EDITORIAL : Sekurang-kurangnya kes video seks yang cuba dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sahih.
Soal kesahihan ini bukan sahaja membabitkan pembikinan video seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar Ismail tetapi apa yang lebih sahih ialah isu siapa yang mengusahakannya.
Berbeda dengan dua kes konspirasi yang juga berbaur seks yang cuba dipalitkan ke atas Anwar sebelum ini, kes kali ini jelas digerakkan oleh orang politik.
Dalam kes pertama Anwar dihukum bersalah kerana “salah guna kuasa” untuk lindungi apa yang dikatakan perbuatan seks sumbangnya. Beliau dipenjara enam tahun.
Namun Mahkamah Persekutuan yang merupakan badan kehakiman tertinggi Negara kemudian mendapati kes itu tidak benar dan membebaskan Anwar.
Yang jelasnya, walaupun dapat dihidu umum kes itu adalah satu konspirasi politik untuk menjatuhkan wibawa kepemimpinan Anwar, tangan-tangan politik yang terbabit cuba disorokkan oleh pelbagai institusi – polis, mahkamah dan juga media – daripada dikenalpasti umum.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berselindung di sebalik kedudukan politiknya dan enggan memberi keterangan di mahkamah tetapi tidak pernah lelah melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Anwar (termasuk yang terbaru dalam Memoir yang bercambah kesalahan fakta).
Begitu juga kes tuduhan liwat kedua. Berhempas pulas institusi yang sama cuba melindungi perancang-perancang di sebalik tuduhan terhadap Anwar.
Seberapa boleh biarlah Anwar terpaksa berhadapan dengan pihak kehakiman, media dan juga polis sahaja. Sehingga kes bersambung semula pertengahan bulan ini, akan dapat disaksikan pula betapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan bersilat enggan ke mahkamah.
Kes ketiga ini lain sedikit. Mungkin kerana silap langkah dan disergah oleh beberapa pihak yang pada mulanya menjadi sasaran untuk mengukuhkan rencana jahat mereka – Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ketua Solidariti Anak Muda, Badrul Hisham Shaharin -- pihak penganjur drama politik video seks ini tidak sempat dan dapat mengelak diri.
Ketiga-tiga mereka terpaksa mengaku pembabitan dalam kisah video seks ini. Mereka menggelarkan diri kumpulan Datuk T (satu nama pelik yang terpaksa direkacipta setelah tembelang mereka diketahui umum) dan, mendapat nasihat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
Maka oleh kerana ketiga-tiga Datuk T ini orang politik dan mempunyai rekod yang kurang cemerlang dalam soal keluhuran amalan politik mereka, maka sahih ada unsur politik dalam konspirasi ini.
Lebih penting lagi amat mudah sekali kes ini dikaitkan dengan motif politik – jatuhkan Anwar.
Hakikat ini apabila ditokok dengan musim pilihanraya Sarawak, maka suluhan terhadap motif politik yang digerakkan orang-orang politik Umno yang masih enggan pencen ini amat ketara.
Bahawasanya mereka ini dipacu oleh dendam kesumat politik peribadi dan kepartaian adalah amat jelas.
Soal adakah dendam kesumat Rahim, Shuib dan Eskay Abdullah sahaja yang menjadi pendorong kepada usaha menggunakan perencah seks untuk menjatuhkan Anwar? Tentu tidak. Ada pihak lain yang lebih berkepentingan yang yakin bahawa hanya fiksyen seks yang boleh meranapkan kerjaya politik Anwar.
Sudah tentu entiti pendengki dan bacul ini adalah Umno.
Sebagai gerakan politik yang sudah hampir lumpuh dan yang hanya mampu mengatur langkah bila disogok wang ringgit, Umno nampaknya makin ketandusan idea untuk menang dalam persaingan politik.
Betapa tidaknya, tema untuk menjatuhkan musuh hanya mampu dikaitkan dengan seks. Memang benar pepatah orang dahulu kala, “alah bisa tegal biasa” dan “turutkan nafsu lesu.”
Kelesuan politik Umno ini nampaknya juga membawa kesuraman kepada daya pemikiran dan tindakan institusi lain yang memang sebelum ini juga bertolak-tolak tidak mahu dikenalpasti rakyat sebagai tangan-tangan yang terbabit dalam konspirasi skala besar ini terhadap Anwar ini.
Cara laporan media misalnya, jelas tidak berdaya lari daripada usaha cuba mensensasikan rekayasa konspirasi.
Dengan mengulang pendekatan yang sama dari kes fitnah seks satu hingga tiga, ia sekaligus mengisytiharkan betapa dangkal dan lemahnya daya fikir pengendali media arus perdana.
Mungkin kerana mereka sendiri tidak mampu mengendali naluri seks masing-masing, maka merekapun merumuskan bahawa kisah-kisah seks mampu membantu jualan akhbar dan melonjakkan “ratings” televisyen mereka.
Begitu juga dengan cara penyiasatan polis. Yang disiasat ialah orang yang mengadu difitnah dan teraniaya.
Dengan menggunakan taktik yang condong kepada pengesahan cerita-cerita fitnah, ketiga-tiga kes disiasat menggunakan pendekatan sebegitu. Kes terakhir yang segera disiasat bukan kesalahan memiliki, menayang video lucah serta identiti pelaku adegan seks tetapi ketulenan video!
Motif Rahim jelas. Dia kehilangan kerusi Ketua Menteri Melaka pada 1994 sebab terpalit kes rogol gadis bawah umur. Motif Eskay pula adalah kerana terlepas imbuhan berjuta ringgit kerana Anwar tidak mahu menjadi saksi kes tuntutan komisyen dalam projek Jambatan Bengkok.
Motif Shuib pula adalah dendam Perkasa sebuah badan yang mahu Melayu terus Perkasa dalam politik Malaysia (hanya kerana ia mendakwa Melayu) tetapi gerun bersaing dengan orang lain kerana kurang yakin pada kebolehan sendiri.
Motif institusi yang bersengkongkol apa pula? Takut! Ya takut hilang kedudukan dan jawatan kerana kecurangan ketua-ketua silam.
Jika mengaku pemimpin institusi seperti polis, kehakiman dan media sebelum ini curang dan culas, kedudukan sendiri akan diperkecil masyarakat. Jadi atas nama untuk memelihara keluhuran institusi, mereka pun meneruskan tradisi dan politik usang dengan harapan rakyat tidak dapat membaca pembabitan mereka. Maka yang sahih, kes kali ini adalah kes konspirasi politik skala tinggi.