Wan Ahmad Dicabar Buktikan Kata-Katanya



SHAH ALAM 2 JULAI : Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar dicabar supaya tampil dengan bukti kukuh bahawa "hampir mustahil" seorang pengundi boleh membuang undi sebanyak dua kali pada satu-satu pilihan raya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin mahu Wan Ahmad bukan hanya berhujah lantang, sebaliknya membuktikan kata-kata beliau berdasarkan pendedahan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Soal mustahil atau pun tidak itu adalah pandangan SPR yang tidak dikemukakan dengan bukti dan asas yang kukuh, saya ingin mencabar SPR untuk menjawab beberapa siri pendedahan yang dikemukakan yang terdapat pengundi mengundi lebih daripada sekali,"cabar Shamsul.

Menurut Shamsul,situasi sebegini sering berlaku apabila menjelang pilihan raya, seperti yang berlaku pada tahun 2010 di Pulau Pinang apabila isteri-isteri tentera telah didaftarkan sebagai pengundi pos tanpa kebenaran mereka.

Taktik ini katanya tidak mustahil akan digunakan sekali lagi pada pilihan raya umum ke 13 untuk memenangkan kerajaan pemerintah.

Oleh itu menurut Shamsul, Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) dan Pakatan Rakyat punya asas yang kukuh apabila mahu penggunaan dakwat kekal direalisasikan di negara ini bagi mengelak hal sama berulang.

Walau bagaimanapun, saranan itu disambut hambar oleh SPR.

"Sebab itulah Pakatan Rakyat meminta dan mendesak supaya SPR menggunakan teknik untuk mempertingkatkan lagi ketelusan mereka menggunakan dakwat kekal tetapi sehingga sekarang SPR tidak berani untuk melaksanakan dasar tersebut walaupun dalam pilihan raya yang lalu secara prinsipnya mereka telah bersetuju untuk melaksanakan (tetapi dibatalkan) kononnya dengan alasan dakwat itu terlalu mahal,"kata Shamsul lagi.

Jelas beliau, situasi seperti ini boleh berlaku apabila terdapat nama pengundi di dua lokaliti berlainan, biasanya nama mereka ini terdapat dalam dua DUN
yang berlainan malah mungkin dalam negeri yang berlainan.

Beliau juga tidak menolak cubaan SPR dalam memperbodohkan rakyat apabila menggunakan alasan-alasan yang tidak masuk akal untuk menidakkan pilihan raya yang
telus.

"Banyak kenyataan-kenyataan yang saya fikir bersifat seolah-olah memperlekeh dan memperkecilkan kebijaksanaan rakyat kerana kita (Pakatan Rakyat) melihat dalam konteks yang lebih besar. Apa yang ingin kita tentukan adalah satu perubahan dalam sistem pilihan raya,"ujar beliau.

Tegasnya SPR adalah satu badan yang bebas dan berasaskan kepada perlembagaan negara yang seharusnya bersifat telus.

Malah badan itu perlu menjadikan amalan penambahbaikkan dalam mewujudkan sistem yang adil dan tidak terikat kepada kerajaan pemerintah.

Terdahulu, Wan Ahmad berkata , "hampir mustahil" terdapat pengundi yang mengundi dua kali kerana SPR menggunakan sistem nombor pengenalan 12 digit di MyKad,
melainkan pengundi berkenaan menggunakan kad pengenalan palsu.

Malah beliau juga turut mengeluarkan kenyataan berbaur politik apabila mendakwa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai digunakan oleh Pakatan Rakyat untuk meraih sokongan bagi membina momentum untuk gagasan itu menawan Putrajaya.

Wan Ahmad juga turut mendakwa pembangkang mahu menggerakkan Bersih 2.0 setelah menyaksikan bagaimana perhimpunan tahun 2007 membawa kepada 'tsunami' politik yang memberi kemenangan besar kepada Pakatan pada PRU ke-12 yang lalu.