SAMM Terbitkan 'Fitnah' Untuk Ingatkan Rakyat Tentang Perjuangan Sebenar

SHAH ALAM 10 SEPT : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bakal menampilkan buku kedua terbitannya, bertajuk 'Fitnah' yang menerangkan secara ringkas, padat dan mudah mengenai 'Fitnah 1' yang bermula dengan buku 50 Dalil, 'Fitnah 2' dan isu video seks yang menghiasi arena politik negara mulai 12 september ini.

Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin berkata, penerbitan buku ini bertujuan mengingatkan masyarakat umum bagaimana bermulanya kisah bersatunya rakyat untuk menentang regim yang rakus dan zalim dalam mempertahankan kekuasaan yang dimiliki mereka.

Namun bagi yang baru sahaja mengikuti perkembangan politik negara, buku ini katanya harus dimiliki berdasarkan kandungannya yang padat namun ringkas serta mudah difahami.

"Harus diingatkan ia (perjuangan) bukan kerana susuk Anwar semata - mata, kes Anwar hanya penyatu untuk rakyat bangkit dan sedar mengenai kebobrokan negara dan perlunya reformasi demi kelansungan negara ini,"kata Badrul yang lebih dikenali dengan panggilan Chegubard.

Menurut Chegubard lagi, penerbitan buku ini juga memahamkan betapa pentingnya untuk rakyat bangkit membebaskan Jabatan Kehakiman, polis dan maruah negara dari terus dipandang sinis oleh dunia.

"Perbicaraan fitnah 1, fitnah 2 dan konspirasi video seks membuktikan bagaimana negara ditadbir dengan begitu rakus oleh pihak terdesak,"katanya.

"Bagi kita semua khususnya yang berminat menjadi 'penyampai' yang baik buku ini menyingkap semua peristiwa fitnah bermula dari buku 50 Dalil, fitnah 1, fitnah 2 dan terkini konspirasi video seks. Terdapat juga beberapa dokumen mahkamah yang mungkin belum anda temui. Juga perbagai fakta yang tidak disangka. Semuanya akan membantu anda menjadi penyampai yang padat, mudah dan ringkas,"ulasnya lagi.

Menurusi satu kiriman email, Chegubard memaklumkan buku setebal 260 muka surat ini menceritakan bagaimana perbicaraan fitnah 1, fitnah 2 dan konspirasi video seks melambangkan terdesaknya kerajaan pemerintah pada hari ini.

Mengulas lanjut mengenai terbitan 'Fitnah', Chegubard menjelaskan bahawa negara tidak harus mempersoalkan susuk tubuh Anwar semata-mata sebaliknya rakyat perlu bangkit dan sedar mengenai kebobrokan negara dan perlunya reformasi demi kelansungan negara ini.

SAMM yang bergerak menerusi gerakan anak muda 'non-formal structural' dengan menghimpunkan anak-anak muda Malaysia dari pelbagai latar belakang berharap kemunculan 'Fitnah' mampu mengubah landskap pemikiran rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam memperjuangkan keadilan dalam negara ini.

"Berjuang bersama Anwar tidak semestinya Anwaris, kita anak muda memilih untuk bersama Anwar Ibrahim untuk mengambil kesempatan ke atas beliau mempergunakan kesnya bagi menyatukan semua tenaga bagi melawan regim warisan penjajah demi masa depan tanahair,"katanya lagi.

Bagi yang ingin menempah awal buku ini melalui POS sila hantarkan wang POS RM 20 (RM15 harga buku,RM5 caj POS) tulis atas nama EDY NOOR REDUAN ke alamat C-16-02, PPR Pantai Ria, Pantai Dalam, 59200 K.Lumpur