Myanmar bersedia memudahkan proses penghantaran pulang secara besar-besaran rakyatnya yang berada di Malaysia, termasuk menanggung kos berkaitan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, lebih 10,493 warga dan petugas Myanmar telah dihantar pulang ke negara itu setakat ini melalui penerbangan serta kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Beliau berkata urusan penghantaran pulang seterusnya akan dibincangkan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia dengan kementerian berkaitan di Myanmar bagi memastikan proses berkenaan dapat dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan.
“Sangat sedikit, malah berdasarkan pengalaman saya, hampir tiada negara yang sanggup menerima penghantaran pulang warganya dalam jumlah besar dengan menanggung sendiri kosnya, seperti yang ditunjukkan Myanmar,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Myanmar Min Aung Hlaing selepas kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan sempena lawatan rasmi dua hari pemimpin Myanmar itu ke Malaysia.
Menurutnya, baki warga Myanmar yang masih berada di Malaysia akan dihantar pulang secara berperingkat selepas proses pengesahan kewarganegaraan dan rekod mereka diselesaikan.
Katanya, Min Aung Hlaing turut memaklumkan bahawa antara 3,000 hingga 4,000 warga Myanmar yang kini ditempatkan di depot imigresen akan dihantar pulang ke negara asal mereka.
Namun, Anwar berkata pihak berkuasa Malaysia perlu terlebih dahulu membuat pengesahan terhadap identiti dan kewarganegaraan mereka, termasuk menyemak rekod kesalahan jenayah jika ada.
“Baki rakyat Myanmar akan dihantar pulang mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan, tertakluk kepada pengesahan rekod mereka,” katanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Myanmar atas kesediaannya menerima kembali rakyat negara itu dalam jumlah yang besar, selain memberikan kerjasama bagi melancarkan proses penghantaran pulang.
“Saya sekali lagi ingin merakamkan penghargaan atas keterbukaan anda dan kesediaan untuk bekerjasama,” katanya.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha menghantar pulang warga Myanmar daripada semua kumpulan etnik yang berada di Malaysia secara tidak sah.
Proses tersebut, menurut Anwar, akan dilaksanakan berasaskan prinsip sukarela, bermaruah dan selamat, dengan kerjasama antara kedua-dua negara bagi memastikan kebajikan serta aspek perundangan terus dipelihara.

No comments:
Post a Comment