Sehingga kini sudah dua kali Tun Mahathir Mohamad menulis surat terbuka meminta pengundi PRN Johor pada 12 Mac depan agar menolak Najib Razak.
Meskipun Najib tidak bertanding, tetapi menurut Tun Mahathir, PRN Johor tidak lain tujuannya diadakan adalah untuk mengukuhkan lagi kedudukan kluster mahkamah dalam UMNO.
Banyak pihak percaya, jika BN menang dengan bergaya di PRN Johor yang sebahagiannya kerana kerja kempen yang menonjolkan Najib, ia adalah landasan terbuka untuk mereka mendesak agar PRU15 diadakan dengan segera.
Sehubungan itu, kaitan antara PRN Johor dan PRU15 serta tujuannya arah menaikkan kembali Najib tidak boleh diketepikan begitu saja.
Tambahan lagi, meskipun sudah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah dan sedang menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan, Najib masih tidak pernah membuat penafian rasmi yang beliau tidak lagi berhasrat kembali sebagai Perdana Menteri.
Kenapa susah sangat Najib membuat penafian rasmi?
Jika bukan untuk memastikannya kembali sebagai Perdana Menteri, untuk apa Najib kekal bersungguh-sungguh turun berkempen dalam PRN Johor seolah-olah beliau masih menguasai UMNO?
Bukankah lebih baik Najib tumpukan saja perhatian kepada rayuan kes SRC Internationalnya dan perbicaraan banyak kes lain berkaitan 1MDB yang sedang berjalan di mahkamah?
Lebih daripada itu, sepatutnya juga Najib tidak perlu lagi terlalu menonjolkan diri dan mencari perhatian masyarakat, baik dalam PRK atau PRN, kerana kerusi Perdana Menteri sekarang sudah pun dipegang oleh Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden UMNO.
Lainlah kalau Mahiaddin Md Yasin masih lagi sebagai Perdana Menteri, tetapi setelah jawatan itu kembali ke pangkuan UMNO, untuk apa lagi Najib masih sibuk-sibuk seperti sebelum ini?
Seharusnya di ketika ini lebih peranan dan penonjolan mesti diberikan kepada Ismail Sabri yang baru beberapa bulan memegang jawatan Perdana Menteri agar kedudukan beliau lebih diyakini oleh rakyat.
Ini tidak, dengan berterusan membiarkan Najib menonjolkan dirinya, sedangkan beliau hanyalah bekas Perdana Menteri, sudah dijatuhi hukuman bersalah pula oleh mahkamah, keadaan ini akan menjadikan Perdana Menteri kelihatan secara sengaja cuba ditenggelamkan.
Najib sebagai bekas Perdana Menteri ketika ini hanya patut dilayan sebagai bekas Perdana Menteri saja, bukan sebagai seorang yang masih dan sedang mengejar jawatan Perdana Menteri.
Yang mesti ditonjolkan dan dipertaruhkan oleh UMNO kepada rakyat ialah Perdana Menteri yang sedia ada.
Apa guna UMNO ada Perdana Menteri jika pemimpin lain masih mahu diberi ditonjolkan?
Sebab itu, sama ada UMNO atau orang bersetuju atau tidak dengan kenyataan Tun Mahathir agar kleptokrat tidak harus dibiarkan kembali berkuasa, hakikat yang mesti mereka sedar ialah era Najib sudah berlalu dan lebih baik untuk dilupakan.
Dengan jawatan Perdana Menteri sudah kembali ke dalam dakapan setelah ianya terlepas pada 2018 lalu, UMNO kini harus terus memandang ke hadapan dan jangan berundur ke belakang.
Pemimpin harus datang dan pergi, tetapi yang penting untuk dikekalkan ialah UMNO itu sendiri.
Ismail Sabri yang memegang jawatan Perdana Menteri lebih munasabah untuk terus dipertahankan daripada cuba diketepikan dalam pertarungan PRU15 akan datang.
Lebih tidak masuk akal jika yang ingin diangkat semula sebagai Perdana Menteri itu adalah pemimpin yang sudah pernah menduduki kerusi Perdana Menteri dan UMNO pula mencatat sejarah hilang kuasa ketika di tangannya, ditambah lagi sudah dicop bersalah oleh mahkamah.
Untuk maju ke depan dan diterima generasi muda, UMNO sebenarnya tiada pilihan lain melainkan mesti beransur-ansur melupakan Najib dan meletakkannya baik-baik duduk di tepi padang dengan menerima pemimpin yang sedang memegang jawatan Perdana Menteri sebagai pemegang baton seterusnya.
Jika tidak, UMNO akan terus dibelenggu dengan sejarah silam yang hitam dan akhirnya lebih sukar untuk diputihkan. – ShahbufinHusin 21/02/2022.