Mohd Asri M.Jamil
Dalam politik, pertukaran kepimpinan jarang bermula dengan surat rasmi.
Ia biasanya bermula dengan isyarat.
Mula-mula muncul tulisan.
Kemudian muncul video lama.
Selepas itu muncul cerita kejayaan zaman dulu.
Akhirnya, apabila suasana sudah cukup masak, barulah keputusan politik diumumkan seolah-olah ia berlaku secara semula jadi.
Itulah yang sedang kelihatan dalam UMNO Negeri Sembilan hari ini.
Datuk Seri Jalaluddin Alias masih Pengerusi UMNO Negeri Sembilan. Tetapi naratif di sekeliling UMNO negeri nampaknya sudah mula berubah. Page-page pro-UMNO semakin galak memainkan semula kisah kehebatan pentadbiran Tok Mat ketika menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.
Ini bukan sekadar nostalgia.
Dalam politik, nostalgia selalunya digunakan sebagai alat persediaan. Ia mengingatkan ahli bahawa pernah ada zaman UMNO Negeri Sembilan lebih tersusun, lebih stabil dan lebih dihormati. Pernah ada zaman UMNO bukan sekadar lantang, tetapi mengawal rentak politik negeri.
Mesej tersiratnya mudah dibaca:
Kalau dulu Tok Mat boleh mengurus negeri, mengapa hari ini Tok Mat tidak kembali mengurus UMNO Negeri Sembilan?
Tok Jalal mungkin masih pengerusi secara rasmi. Tetapi politik tidak hanya bergerak atas jawatan. Politik bergerak atas persepsi, pengaruh dan keperluan semasa.
Pada ketika ini, persepsi yang sedang dibina ialah Tok Jalal terlalu terkait dengan krisis. Manakala Tok Mat pula sedang diposisikan semula sebagai tokoh penyelesai.
Jalal membawa watak konfrontasi.
Tok Mat membawa watak kestabilan.
Jalal membawa nada tekanan.
Tok Mat membawa ingatan kepada zaman pentadbiran yang lebih tersusun.
Jalal dilihat sebagai pemimpin dalam krisis.
Tok Mat sedang dipulihkan sebagai simbol UMNO yang lebih dominan, lebih matang dan lebih diyakini.
Sebab itu gerakan menaikkan semula nama Tok Mat tidak boleh dibaca secara bersahaja. Apabila page-page pro-UMNO mula mengulang cerita pembangunan, kestabilan dan kejayaan pentadbiran Tok Mat, ia seolah-olah sedang menyediakan ahli untuk menerima satu kemungkinan besar:
Tok Mat kembali mengetuai UMNO Negeri Sembilan.
Dalam UMNO, pertukaran kepimpinan tidak semestinya disebut sebagai penyingkiran. Ia boleh dibungkus sebagai penyusunan semula. Ia boleh dinamakan sebagai pengukuhan. Ia boleh dijual sebagai persediaan menghadapi PRU16.
Tetapi hakikatnya, apabila nama Tok Mat mula ditonjolkan semula secara konsisten, itu bukan lagi sekadar penghargaan kepada jasa lama. Itu mungkin proses pemanasan enjin.
UMNO Negeri Sembilan sedang berdepan krisis keyakinan. Parti itu tidak boleh selamanya hidup dengan retorik marah, ugutan menjadi pembangkang dan politik tekanan tanpa hala tuju yang jelas.
UMNO perlukan tokoh yang boleh menenangkan akar umbi, bercakap dengan pusat, memahami istana, membaca sentimen rakyat dan menyusun strategi pilihan raya.
Dalam konteks itu, nama Tok Mat memang sukar diketepikan.
Persoalannya sekarang bukan lagi sama ada Tok Mat layak atau tidak.
Persoalannya ialah sama ada UMNO sudah cukup bersedia untuk mengakui bahawa kepimpinan negeri sekarang tidak lagi mampu mengawal naratif.
Tok Jalal mungkin masih memegang jawatan.
Tetapi apabila naratif akar umbi mula bergerak kepada “zaman Tok Mat lebih baik”, itu petanda politik yang sangat besar.
Tok Mat bukan sekadar sedang dikenang.
Tok Mat sedang dipanggil pulang.....?

No comments:
Post a Comment