MCMC Siasat Individu Kaitkan Kematian Pelajar Di Indonesia Dengan Kes Irene Sofiya

Pasukan penguatkuasa MCMC mengambil rakaman percakapan individu berkenaan pada 7 Oktober 2026 bagi membantu siasatan. Foto MCMC
CYBERJAYA, 8 Okt – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat seorang individu yang dipercayai menyebarkan kandungan disyaki palsu menerusi platform media sosial, Facebook dengan mengaitkan kematian seorang pelajar lelaki di Indonesia berusia tujuh tahun dengan kes kematian pelajar, Irene Sofiya di Yong Peng, Johor.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, hantaran yang dimuat naik pada 5 Oktober lalu itu turut mengaitkan kedua-dua insiden berkenaan dengan pentadbiran Kerajaan Malaysia sehingga berpotensi menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap sistem persekolahan negara.
Susulan itu, MCMC telah mengambil rakaman percakapan individu berkenaan pada 7 Oktober lalu bagi membantu siasatan.

Sebuah telefon bimbit bersama kad sim yang digunakan individu terbabit dipercayai untuk memuat naik kandungan berkenaan turut disita bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut MCMC, pihaknya memandang serius penyebaran kandungan palsu yang bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat malah berpotensi menjejaskan perasaan dan sensitiviti keluarga serta rakan mangsa khususnya apabila melibatkan kehilangan nyawa.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan memastikan kesahihan fakta dan sumber sebelum memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan di media sosial.
MCMC turut mengingatkan pengguna media sosial supaya menghormati sensitiviti pihak yang terkesan serta menggunakan platform media sosial dengan beretika dan bertanggungjawab.
No comments:
Post a Comment