BERSIH 2.0 Dan Tuntutan Murtad Dua Perkara Berbeza

SHAH ALAM 27 JUN : Tindakan media arus perdana mengaitkan peranan dan tugas Pengerusi BERSIH 2.0, Ambiga Sreenavasan sebelum ini, sebagai peguam yang mewakili kes murtad dengan himpunan aman BERSIH 2.0 sebagai sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan tidak relevan sama sekali.

Ini kerana ia dua perkara yang amat berbeza, lantaran tugas mewakili anak guamnya Lina Joy yang memohon untuk murtad adalah bersangkut paut dengan syariah manakala tuntutan BERSIH 2.0 bertumpu pada desakan agar pilihan raya diadakan secara bersih dan adil.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin berkata dua isu yang dibangkitkan saling tidak berkait.

"Jangan kira persoalan akidah, pro-murtad dan sebagainya, Umno berselindung disebalik kepentingan mereka tentang benda-benda seperti ini, tetapi mereka sebenarnya adalah dalang besar.
"Umno-BN nyaris lemas, mereka mahu buat himpunan tetapi gagal himpunkan orang yang ramai, mereka takut kebangkitan rakyat yang besar (himpunan Bersih 2.0), dan kita bukannya mahu jatuhkan kerajaan menerusi jalanraya, tetapi kita hanya mendesak sebuah proses pilihanraya yang baik, maksudnya kita menyokong pilihanraya," katanya.

Beliau juga membidas media arus perdana yang ghairah menyerang peribadi Ambiga dan mengaitkannya dengan perjuangan BERSIH 2.0.

Justeru Badrul menegaskan, himpunan BERSIH 2.0 bukan perjuangan peribadi Ambiga mahupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi ia merupakan perjungan rakyat yang dahagakan pilihan raya yang bersih dan adil.

"Saya tidak ambil pendekatan siapa salah siapa tidak, tetapi lihat bertapa hipokrasi dan munafiknya Umno-BN, sengaja bangkitkan isu IFC, kalau IFC itu salah kenapa setiap kali persidangan IFC berlangsung maka akan ada menteri yang rasmi," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan di dada akhbar Berita Mingguan, terbitan kumpulan Utusan semalam yang sengaja membangkitkan insiden melibatkan sensitiviti agama dan perkauman lampau untuk menafikan kewajaran rakyat menyertai perhimpunan aman tersebut.

Dengan tajuk 'Orang melayu harus selidiki siapa Ambiga' serta melabel perhimpunan haram dianjurkan oleh individu perlekeh islam, media milik UMNO BN itu dilihat berkerja keras untuk melumpuhkan himpunan aman rakyat itu, 9 Julai depan.

Badrul berkata pelbagai pihak termasuk rakyat seharusnya meneliti terlebih dahulu dasar- dasar himpunan Bersih 2.0, sebelum melabelkan himpunan aman tersebut adalah bersifat politik.

Seperkara yang perlu mereka faham dan jelas adalah, himpunan Bersih 2.0 bukan didalangi oleh Pakatan Rakyat, tetapi dinaungi oleh badan- badan bukan kerajaan (NGO).

Pakatan Rakyat hanya sekadar menyokong penganjuran himpunan aman tersebut sahaja.

Mengulas lanjut perkara ini, Badrul menyifatkan ianya adalah amalan lazim setiap parti pemerintah di dunia ini yang meniti zaman kejatuhannya.
"Ini adalah trend rejim pemerintah diseluruh dunia dihujung usianya, mereka akan menggunakan apa sahaja, mencipta pelbagai slogan untuk menipu rakyat, mereka akan membesarkan imej-imej tertentu dan mereka juga akan menggunakan profesor-profesor kangkung yang dilihat hanya memperdagang nilai akademik," katanya.