaz Shahril Long dan pengerusi gereja, Dr Edwin Jude.
Majlis yang dihadiri sekitar 60 orang itu adalah dengan matlamat membina dan mengukuhkan lagi jaringan persefahaman, kasih mesra dan keharmonian hidup di dalam negara kita yang berlatarkan kemajmukan bangsa, agama dan budaya.
Majlis yang menemukan kami antara penganut Islam dan penganut Kristian ini amatlah bermakna terutama di dalam meluaskan kefahaman bersama mengenai matlamat perjuangan PAS di dalam politik Islamnya.
Saya menekankan peri pentingnya negara meletakkan agama sebagai tiang seri pembinaan akhlak bangsa dan negara. Jika penganut agama menghayati isi dan ajaran agama masing-masing, ia cukup untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh di dalam aspek pembangunan bangsa dan negara yang maju, aman dan berjaya.
Dunia hari menjadi kucar kacir disebabkan penguasa dan masyarakat yang terlalu mementingkan material sehingga nilai-nilai harmoni agama ditinggalkan. Seruan perdamaian hari ini mestilah bersama seruan menghormati dan menghayati ajaran agama.
Saya yakin majlis kali ini telah berjaya mencapai matlamatnya yang baik dan mulia.
Insya Allah, kami melalui Lujnah Dakwah PAS Pusat akan terus maju dengan program dan majlis pertemuan yang mengukuhkan lagi jaringan persahabatan, persaudaraan dan keharmonian antara masyarakat dalam negara tercinta ini.








No comments:
Post a Comment