SHAH ALAM 9 SEPT : Reaksi rakyat kebanyakan sudah dijangkakan. Rata-ratanya melahirkan kekecewaan apabila kerajaan dan syarikat telekomunikasi (Telco) memutuskan untuk mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus kepada pengguna prabayar dan pek permulaan kad SIM mulai 15 September ini.
Malah pendapat itu turut dikongsi oleh agen tambah nilai prabayar dan pek permulaan kad SIM, Roslinda Samad yang menyifatkannya sebagai beban kepada pengguna.
"Kenaikan caj perkhidmatan enam peratus ini bagi tambah nilai bagi saya satu kadar yang tinggi, sebelum ini pun caj untuk seminit mencecah 30 sen, ditambah dengan caj enam peratus itu jelas sangat membebankan kepada pengguna, saya sebagai agen telekomunikasi sejujurnya rasa ini tidak wajar, bagi syarikat telekomunikasi itu sendiri caj yang dikenakan untuk masa berbual pun sudah menguntungkan,"katanya kepada Tv Selangor.
Syarikat telekomunikasi melalui satu kenyataan semalam memberitahu, kadar cukai perkhidmatan enam peratus itu bukan sesuatu yang baru.
Namun yang pasti, seramai 26.2 juta pelanggan talian telefon mudah alih prabayar di negara ini bakal menerima kesan akibat pertambahan kadar enam peratus setiap kali membeli kad tambah nilai.
Cukai perkhidmatan ini meliputi tiga syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara iaitu Celcom (Xpax) seramai 9 juta pelanggan, DiGi seramai 7.7 juta orang dan Maxis (Hotlink) 9.5 juta orang.
Dengan penguatkuasaan caj itu, seorang pelanggan yang membeli kad tambah nilai berjumlah RM10 perlu membayar RM10.60, dengan 60 sen adalah cukai perkhidmatan.
Sementara itu menurut Rosmaharza Zainuddin, seorang pelajar di salah sebuah sekolah menengah di bandar ini, turut melahirkan rasa kesalnya di atas caj tambahan ini.
"Bagi saya perkara ini tidak seharusnya berlaku, saya yang masih belajar sedia maklum memerlukan banyak perbelanjaan untuk pelbagai keperluan,"katanya lagi.
Manakala bagi seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Khairul Anwar Musa yang masih belum berpeluang menyambung pengajian berkata, walaupun pertambahan caj hanya enam peratus namun bagi pelajar dan mereka yang berpendapatan rendah, ia cukup membebankan.
Apatah lagi katanya, penggunaan telefon bimbit merupakan satu keperluan asas pada hari ini.
"Saya sejujurnya tidak setuju sekirannya kadar ini dinaikkan, keadaan ini agak membebankan,"katanya.