14 Warga Bangladesh Layak Mengundi






PUTRAJAYA 20 SEPT : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberikan hak kerakyatan Malaysia kepada sekurang- kurangnya 37 rakyat Bangladesh sejak 1998 sehingga Ogos tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, 14 orang layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 akan datang sekiranya mereka berdaftar sebagai pemilih.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Jariah Mohd Said menjelaskan daripada 37 orang itu, 18 diberikan kewarganegaraan pada 2010, lima pada 2009, satu pada 2006, dan dua orang bagi tahun-tahun 2008, 2003 dan 1998.

Tambahnya, sehingga bulan Ogos lalu, hanya empat orang yang diberikan kewarganegaraan.

Daripada pecahan peruntukan itu, lima individu diberikan sijil kewarganegaraan kerana adalah merupakan isteri kepada warganegara Malaysia, manakala empat lagi adalah permohonan kewarganegaraan bagi anak kepada warganegara Malaysia.

Sembilan diberikan kewarganegaraan selepas menjadi penduduk tetap lebih 12 tahun, seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 19, perlembagaan persekutuan.

19 lagi lagi diberikan kewarganegaraan mengikut Perkara 15A untuk permohonan dalam keadaan khas bagi kanak-kanak berusia bawah 21 tahun.

Isu hak kerakyatan warga Bangladesh kecoh selepas sebuah agensi kerajaan Bangladesh di laman web Biro Hal Ehwal NGO pejabat Perdana Menteri, Sheikh Hasina mendakwa bahawa rakyatnya memperoleh kerakyatan mudah Malaysia dengan syarat mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah, Umno BN.

No comments: