Mengapa Anwar Ibrahim Membuat Kenyataan Dari Kandang Tertuduh?




KUALA LUMPUR 23 OGOS : Di sebalik ramai yang terkejut di atas tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk membacakan keterangan dari kandang tertuduh, peguam N. Surendran menjelaskan relevan tindakan Anwar itu.

Surendran yang juga naib presiden PKR berkata, Anwar membuat pilihan itu ekoran mengetahui sistem keadilan negara yang jarang berpihak padanya membuatkan beliau tidak memilih untuk berada di kandang saksi yang membolehkan dirinya disoal balas.

"Keputusan tidak memberi keterangan dari kandang saksi sekaligus menujukkan protes terhadap sistem perundangan dan politik yang tidak adil.

"Apa yang mereka pentingkan adalah politik mereka sahaja. Mereka juga mengabaikan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada orang ramai dan negara,"katanya dalam satu salinan kenyataan media yang diberikan kepada TV Selangor.

Anwar dalam keterangannya sebelum ini berkata, walaupun beliau bersedia untuk memberi keterangan secara bersumpah (pendakwaan boleh menyoal balas), namun katanya cara pengendalian perbicaraan oleh hakim dan pendakwaan mewujudkan keadaan yang menyebabkannya tidak boleh berbuat demikian.

Kata Anwar, hakim tidak sepatutnya memberi cadangan kepada saksi berpotensi yang ditawarkan kepada peguamnya bahawa mereka boleh menolak untuk ditemubual.

Malah menurut Surendran, melalui kuasa-kuasa dan akta tertentu, sistem keadilan di negara ini telah dikurangkan untuk dijadikan alat demi kepentingan regim pemerintah.

Katanya lagi, sejarah juga membuktikan perkara yang sama berlaku kepada bekas Presiden Afrika Selatan yang ke 11, Nelson Mandela juga memilih untuk memberi kenyataan dari kandang tertuduh semasa perbicaraan politiknya.

"Mandela menggunakan pendekatan yang sama seperti Anwar (kandang tertuduh) dalam perbicaraan Rivonia Sham untuk mendedahkan kejahatan regim Apartheid kepada dunia," katanya lagi.

Malah kata Surendran, Anwar turut merasai bahawa keputusan perbicaraan kes liwatnya merupakan satu kesimpulan yang sudah diketepikan dari awal lagi.

"Sekarang dia (Anwar) menganggap ini satu penganiayaan kehakiman dan menjadikannya senjata untuk membuat perubahan asas dalam sistem pentadbiran negara ini," kata N Surendran lagi.