
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing sejurus selepas Min Aung diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 8 Oktober 2026. Foto Bernama
PUTRAJAYA, 8 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan empat mata bersama Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing di Kompleks Perdana Putra di sini, hari ini.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama presiden itu ke Malaysia dan terdahulu, Anwar telah mengadakan dua pertemuan dengan Presiden Min yang ketika itu bergelar Jeneral Kanan, sebagai sebahagian daripada penglibatan Malaysia dengan Myanmar ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.
Perdana Menteri menyambut ketibaan Min di bangunan berkenaan pada 9 pagi, disusuli upacara sambutan rasmi menandakan permulaan sambutan rasmi kerajaan dalam siri lawatan rasmi beliau ke negara ini.

Presiden Min memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia sejak semalam (Rabu), dengan isu penghantaran pulang warga Myanmar di Malaysia antara topik utama yang dijangka dibincangkan bersama Perdana Menteri.
Selepas pertemuan empat mata itu, kedua-dua pemimpin mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala bagi perbincangan lanjut berhubung isu serantau merangkumi pelbagai agenda.
Antara menteri Kabinet yang hadir ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani selaku menteri pengiring.
Semalam, Wisma Putra memaklumkan lawatan itu juga memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk meneruskan libat urus secara langsung dengan Myanmar, selaras dengan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 pada Mei 2026 untuk meneruskan pendekatan konstruktif dan berprinsip dengan negara itu.
Myanmar merupakan sebahagian daripada negara penting ASEAN dan sebagai negara anggota ASEAN, Malaysia akan terus menyokong usaha ASEAN ke arah keamanan dan perdamaian serta memastikan akses kepada bantuan kemanusiaan di Myanmar dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment