Pakatan Harapan akan membuktikan sesuatu yang luar jangka dalam Pilihan Raya Negeri Johor akan datang, sebagaimana yang berlaku dalam PRU15 apabila rakyat Johor memberikan kepercayaan kepada Pakatan Harapan untuk menguasai 14 kerusi Parlimen berbanding hanya 9 kerusi Parlimen dimenangi UMNO-Barisan Nasional. Keputusan itu membuktikan bahawa apabila rakyat Johor keluar mengundi dalam jumlah yang lebih besar, mereka membuat pilihan berdasarkan prestasi dan masa depan, bukannya semata-mata berdasarkan keputusan pilihan raya yang lalu.
Hari ini, rakyat Johor sedang menyaksikan sendiri perubahan yang berlaku di depan mata mereka. Sebab itu saya yakin rakyat semakin sedar bahawa kejayaan pembangunan Johor hari ini bukan berlaku secara kebetulan. Kejayaan pembangunan Johor hari ini adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan MADANI yang dipimpin oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Kita perlu bercakap dengan jujur. Jika bukan kerana sokongan dan komitmen Kerajaan Persekutuan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mustahil Johor mampu muncul sebagai negeri yang merekodkan pelaburan tertinggi di Malaysia. Jika bukan kerana hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, mustahil Johor mampu menjadi tumpuan pelabur global yang membawa pelaburan bernilai lebih RM110 bilion. Jika bukan kerana keberanian Kerajaan MADANI melaksanakan dasar ekonomi yang jelas dan meyakinkan pelabur antarabangsa, mustahil Johor mampu menjadi destinasi utama pelaburan berteknologi tinggi di rantau ini.
Rakyat Johor juga perlu bertanya kepada diri sendiri, siapakah yang menggerakkan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) sehingga berjaya mendapat perhatian dunia? Siapakah yang berunding dengan Singapura dan memastikan Johor menjadi pintu masuk utama pelaburan antarabangsa ke Malaysia. Jawapannya adalah Kerajaan Persekutuan MADANI yang dipimpin oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Kerajaan Negeri Johor.
Hari ini kita bercakap tentang peluang pekerjaan baharu, gaji yang lebih baik, pelaburan berteknologi tinggi, pusat data bernilai berbilion ringgit dan pembangunan industri masa depan. Semua ini tidak berlaku secara sendiri. Semua ini berlaku kerana wujud kerjasama erat antara Johor dan Kerajaan MADANI di Putrajaya yang dipimpin oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Begitu juga dengan isu kesesakan di Tambak Johor yang sekian lama menjadi beban kepada rakyat. Selama puluhan tahun rakyat terpaksa berdepan kesesakan setiap hari. Hari ini projek RTS sedang dibangunkan dengan pantas dan bakal menjadi penyelesaian terbesar kepada masalah tersebut. Rakyat perlu tahu bahawa RTS bukan projek Kerajaan Negeri semata-mata. RTS tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan, komitmen dan rundingan Kerajaan Persekutuan MADANI yang dipimpin oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Begitu juga dengan usaha mengurangkan kesesakan di CIQ, penambahbaikan sistem imigresen menggunakan kod QR, pembangunan infrastruktur sempadan dan pelbagai projek logistik yang sedang berjalan. Hakikatnya, kejayaan-kejayaan ini lahir daripada kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan MADANI yang dipimpin oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Apabila kita bercakap mengenai projek tebatan banjir, rakyat juga perlu tahu bahawa sebahagian besar projek tersebut memerlukan peruntukan dan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan. Ketika rakyat Johor memerlukan penyelesaian kepada masalah banjir, Kerajaan MADANI tampil membantu. Ketika Johor memerlukan pelaburan, Kerajaan MADANI membuka pintu kepada pelabur dunia. Ketika Johor memerlukan projek pengangkutan moden seperti RTS, Kerajaan MADANI memastikan projek itu diteruskan. Ketika Johor memerlukan hubungan ekonomi yang lebih kukuh dengan Singapura, Kerajaan MADANI memimpin rundingan dan merealisasikannya.
Sebab itu saya ingin tegaskan bahawa rakyat Johor tidak boleh melihat pembangunan yang berlaku hari ini secara terpisah daripada peranan Kerajaan Persekutuan. Setiap kejayaan besar Johor hari ini mempunyai satu persamaan yang jelas iaitu wujudnya kerjasama erat dengan Kerajaan MADANI yang dipimpin oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Hakikatnya, Johor tidak menjadi negeri pelaburan nombor satu Malaysia secara kebetulan. Johor tidak menerima limpahan pelaburan berbilion ringgit secara kebetulan. Johor tidak memperoleh RTS secara kebetulan. Johor tidak menikmati pembangunan JS-SEZ secara kebetulan. Johor tidak menerima pelbagai projek infrastruktur dan tebatan banjir secara kebetulan.
Semua ini berlaku kerana Johor hari ini mendapat manfaat daripada sebuah Kerajaan Persekutuan yang stabil, mesra pelaburan dan berwibawa yang dipimpin oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Atas sebab itu, saya yakin rakyat Johor akan membuat penilaian yang adil pada pilihan raya akan datang. Mereka akan melihat bukan sahaja siapa yang memerintah negeri, tetapi siapa yang membawa pelaburan, siapa yang membuka peluang pekerjaan, siapa yang menyelesaikan masalah rakyat dan siapa yang mempunyai kemampuan untuk membawa lebih banyak pembangunan ke Johor.
Secara tuntas, rakyat melihat kepada fakta tersebut, mereka akan memahami satu perkara yang sangat jelas. Kejayaan pembangunan Johor hari ini adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan MADANI yang dipimpin oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Tanpa kerjasama ini, banyak kejayaan yang sedang dinikmati rakyat Johor hari ini tidak mungkin menjadi kenyataan.
𝐃𝐀𝐍𝐈𝐒𝐇 𝐇𝐀𝐈𝐑𝐔𝐃𝐈𝐍
𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐞𝐧𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐀𝐌𝐊 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚.

No comments:
Post a Comment