Kes ‘kluster mahkamah’ tetap sambung selepas PRN Johor, kata Azalina

 


Prosiding mahkamah bagi “kluster mahkamah” bersambung walaupun
 selepas rakyat Johor keluar beramai-ramai mengundi pada 12 Mac,
 kata Azalina Othman Said.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said membidas dakwaan mengatakan pimpinan Umno digelar “kluster mahkamah” tidak lagi berdepan tuduhan, jika Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, bulan depan.

Dalam puisi berjudul Kluster dan Koloni, yang dimuat naik di Twitter, bekas Menteri Undang-undang itu berkata, prosiding mahkamah terhadap mereka yang berada dalam “kluster mahkamah” akan bersambung walaupun selepas PRN itu.

“PRN Johor untuk rakyat Johor. Mari keluar beramai-ramai 12 Mac, kita akan mengundi lalu kerajaan baharu terbentuk.

“Bila 13 Mac menjelang, hidup kita kembali bersambung. Begitu juga prosiding mahkamah bagi mereka yang berada dalam ‘kluster mahkamah,” katanya merujuk pimpinan utama Umno yang sedang dibicarakan atau sudah didapati bersalah membabitkan pelbagai tuduhan, seperti pecah amanah jenayah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Puisi Azalina Othman Said yang dimuat naik di Twitter.

Dalam puisinya, Azalina berkata, Umno bukan satu-satunya parti politik yang mempunyai masalah “kluster mahkamah”.

“Beberapa Ahli Parlimen ‘kluster mahkamah’ daripada Umno, dan beberapa lagi daripada parti politik lain. Beberapa Ahli Parlimen ‘kluster mahkamah’ terpalit cat hitam, manakala ada pula yang ‘neutral’,” katanya.

“Hentikan kempen penghinaan, kawanku, usaha anda jadi sia-sia.

“Demokrasi dan undang-undang pasti ditegakkan,” katanya.

Sebelum ini, pimpinan Bersatu terutama membabitkan Ketua Penerangannya Wan Saiful Wan Jan, dilaporkan berkata, PRN Johor didesak oleh pimpinan Umno daripada “kluster mahkamah” dengan hasrat demi menyelamatkan mereka.

Azalina juga menyelar Ahli Parlimen yang berdepan tuduhan mahu kes mereka digugurkan selepas bertukar parti, sambil menyatakan “koloni si katak makin berleluasa”, manakala “undang-undang anti lompat entah ke mana”.

No comments: