ENAM BULAN AKAN DATANG, TAUBAT DAP TAKKAN BERHENTI DARIPADA KERAJAAN…



16 December 2025


Selepas kalah dengan “telur ayam” dalam PRN Sabah baru-baru ini, DAP dengan garang memberi kata dua kepada Perdana Menteri agar kerajaan segera menunaikan janji-janji reformasi.


Parti itu memberi tempoh enam bulan kepada Anwar Ibrahim untuk janji-janji reformasi dilaksanakan, jika tidak, mereka akan keluar daripada kerajaan.


Begitu pun, seperti mana kata Anthony Loke, DAP akan terus menyokong kerajaan, cuma pemimpin-pemimpin mereka sedia untuk hidup tanpa memegang jawatan menteri dan timbalan menteri.


Ertinya, selepas ditolak oleh pengundi Sabah, DAP sedar penyebab utamanya ialah kerana rakyat tidak puas hati dengan prestasi dan janji-janji kerajaan selama ini.


Untuk mengelakkan DAP terus ditolak pada PRU16 akan datang, maka kata dua pun dilontarkan dan mereka sedia tidak terkait lagi dengan apa-apa keputusan kerajaan.


Buat seketika ini, tentu ramai yang kagum dan menghormati pendirian DAP itu.


Tetapi, melalui rombakan kabinet petang tadi, kedukaan DAP kerana kalah lapan kerusi DUN di Sabah telah terubat melalui kemurahan hati Perdana Menteri.


Walaupun kouta lima menteri kepada DAP dikekalkan, tetapi portfolio yang diberi ternyata tambah diperkukuhkan lagi.


Selain Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Digital, DAP kini memiliki dua lagi kementerian lain yang amat penting untuk kelangsungan kehidupan manusia iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan (di bawah JPM).


Dua kementerian baru itu ialah untuk menggantikan Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Belia dan Sukan yang sebelum ini dipegang oleh DAP.


Paling menarik daripada dua kementerian itu ialah penganugerahan  menjaga Wilayah Persekutuan kepada DAP yang bermakna ia suatu sejarah kerana pertama kali ia digalas oleh menteri bukan Melayu.


Sebelum-sebelum ini, semua menteri yang menjaga Wilayah Persekutuan dipertanggungjawabkan kepada menteri Melayu belaka.


Diberi peranan menjaga Wilayah Persekutuan adalah umpama “jackpot” bagi DAP kerana ia bererti seperti dapat menjaga sebuah negeri.


Jika sebelum ini DAP hanya ada Pulau Pinang sebagai negeri yang dikuasainya, kini penguasaan parti itu bertambah kepada dua negeri.


Fantastik, fantastik, fantastik…


Dengan DAP sudah sedia menguasai lima daripada 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, tambahan diberi peranan menerajui pentadbiran negeri dengan sendirinya bermakna semakin bertambah kukuhlah penguasaan parti itu di negeri yang di dalamnya terletak ibu negara Malaysia.


Berdasarkan peranan yang semakin kukuh diberikan kepada DAP melalui rombakan kabinet terbaru ini, kata dua parti itu kepada Perdana Menteri sebelum ini sudah boleh dikira tidak bermakna lagi.


Enam bulan akan datang, sama ada janji reformasi dilaksanakan atau tidak, ia bukan lagi perkara mustahak bagi DAP.


Pokoknya, DAP tidak akan keluar atau melepaskan jawatan mereka dalam kerajaan selepas ini.


Percayalah, kiranya enam bulan lagi janji reformasi masih perlahan daripada dilaksanakan, pasti ada dalil untuk menghalalkan rasa sayang melepaskan jawatan kerajaan yang sangat penting yang sedang dipegang.


Tak percaya?


Simpan tulisan ini untuk kita sama-sama saksikan kejadiannya enam bulan akan datang. – ShahbudinHusin 16Disember2025.


https://shahbudindotcom.net/2025/12/enam-bulan-akan-datang-taubat-dap-takkan-lepaskan-jawatan-dalam-kerajaan/




No comments: