PKR menyatakan
pendirian supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun depan
memandangkan musim banjir yang semakin dekat tidak lama lagi, malah semalam
banjir besar sekali lagi melanda di Baling, Kedah.
Ketua Penerangannya,
Fahmi Fadzil berkata kos PRU-15 yang dianggar RM1 bilion itu terlalu rugi untuk
dibazirkan hanya semata-mata untuk kepentingan parti politik tertentu dengan
menyindir kos tersebut hampir sama dengan denda dikenakan terhadap Datin Seri Rosmah
Mansor yang didapati bersalah baru-baru ini.
“Sekiranya (PRU)
diteruskan, (kosnya) RM1 bilion.
“Itu hampir sama
dengan jumlah yang perlu dibayar oleh Rosmah, jumlah yang sangat besar.
“Sepatutnya wang itu kita
sediakan sebagai dana membantu rakyat hadapi musim banjir,” katanya dipetik
laporan Malaysiakini.
Untuk
rekod, Rosmah sebelum ini didapati bersalah dan dijatuhi hukuman 1 September
lalu 10 tahun penjara dan denda RM970 juta.
Isteri
bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu disabitkan bersalah atas tiga
tuduhan rasuah membabitkan projek tenaga solar untuk sekolah-sekolah luar
bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Terdahulu,
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada 20
Ogos lalu berkata kos PRU-15 dijangka mencecah hingga RM1 bilion, berbanding
jutaan ratus ringgit sebelum ini.
Peningkatan
kos itu susulan pertambahan jumlah pengundi yang besar melalui pelaksanaan
dasar undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik yang berkuat kuasa sejak
Disember tahun lalu.
Menurut
Fahmi lagi, kebimbangan PKR adalah banjir kilat yang kerap berlaku sehingga
menjejaskan rakyat yang terpaksa bergelut dengan kehidupan sekiranya menjadi
mangsa banjir.
“Pada
ketika banjir kilat mungkin boleh berlaku bila-bila masa, adakah wajar wang itu
digunakan untuk tujuan PRU ataupun selesaikan masalah rakyat,” katanya lagi.
UMNO
ketika ini berterusan memberi desakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob supaya membubarkan Parlimen bagi memberi laluan PRU-15 diadakan
dengan segera.
Tekanan
semakin kuat selepas Najib dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun baru-baru
ini.