PR Galak Konsep 'Bina Dan Jual', Jana Industri Perumahan

SHAH ALAM 24 JUN : Campur tangan yang berterusan dari kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dijangka mampu memulihkan projek- projek perumahan terbengkalai yang sekaligus dapat melindungi pembeli dari risiko keberhutangan akibat rumah terbengkalai.

Langkah itu perlu dalam suasana harga barang yang semakin meningkat dan gaji rendah yang sedia menekan rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan medianya berpandangan antara lain yang boleh dilaksanakan di peringkat negeri termasuklah mempercepatkan kelulusan perancangan dari pihak berkuasa tempatan (PBT) projek- projek yang dibina di bawah konsep ini.

Kerajaan negeri juga diminta menyelia anak- anak syarikat yang terlibat dengan industri perumahan agar projek perumahan siap mengikut tempoh yang ditetapkan.

Anwar juga berkata, majlis pimpinan Pakatan Rakyat akan bermesyuarat dan mencari kesepakatan untuk negeri- negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat bagi menggalakkan pembinaan rumah di bawah konsep “bina dan jual” secara berperingkat.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat akan mencari jalan penyelesaian kepada isu berbangkit sebelum konsep “bina dan jual” dilaksanakan sepenuhnya.

Kenaikan harga rumah secara mendadak ekoran kos pembiayaan projek perlu dipantau bagi melindungi hak pembeli.

Namun ia perlu juga mengambilkira keperluan nasional untuk menjamin keterlibatan pemaju- pemaju yang lebih kecil, dengan mendapatkan kemudahan pembiayaan projek pada kadar yang berpatutan.

Anwar berkata, jika kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri mempunyai kemahuan politik yang tinggi, semua ini boleh dilaksanakan dengan mengubah sikap dan struktur dalam industri perbankan dan perumahan.

Beliau menambah ekoran harga rumah meningkat secara mendadak dan tidak dapat dikawal, rakyat Malaysia kini tidak lagi mampu membeli rumah kediaman sendiri terutamanya bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Bagi mereka yang berjaya membeli rumah pertama, mereka terpaksa berhutang dalam suatu tempoh yang lama lebih- lebih lagi, rumah yang dibeli terbengkalai. Natijahnya, ramai dari mereka tidak mampu meneruskan bayaran pinjaman rumah dan disenaraihitamkan dari mendapat pinjaman di masa hadapan.

Untuk rekod, statistik terkini dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menunjukkan bahawa sehingga 31 Disember 2009, terdapat 115,788 unit rumah yang tidak siap melibatkan 492 projek di seluruh negara.