Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat
laporan polis terhadap tuduhan palsu yang didakwa dikeluarkan Ketua Badan
Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris.
Suruhanjaya itu dalam kenyataan berkata laporan tersebut dibuat
susulan satu hantaran dalam aplikasi TikTok di atas nama pemilik akaun
@wancin11 yang menyiarkan kenyataan Razali itu.
"Di dalam hantaran berkenaan, Ketua Badan Pimpinan Negeri
Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris mengeluarkan beberapa tuduhan palsu
dalam ceramah beliau sewaktu majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Kemaman pada 10 November 2023.
"Beliau telah menyatakan bahawa jentera kerajaan, SPRM dan
hakim dikawal oleh kerajaan serta mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah
Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan
Sukan," kata kenyataan itu.
Kenyataan tersebut menyatakan, SPRM memandang berat fitnah dan
tohmahan yang dilemparkan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai
terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara ini.
"SPRM adalah sebuah badan penguatkuasa yang diperkasakan oleh
undang-undang untuk melaksanakan fungsi dan peranan membanteras rasuah dengan
bebas serta profesional tanpa dikawal oleh mana-mana pihak.
"Oleh yang demikian, SPRM berharap tindakan sewajarnya dapat
diambil dengan kadar segera terhadap mereka yang mengeluar dan menyebarkan
fitnah dan tohmahan terbabit," katanya.