MB Selangor bukan pilihan rakyat, tapi parti

Komen Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad yang membidas rancangan Pakatan Rakyat Selangor untuk menggantikan MB Khalid Ibrahim dengan calon yang lebih sesuai dan mencadangkan agar  pendapat rakyat diambil kira, seolah-olah memperolok-olokkan sistem pemilihan MB yang dipraktikkan di negara ini.


















Malaysia tidak pernah mempunyai sistem pemilihan ketua kerajaan secara langsung, malah Datuk Bandar pun dilantik melalui saluran politik. Apabila calon yang diyakini oleh parti politik untuk menggalas manifesto yang dipersetujui rakyat dalam pilihan raya umum atau negeri telah diragui kebolehannya, maka calon itu sewajarnya ditukar.

Kontrak sebagai pemimpin negeri mudah; rakyat setuju manifesto maka beri undi kepada parti dan parti lantik seseorang yang dapat ‘mengerjakan’ manifesto itu. Gesaan Iskandar supaya pendapat rakyat ditinjau terlebih dahulu sebelum menukar MB tentunya tidak bersesuian dengan cara kontrak tersebut dilaksanakan.


Tinjauan pendapat


Adakah Ilham Centre atau Merdeka Centre selepas ini mahu digunakan bagi menilai sokongan rakyat kepada Khalid? Sedangkan agensi tinjauan pendapat itu melakukan tinjauan dari beberapa ratus responden sahaja dan tidak mewakili semua golongan.

Namun melalui kontrak asal yang dijanjikan Pakatan dalam pilihan raya umum, Khalid memang telah lari daripada dasar PR. Salah satu dasar PR yang utama adalah kebebasan beragama yang sering diperkotak-katikkan Umno.

Di bawah pemerintahan Khalid, agensi kerajaan negeri  sangat mudah menghina agama minioriti dengan serbuan demi serbuan kepada penganut agama selain Islam tanpa kelulusan exco negeri. Begitu juga penyelesaian yang sepatutnya mudah seperti pemulangan Bible tetapi disukarkan oleh ‘tangan-tangan Umno’ di agensi negeri.

Kedua, Khalid telah menolak mentah-mentah manifesto PR mengenai lebuh raya. Kedegilannya meneruskan projek Kidex yang mendapat bantahan hampir seluruh penduduk Cina bandar di Selangor menggugat masa depan PR.

Itu belum diambil kira sifat kedekutnya meluluskan peruntukan yang sememangnya menjadi hak rakyat. Banyak jalan-jalan kecil yang berlubang di Selangor juga longkang yang tidak diselenggara. Sebelum pilihan raya dahulu, Khalid meluluskan dana RM300 juta untuk projek pembaikan dan senggaraan ini. Namun seperti biasa ADUN merungut banyak tuntutan mereka yang tidak lulus.

Akibatnya jalan dan longkang di kawasan majlis perbandaran sahaja yang agak sempurna kerana ada wang cukai pintu, sedangkan di kawasan majlis daerah keadaannya tidak memuaskan.


Langgar manifesto


Iskandar memang wajar memuji Khalid kerana banyak projek perumahan di bawah potforlionya lulus dan berjaya memenuhi hasrat rakyat. Tetapi kalau setakat meluluskan projek perumahan sesiapa pun yang jadi MB boleh melakukannya.

Iskandar harus faham keutamaan sekarang adalah memenuhi manifesto. Atau sekurang-kurangnya tidak melanggar manifesto. Sekiranya dilanggar maka suara menentang akan lebih banyak daripada menyokong. Hal ini yang dikhuatirkan di kawasan DUN campuran.

Undi Cina misalnya tidak tetap kepada satu-satu parti. Mereka boleh berpaling arah kepada parti yang lebih membela tuntutan mereka. Jangan jadi seperti BN. Mereka mempertahankan MB Khir Toyo walaupun melakukan banyak kesalahan.

Akhirnya rakyat yang tidak nampak jalan lain menggantikan MB akan mengambil jalan mudah menggantikan parti memerintah dalam pilihan raya umum.

Sekiranya pilihan raya negeri diadakan minggu ini, dengan isu Bible yang menyakiti hati penganut Kristian, isu Kidex, catuan air dan beberapa isu lagi, peluang PR untuk bertahan hanyalah 50 : 50. Tidak seperti PRU lalu menang bergaya.

PRK Teluk Intan boleh dilihat sebagai pengajaran berguna betapa rapuhnya sokongan sekiranya parti membuat kesilapan dalam politik.

Credit:

Suara Pakatan Daily

No comments: